Polis Malaysia Tahan Tiga Lelaki Rancang Serang Pesta Bir
2017.10.17
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 9.00 p.m ET - 2017-10-18
Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa berkata tiga lelaki telah ditahan sebagai suspek pengganas minggu lepas, yang dipercayai telah merancang untuk meletupkan bom buatan sendiri semasa sambutan pesta bir, acara yang menurut penganjur mampu menarik ribuan orang.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memaklumkan pemberita bahawa pegawai antikeganasan telah merampas bahan letupan yang telah diubah suai (IED) dalam serbuan di Kelantan, sebuah negeri yang terletak di bahagian timur laut Semenanjung Malaysia pada 10 Okt.
IED terbabit, seberat kira-kira 1.3 paun, mengandungi alas bebola yang dipadatkan dalam sebatang paip PVC dan boleh mencederakan atau membunuh orang dalam radius letupan 30 meter (98 kaki), kata Fuzi.
"Peranti itu boleh menyebabkan banyak kematian jika ia meletup di pesta bir," katanya.
Polis menahan seorang bekas askar, seorang kontraktor bangunan dan seorang pelajar berusia 19 tahun yang didakwa mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam (IS) semasa serbuan itu, kata Fuzi.
Festival Better Beer yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 7 Okt di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur telah dibatalkan bulan lepas berikutan bantahan daripada kumpulan Islam yang mendakwa acara itu akan menggalakkan perlakuan tidak bermoral dan membawa kepada aktiviti jenayah.
Kira-kira 250 bir kraf dari puluhan kilang arak di seluruh dunia dijadual dipamerkan semasa acara yang dijangka menarik 6,000 orang itu berlangsung, menurut penganjur.
Fuzi berkata suspek turut menyasarkan lokasi lain di negara itu, termasuk bangunan ikonik Malaysia iaitu Menara Berkembar, rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia dan juga di Selangor. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.
Polis Malaysia mengeluarkan lakaran ini, yang menunjukkan cara membuat bahan letupan yang telah diubah suai, yang telah dirampas daripada seorang suspek semasa serbuan 10 Ok 2017. [N.Nantha /BeritaBenar]
Ujian bom
Sebelum diberkas, suspek telah menguji dua IED pada 28 Sept dan satu lagi beberapa hari kemudian di padang terbuka berhampiran rumah suspek berusia 19 tahun itu, kata Fuzi.
"Satu meletup manakala yang lain tidak berfungsi," kata Fuzi.
Beliau berkata bekas askar berusia 35 tahun itu telah mengumpul wang daripada mereka yang bersimpati untuk membiayai kos membuat IED manakala kontraktor pembinaan berusia 25 tahun mempunyai kaitan dengan geng Gagak Hitam (Black Crows) yang dipercayai bertanggungjawab bagi serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, dekat Kuala Lumpur, tahun lepas.
Letupan bom tangan itu merupakan serangan pertama di Malaysia yang berjaya dilakukan oleh IS, yang mencederakan lapan orang.
Fuzi berkata kontraktor bangunan itu turut mempunyai kaitan dengan Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang perekrut terkemuka IS di Asia Tenggara yang terbunuh dalam serangan dron pada 29 April di Syria, 10 bulan selepas dia didakwa mengatur serangan kelab malam tersebut.
Beliau berkata penahanan terbaru itu sekali gus menjadikan jumlah plot bom yang berjaya digagalkan ialah sembilan sejak 2013.
Berkembang sebagai seorang lagi “Dr Azahari”
Keupayaan remaja terbabit memahami butiran rumit penghasilan bahan letupan itu telah mengingatkan para penyiasat Malaysia mengenai Dr Azahari Husin, seorang pakar bom yang dipercayai menjadi dalang teknikal di sebalik insiden pengeboman Bali pada Oktober 2002, yang meragut 202 nyawa, termasuk 88 rakyat Australia.
Azahari, yang mendapat latihan dalam bidang bom di Afghanistan, telah terbunuh pada 2005 semasa polis menyerbu tempat persembunyiannya di Kota Batu, Indonesia.
“Melihat betapa terperincinya lakaran yang dihasilkan remaja itu telah mengingatkan pihak berkuasa tentang Dr Azahari,” kata sumber yang rapat dengan siasatan kepada BeritaBenar.
Remaja berusia 19 tahun itu, yang merupakan pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan, telah menghabiskan masa berjam-jam mempelajari cara untuk menghasilkan bom di YouTube, kata sumber itu.
“Dia seorang yang bijak. Dia tahu apa yang dicarinya,” kata sumber itu, merujuk kepada kemahiran remaja terbabit melakukan pencarian dalam talian.
Remaja itu turut meluangkan masa untuk menulis dan melakarkan ideanya mengenai lmu mekanik dalam penghasilan sesuatu IED.
“Dia amat teliti,” kata sumber itu. “Cara peranti itu dihasilkan menunjukkan yang dia sememangnya tahu selok-belok pembuatannya.”
Menurut sumber, remaja terbabit menunjukkan perlakuan yang pelik di sekolah namun guru-gurunya tidak menyedari perkara itu. Dia juga enggan menyertai beberapa aktiviti sekolah.
“Dia sering membuat lakaran tentang peperangan, dia memberitahu rakan-rakannya tentang hasrat untuk berjihad dan juga enggan menyanyikan lagu kebangsaan serta menaikkan jari telunjuk yang menandakan bahawa dia hanya taat kepada Tuhan,” kata sumber itu.
Jika aktiviti remaja itu tidak terbongkar, dia mungkin akan menjadi seorang pakar bom, kata sumber itu.
“Berdasarkan perkembangan ini, berikan dia masa selama dua hingga tiga tahun dan dia mungkin menjadi Dr Azahari yang seterusnya,” kata sumber itu.
Dalam tempoh empat tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 339 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, termasuk IS. Enam puluh enam orang daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut statistik kerajaan yang diperoleh BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.
Para pegawai pasukan antikeganasan Malaysia bersiap sedia untuk memberkas suspek di dalam sebuah restoran di Kelantan, 10 Okt 2017. [Ihsan Polis Malaysia]