Sembilan Lagi Mayat Ditemui Di Perairan Sabak Bernam

Hata Wahari
2015.09.04
150904-MY-ID-BOAT620 Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bertanyakan sesuatu kepada Erni Juwita,26, yang merupakan pendatang asing tanpa izin dari Aceh ketika melawat wanita itu di Hospital Teluk Intan, Perak. Beliau adalah antara mereka yang terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam, Selangor. 4 Sept 2015
Ehsan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

Sembilan lagi mayat mangsa bot karam ditemui oleh pasukan penyelamat di perairan Sabak Bernam menjadikan jumlah yang terkorban 24 orang, sementara seorang lagi berjaya diselamatkan pada Jumaat.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim APMM Daerah Klang, Mohd Aliyas Hamdan berkata, seorang lagi lelaki yang terapung-apung di perairan berjaya diselamatkan kira-kira lima batu nautika dari bot tersebut dan telah dibawa ke Jeti Sungai Sumun, Hutan Melintang pada pukul 3.30 petang, menjadikan kesemua jumlah yang berjaya diselamatkan ialah 21 orang.

Pada Khamis (semalam), agensi peguatkuasaan itu menemui 15 mayat terdiri daripada 13 wanita dan dua lelaki manakala seorang wanita dan 19 lagi lelaki berjaya diselamatkan dalam operasinya.

Bot ‘pom-pom’ sepanjang 40 kaki yang membawa kira-kira 70 penumpang, kesemuanya warga Indonesia, karam semasa dalam perjalanan dari Jeti Kuala Sungai Bernam, Selangor menuju ke Tanjongbalai, Sumatera, Indonesia pada awal pagi Khamis.

Bot yang dipercayai meninggalkan jeti Kuala Sungai Bernam pada kira-kira pukul 5 pagi dengan membawa terlalu ramai penumpang itu karam di perairan berdekatan Sabak Bernam pada awal pagi Khamis.

APMM menerima maklumat daripada nelayan tempatan pada 10.37 pagi Khamis, mengenai kejadian itu, dan menlancarkan operasi mencari dan menyelamat di sekitar perairan itu.

Difahamkan, kira-kira 30 mangsa lagi yang masih belum ditemui.

“Kesemua sembilan mayat itu adalah enam wanita dan tiga lelaki yang ditemui berdekatan antara satu sama lain, kira-kira lima atau enam batu nautika dari lokasi bot berkenaan yang dilaporkan karam di perairan Sabak Bernam.

“Kesemua mayat itu dibawa ke Hutan Melintang untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, (HRPB) Ipoh bagi proses bedah siasat,” kata Mohd Aliyas.

Kebanyakan dari Acheh

Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia Hermono berkata, sepuluh mangsa berasal dari Acheh, tiga dari Surabaya, tiga orang dari Sumbar, Mandailing dan Tanjungbalai, Indonesia.

“Beberapa lagi mangsa yang selamat tidak dapat berkomunikasi kerana masih dalam keadaan lemah,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Kuala Lumpur.

Mohd Aliyas berkata, APMM telah memperluaskan kawasan pencarian sehingga kepada 550 kilometer persegi di sekitar perairan Sabak Bernam. Operasi mencari dan menyelamat pada Jumaat telah dihentikan pada pukul 7 malam dan akan bersambung pada Sabtu.

Direman

Tambah beliau, APMM telah mendapatkan perintah tahanan reman keatas 19 mangsa yang terselamat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memasuki dan keluar dari Malaysia secara haram.

Katanya, siasatan APMM juga meliputi Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sekiranya didapati ada di kalangan 19 yang direman itu merupakan tekong bot berkenaan.

Mohd Aliyas berkata, operasi mencari dan menyelamat itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin.

Katanya, operasi itu melibatkan pergerakan 19 aset dari semua agensi dan turut melibatkan tiga aset udara termasuk helikopter Bombadier, Daulphin dan EC725.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) berkata, Malaysia memberi pengampunan kepada pendatang tanpa izin yang ingin pulang ke negara asal secara sah.

Beliau berkata, mereka yang ingin pulang ke negara asal perlu mendapatkan dokumen perjalanan sehala terlebih dahulu di pejabat konsulat di kedutaan masing-masing bagi membolehkan pengeluaran dokumen.

