Keputusan AFC: FAM Buat Rayuan Segera

Fadzil Aziz
2017.05.09
Kuala Lumpur
170509-my-bola-korea-1000.jpg Pasukan bola sepak Malaysia berdiri menghormati lagu kebangsaan Negaraku yang berkumandang sebelum perlawanan persahabatan menentang Filipina di Manila, 22 Mac 2017.
AFP

Persatuan Bola Sepak Malaysia [FAM] kekal dengan keputusan mahukan perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara diadakan di gelanggang berkecuali, dengan Menteri Belia dan Sukan mahu Korea Utara memberi jaminan keselamatan terlebih dahulu.

Setiausaha Agung FAM, Hamidin Mohd Amin berkata FAM tetap dengan pendiriannya mahukan gelanggang berkecuali dan rayuan segera akan dibuat berhubung keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia [AFC] untuk mengadakan perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun depan.

“Kita [FAM] akan membuat rayuan dengan segera kepada AFC dan perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan nanti,” kata Hamidi ketika dihubungi pada Selasa.

AFC dalam satu kenyataan pada Isnin memutuskan perlawanan Kumpulan B yang melibatkan Malaysia menentang Korea Utara yang sepatutnya berlangsung di Stadium Kim-Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lepas, akan tetap diteruskan seperti dirancang di ibu negara Korea Utara itu.

Perlawanan antara kedua-dua negara telah ditunda atas permintaan FAM pada Mac lepas, yang mahukan gelanggang berkecuali atas faktor keselamatan selepas berlakunya ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin diktator Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Feb lepas.

Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari beliau diserang dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa.

Kenyataan AFC pada Isnin, antara lain, menyebut keputusan dibuat bagi meneruskan perlawanan itu selepas konfederasi mendapati kerajaan Korea Utara tidak lagi mengenakan sekatan terhadap rakyat Malaysia untuk ke negara itu.

Setiausaha Agung AFC Windsor Paul John berkata FAM berhak membuat bantahan tetapi persatuan itu perlu ingat bahawa keputusan AFC untuk menangguhkan perlawanan sebelum ini adalah disebabkan kerajaan Malaysia melarang rakyatnya melakukan perjalanan ke Korea Utara.

“Atas sebab itu, kita tangguhkan perlawanan yang dirancang pada asalnya, dan apabila FAM maklumkan bahawa larangan [perjalanan rakyat Malaysia] telah ditarik balik, maka AFC buat keputusan tiada sebab mengapa pasukan Malaysia tidak boleh ke Korea Utara,” katanya.

Jaminan keselamatan

Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia mahu Korea Utara memberi jaminan terhadap keselamatan skuad bola sepak Malaysia terlebih dahulu.

Khairy menambah kerajaan Malaysia tiada halangan terhadap perlawanan yang ditetapkan oleh AFC di Pyongyang itu dan mahu kedua-dua negara akur dengan keputusan AFC.

“Pada saya jaminan keselamatan itu penting sebab apabila AFC sudah membuat keputusan, kita perlu akur dengannya. Saya percaya ketegangan dengan Malaysia sudah selesai namun Korea Utara turut berdepan pelbagai isu membabitkan dunia luar. Jadi jaminan keselamatan itu penting,“ kata Khairy.

Menteri itu juga berharap perlawanan yang akan diadakan itu berlangsung dengan lancar serta pasukan Malaysia selamat pergi dan kembali.

Pada Mac lepas, Ketua Konfederasi  Bola Sepak Asia (AFC) yang berpejabat di Kuala Lumpur telah mengumumkan bahawa perlawanan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara, yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mac, ditangguhkan ke 8 Jun tetapi gelanggang baharu belum ditentukan.

Konfederasi juga telah meminta Persatuan Bola Sepak Korea Utara mencadangkan gelanggang berkecuali bagi perlawanan pada 8 Jun sebelum 14 April lepas, kata Setiausaha Agung AFC dalam satu kenyataan ketika itu.

Sekiranya perlawanan itu berlangsung di padang berkecuali, maka perlawanan kedua yang dijadualkan pada 14 Nov juga akan diadakan di gelanggang berkecuali "untuk memelihara semangat kesukanan dengan bermain secara adil," kata John.

Susulan insiden pembunuhan Jong-nam, Malaysia dan Korea Utara telah mengusir duta, membekukan program bersama yang membenarkan kemasukan tanpa visa serta mengenakan larangan keluar terhadap rakyat negara satu sama lain.

Pada 30 Mac lepas, Kuala Lumpur dan Pyongyang bersetuju untuk menyelesaikan konflik selama enam minggu itu dengan menghantar mayat Jong-nam ke negara komunis tersebut sebagai pertukaran bagi sembilan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana akibat larangan keluar dari negara berkenaan.

Pihak berkuasa Malaysia telah mendakwa dua wanita - seorang warga Indonesia dan seorang warga Vietnam – dengan pertuduhan membunuh Jong-nam, tetapi pegawai-pegawai di Korea Selatan dan Amerika Syarikat melihat mereka diperalatkan dalam satu operasi yang dijalankan oleh ejen-ejen Korea Utara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.