Malaysia Siasat Telefon Bimbit Ada Kaitan Kes Pengeboman Thailand

Don Pathan
2016.08.15
Bangkok
160815-my-th-bombsquad-620 Seorang anggota skuad pemusnah bom Thailand sedang memeriksa kawasan sekitar Menara Jam di Hua Hin akibat serangan bom yang berlaku minggu lalu, 12 Ogos 12 2016.
[BeritaBenar]

"Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat permintaan negara jiran Thailand untuk mengesan pemilik sebuah telefon bimbit yang berdaftar di Malaysia dan didakwa digunakan dalam satu daripada 11 pengeboman sehingga menyebabkan empat orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera di beberapa tempat pelancongan di selatan Thailand minggu lalu, seorang pegawai memberitahu BeritaBenar.

Sumber yang tidak mahu dikenali dari Rumah Kerajaan di Bangkok berkata, siri pengeboman dan serangan kebakaran yang melanda sekurang-kurangnya tujuh daerah pada Khamis dan Jumaat – dengan pihak berkuasa Thailand menjadi agenda utama pertemuan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Najib Razak, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Prayuth dijadual menghadiri persidangan peringkat antarabangsa selama tiga hari, Minggu Antarabangsa Startegi Lautan Biru Kebangsaan, di pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya yang akan memberi tumpuan kepada bagaimana setiap negara boleh membuat pembaharuan memacu dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pihak kami meminta pihak berkuasa Malaysia untuk mengesan nombor telefon bimbit, yang didaftarkan di Malaysia, yang kami percaya telah digunakan untuk meletupkan salah satu bom semasa serangan minggu lepas," kata pegawai itu kepada BeritaBenar.

Telefon bimbit itu telah ditemui di tempat kejadian letupan di Phuket dan polis Malaysia telah menerima serpihan berkenaan untuk siasatan selanjutnya, menurut laporan media Malaysia.

"Letupan itu gagal memusnahkan sebahagian daripada telefon bimbit tersebut dan nombor siri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih kelihatan pada telefon berkenaan,” agensi berita nasional Malaysia (Bernama) melaporkan.

Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar berkata Kuala Lumpur bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Thailand bagi membantu siasatan dalam kejadian itu.

Kaitan Selatan Thailand?

Pada Jumaat lalu, para pegawai Thailand berkata, serangan berkemungkinan ada kaitan dengan keputusan referendum perlembagaan pada 7 Ogos lepas di mana majoriti pengundi menyokong draf piagam kontroversial yang membolehkan kerajaan yang dikuasai oleh pihak tentera mempengaruhi keputusan pilihan raya akan datang.

Pada Isnin, bagaimanapun, para pegawai berkata, masih terlalu awal untuk menolak kemungkinan bahawa serangan tersebut mempunyai hubungan dengan pemberontakan pemisah di wilayah selatan Thailand yang dikenali sebagai ‘Deep South.’

"Saya selalu berkata sejak awal dan saya tidak akan berkata apa-apa lagi, terdapat persamaan antara pengeboman tempat pelancongan dan yang dilakukan oleh puak pemisah," kata Ketua Polis Negara itu, Chakthip Chaichinda kepada Associated Press pada Isnin.

Beliau merujuk kepada serangan bom yang kerap berlaku di selatan negara berkenaan, sebuah kawasan sempadan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu, di mana lebih daripada 6,500 terbunuh sejak 2004 dalam beberapa siri keganasan berkaitan dengan pemberontakan.

Komen Chakthip itu bertentangan dengan apa yang dibuat sehari sebelum itu oleh salah seorang timbalannya, Jeneral Polis Pongsapat Pongcharoen. Katanya kepada pemberita di Bangkok bahawa serangan di bahagian selatan negara itu "tidak ada kaitan" dengan pemberontakan di Selatan negara berkenaan.

Beliau percaya ada ‘satu dalang’ yang menyelaraskan rangkaian 10 hingga 20 orang yang bertanggung jawab di dalam serangan di tujuh wilayah minggu lalu.

Seorang pegawai keselamatan Thailand yang memahami isu rantau berkenaan pula berkata,

"Terdapat terlalu banyak persamaan antara serangan di bahagian atas selatan dan pemberontakan yang sedang berlaku jauh di Selatan," pegawai kanan tentera yang mempunyai akses kepada laporan awal pengeboman minggu lalu dan serangan kebakaran memberitahu BeritaBenar.

Sumber itu memberi contoh pengeboman yang sebelum ini berlaku di bahagian utara, selatan Thailand, iaitu pengeboman kereta di sebuah pusat membeli-belah di pulau peranginan Koh Samui pada April 2015 lepas dimana pihak berkuasa mendapati kenderaan itu mempunyai kaitan dengan pemberontak Selatan Thailand.

’11 kejadian bom, lima serangan kebakaran’


Setakat ini, seorang telah ditahan berkaitan dengan serangan minggu lepas, dan beberapa ahli pergerakan Baju Merah anti-junta turut ditangkap untuk disoal siasat, kata pegawai. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada polis pada Isnin masih menahan mereka untuk disoal siasat.

Seorang penduduk di Chiang Mai, Sakharin Karuehas, ditahan pada malam Jumaat lepas kerana mempunyai kaitan dengan serangan kebakaran di sebuah pasar raya Tesco Lotus di wilayah Nakhon Si Thammarat pada petang hari berkenaan, kata pihak berkuasa. Pasaraya adalah salah satu daripada lima kedai dan kawasan membeli-belah yang menjadi sasaran dalam serangan kebakaran di lima wilayah selatan pada Jumaat.

Bom pertama meletup pada petang Khamis di sebuah pasar di wilayah Trang, kira-kira 900 km (560 batu) di selatan Bangkok, membunuh seorang tentera dan mencederakan enam yang lain. Pihak berkuasa pada mulanya percaya serangan itu mungkin mempunyai kaitan dengan pertikaian di kalangan kumpulan samseng.

Pada malam Khamis, dua butir bom pula meletup di bandar peranginan Hua Hin, kira-kira 193 km (120 batu) selatan Bangkok, membunuh seorang dan mencederakan 21.

Pada Jumaat, letupan bom berkembar berlaku berhampiran sebuah menara jam di Hua Hin, membunuh seorang dan mencederakan tiga lagi, kata pegawai.

Di Phuket, dua bom kecil meletup dan mencederakan seorang dengan dua lagi bom meletup di wilayah Phang Nga, tetapi tiada siapa yang cedera.

Di tempat lain, di wilayah Surat Thani, dua letupan bom berlaku dengan membunuh seorang dan mencederakan tiga orang, kata pegawai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.