Mangsa sindiket

"Ini adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk memberi pengampunan kepada pendatang tanpa izin, namun jika mereka berhasrat untuk bekerja semula di negara kita, mereka hendaklah memohon mengikut kaedah yang ditetapkan serta mendapatkan permit kerja sementara iaitu PLKS (pas lawatan kerja sementara)," katanya selepas mendapat taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di Jeti Sungai Sumun, Hutan Melintang, Teluk Intan.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mengambil langkah itu kerana ada di antara pendatang tanpa izin yang terbabit dalam bot karam itu, merupakan mangsa sindiket penyeludupan masuk manusia.

"Jadi, melalui kerjasama dengan Kedutaan Indonesia, dokumen sehala akan diberi kepada mereka dan mereka akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing dan pendakwaan pula di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen," katanya.

Dianggarkan lebih 2 juta warga Indonesia berada di Malaysia tanpa mempunyai sebarang dokumen.

Ahmad Zahid berkata, 99 peratus daripada pendatang tanpa izin itu mempunyai dokumen sah ketika mula-mula memasuki negara ini.

"Mereka menjadi pendatang tanpa izin disebabkan mereka tinggal melebihi tempoh, ada antara mereka yang ditipu majikan dan dokumen mereka dipegang oleh majikan, atau mungkin ejen yang mengambil dokumen itu...jadi kita perlu berlaku adil kepada mereka," katanya.

Dalam perkembagan yang sama, Hermono berkata, Indonesia memohon budi bicara kerajaan Malaysia untuk memberi pengampunan kepada mereka yang terselamat atas dasar kemanusiaan.

“Kita minta agar mereka ini tidak dihukum, kerana keadaan mereka yang masih trauma... Ada ahli keluarga mereka yang meninggal,” kata Hermono kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak Kedutaan Indonesia belum dapat memastikan bahawa jenazah mereka yang terkorban dapat dihantar pulang kerana perlu menjalani beberapa proses dokumentasi dengan harapan ia dapat dilakukan sekurang-kurangnya pada minggu hadapan.

Amaran

Ahmad Zahid juga memberi amaran kepada tekong-tekong yang membawa keluar pendatang tanpa izin melalui bot ‘pom-pom’ yang didapati amat merbahaya dan mudah terbalik apabila laut bergelora itu, akan didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom)

"Saya harap mereka tahu bahawa Atipsom telah sekian lama berkuatkuasa. Pihak APMM dan PDRM akan melakukan siasatan bagi memperoleh maklumat berkenaan dan saya ingin memberitahu mereka yang telah 'memangsakan' pendatang tanpa izin ini bahawa tindakan undang-undang di bawah Atipsom adalah berat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak terbabit menghentikan segera aktiviti menyeludup masuk dan keluar pendatang tanpa izin ke negara ini tanpa memikirkan aspek keselamatan.

"Jangan hanya fikir wang ringgit, fikir nyawa manusia ... saya minta mereka hentikan semua perancangan mereka ini," katanya.

Siasatan awal APMM mendapati penumpang yang menaiki bot perlu membayar antara RM300 dan RM400 seorang bagi setiap perjalanan dan jumlah itu akan meningkat antara RM700 dan RM1,000 jika mereka tidak mempunyai dokumen yang sah.

Ahmad Zahid juga tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur rasuah di kalangan agensi penguatkuasa yang menyebabkan sindiket pemerdagangan manusia terus berlaku di negara ini.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan ada unsur-unsur rasuah yang berlaku, jika ini didapati benar, jika ia melibatkan orang dalam agensi-agensi penguatkuasaan, tindakan secara perundangan juga (akan) dilakukan.

“Tiada tolak ansur berkenaan gejala rasuah terutama dalam agensi-agensi penguatkuasaan, kita juga mesti mengakui terdapat beberapa kelemahan dari segi kekurangan aset, kekurangan anggota tetapi itu bukan alasan untuk mengurangkan penguatkuasaan," jelasnya.

Perdana Menteri Najib Razak turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian bot karam itu di laman twitternya pada Jumaat.

"Kejadian bot karam di Sabak Bernam menyedihkan. APMM akan terus cari dan menyelamat. Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga penumpang yang terkorban," catat Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.