Barisan Nasional Tidak Dibubarkan, Nazri Bukan Setiausaha Lagi
2019.03.08
Kuala Lumpur, Malaysia

Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Jumaat memutuskan untuk tidak membubarkan gabungan parti itu apabila gagal mencapai konsensus, dan turut menolak perlantikan Nazri Aziz sebagai Setiausaha Agung kerana tidak mengikut perlembagaannya.
Mesyuarat badan tertinggi BN itu sebaliknya mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa gerak kerja bagi mengukuhkan parti dan mengekalkan Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agungnya.
Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hassan berkata MCA membentangkan usul pembubaran BN pada mesyuarat yang berlangsung selama 3 jam namun tidak menerima sebarang kata putus daripada dua lagi komponen parti iaitu MIC dan UMNO.
"Tiada konsensus yang disepakati oleh ketiga-tiga (parti) kami,” kata Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat yang turut dihadiri Presiden MCA, Wee Ka Siong, Presiden MIC, S. A Vigneswaran dan Tengku Adnan di Kuala Lumpur itu.
Mohamad turut ditanya mengenai kedudukan Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas sebagai Setiausaha Agung BN, di mana perlantikan beliau ke jawatan itu telah diumumkan oleh Ahmad Zahid Hamidi yang pada masa itu adalah Pengerusi BN.
“Pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN tidak diperakui oleh BN, mengikut perlembagaan yang sepatutnya setiap lantikan jawatan mesti dibawa dalam mesyuarat BN,” kata beliau menjawab pertanyaan media.
Mengenai usul pembubaran BN, Mohamad berkata “Kita ada membincangkan mengenai hala tuju dan masa depan BN, MCA telah membentangkan usul pembuburan BN tetapi selepas resolusi itu dibentangkan dengan begitu rapi, tiada konsensus yang dapat dicapai,”
Sebaliknya kata beliau, UMNO, MCA dan MIC bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa gerak kerja bagi menstruktur semula pengukuhan parti yang akan ditubuhkan secepat mungkin dan dilaksanakan di peringkat negeri dan Parlimen.
Pada 4 Mac lalu, MCA dan MIC mahu BN dibubarkan susulan kenyataan Nazri yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dianggap bersifat perkauman.
"MCA dan MIC sebagai wakil komuniti masing-masing mengakui bahawa metamorfosis BN kepada bentuknya ketika ini telah ditolak oleh komuniti mereka, dan oleh itu, menggesa agar ia dibubarkan atau distruktur semula,” menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu minggu lepas.
Dalam kenyataan itu juga MCA dan MIC berkata, dua komponen parti itu enggan mengiktiraf pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN serta ‘kenyataan bersifat perkauman’ Nazri dan tindakan UMNO yang mendiamkan diri berhubung perkara tersebut telah ‘menjejaskan asas saling menghormati yang didukung BN selama ini.’
Menjelang pilihan raya kecil di Semenyih, Selangor lewat bulan lalu, Nazri dilaporkan berulang kali menuduh kerajaan semasa yang diterajui Pakatan Harapan gagal mempertahankan hak-hak orang Melayu, yang merupakan 61 peratus daripada sejumlah 33 juta rakyat Malaysia.
"Adalah menjadi tugas setiap perdana menteri dan kerajaan untuk mempertahankan hak keistimewaan (orang Melayu). Bagaimanapun, kerajaan kini lemah.
"Banyak perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah berlaku – [lihatlah pelantikan] peguam negara, ketua hakim dan menteri kewangan,” lapor Malaysiakini yang memetik kenyataan Nazri dalam satu ceramah pada 23 Feb lalu.
Mohamad pada sidang media yang sama turut berkata “Tengku Adnan masih merupakan Setiausaha Agung BN yang sah dan tidak pernah meletakkan jawatannya, oleh itu beliau masih memegang jawatan tersebut,"
Sebelum ini, MCA dan MIC menegaskan pemimpinnya tidak akan menghadiri mesyuarat majlis tertinggi BN pada Jumaat apabila Nazri berkata beliau akan tetap menghadiri mesyuarat sebagai Setiausaha Agung BN yang baru.
Namun, pada Khamis, Nazri memberitahu pemberita yang beliau tidak akan menghadiri mesyuarat BN kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
MCA setuju kerjasama PAS-BN
Sementara itu, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong berkata parti itu tidak mempunyai masalah untuk menerima kerjasama BN dan PAS selagi tiada gesaan menerima masuk parti Islam itu ke dalam BN.
"Saya telah berkata sebelum ini, tiada masalah…BN boleh bekerjasama dengan PAS bagi menentang Pakatan Harapan.
"Apa yang kami khuatirkan adalah menerima PAS ke dalam BN. Kami tiada masalah untuk bekerjasama…contohnya, BN dan PAS bersetuju supaya tidak dihapuskan hukuman mati mandatori," kata Wee selepas mesyuarat BN itu.
Penganalisis politik, Ahmad Marthada Mohamed, pula berpendapat UMNO, MCA dan MIC saling memerlukan untuk dilihat sebagai gabungan parti yang masih utuh dan mementingkan keharmonian kaum.
"MCA dan MIC perlu berdiri bersama-sama UMNO kerana mereka tidak kuat jika bersendirian. Kaum bukan Melayu lebih cenderung kepada Pakatan Harapan, jadi adalah lebih baik untuk MCA dan MIC bersama UMNO di dalam BN," katanya.
Beliau berkata sekiranya UMNO bersama-sama PAS, parti itu akan dilihat tidak lagi relevan dalam keadaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Dalam pada itu, Ahmad Marthada berkata UMNO masih memerlukan parti lain terutama di Sabah dan Sarawak bagi mendapat undi rakyat.
"Jangan lupa bahawa Sabah dan Sarawak juga memainkan peranan yang penting. Jika UMNO terus bersama PAS, mereka akan hilang kuasa di negeri berkenaan,"katanya lagi.
BN, yang ditubuhkan setelah Malaysia memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1957, mengalami kekalahan pertama pada pilihan raya umum Mei 2018 yang menyaksikan pengakhiran kepada pemerintahannya selama enam dekad berturut-turut.
Gabungan itu dilihat semakin goyah apabila 10 daripada 13 parti meninggalkan BN apabila ditewaskan kepada Pakatan Harapan yang meraih kemenangan menakjubkan dan mengembalikan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
UMNO kini memiliki 37 kerusi di Parlimen manakala MCA dan MIC masing-masing satu kerusi – jauh ketinggalan daripada sejumlah 112 kerusi yang diperlukan untuk menguasai kerajaan.
Aiman Abd Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.