Inisiatif Damai Ramadan: Thailand, BRN Capai Kata Sepakat
2022.04.01
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand

KEMASKINI pada 8.30 pagi waktu tempatan ETS - 2022-04-02
Pihak-pihak yang bertelagah dalam konflik di selatan Thailand bersetuju menghentikan keganasan selama 40 hari sempena ketibaan bulan Ramadan dan buat julung kalinya, pemberontak tanpa senjata dibenarkan menziarahi keluarga mereka sepanjang bulan mulia itu, kata para pegawai selepas rundingan damai terkini yang dihoskan oleh Malaysia berakhir pada Jumaat.
Malaysia menjadi pemudah cara dalam rundingan damai dua hari antara kumpulan pemberontak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan kerajaan Thailand – pusingan kedua rundingan bagi tahun ini – di sebuah hotel berhampiran Kuala Lumpur.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju mengurangkan agenda keganasan sepanjang bulan Ramadan, yang bermula pada hujung minggu ini, sebagai satu langkah bagi “membina keyakinan dan kepercayaan,” kata Abdul Rahim Noor, fasilitator Malaysia bagi rundingan damai tersebut kepada pemberita di akhir pertemuan terbaru itu.
Seorang wakil BRN berkata “dua pihak utama bersetuju menghentikan keganasan” di selatan Thailand sebagai sebahagian antara “Inisiatif Damai Ramadan,” yang akan berakhir ssehingga 14 Mei.
“Persetujuan ini bertujuan mewujudkan suasana yang damai dan makmur bagi komuniti Patani khususnya serta satu proses membina keyakinan di antara kedua-dua pihak ke arah mewujudkan keamanan,” kata Anas Abdulrahman, pemimpin delegasi BRN yang juga dikenali sebagai Hipni Mareh, kepada pemberita pada sidang akhbar berasingan.
Patani adalah nama yang diberikan kepada wilayah sempadan di selatan Thailand oleh BRN dan kumpulan bersenjata lain yang melancarkan peperangan sebagai pemberontak pemisah bersenjata sejak berdekad lamanya ke atas Thailand yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Selain itu, menurut kenyataan Abdul Rahim, kerajaan Thailand bersetuju dengan permintaan daripada pihak pemberontak bahawa “anggota BRN boleh pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meluangkan masa mereka bersama keluarga sepanjang bulan Ramadan” tanpa perlu bimbang akan ditahan namun “dengan syarat mereka berjanji tidak akan melakukan serangan dan membawa senjata apabila pulang ke kampung halaman masing-masing.”
Pihak berkuasa Thailand juga akan membenarkan anggota BRN yang berada di penjara untuk bersama keluarga masing-masing pada Aidilfitri, satu perayaan yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan, kata Abdul Rahim. Pada masa yang sama, pejuang pemisah yang menetap di seberang sempadan di Malaysia dibenarkan kembali ke selatan Thailand sepanjang bulan Ramadan selepas mendaftar dengan pihak berkuasa Malaysia.
Pihak berkuasa Thailand juga bersetuju untuk tidak menahan anggota BRN atau melakukan serbuan sepanjang bulan Ramadan. Menurut Abdul Rahim, ketika BRN bersetuju untuk tidak melancarkan serangan, pihak berkuasa Thailand tidak bersetuju sepenuhnya untuk menghentikan keganasan dan berkata mereka akan menyerang balas jika diprovokasi.
BRN, sebuah organisasi yang amat rahsia, adalah kumpulan bersenjata terbesar dan paling bahaya di selatan Thailand yang didominasi oleh penduduk beragama Islam serta bertutur dalam Bahasa Melayu, dengan kebanyakan anggota dan individu yang bersimpati dengan mereka dipercayai tinggal di sebelah sempadan Malaysia.
“Gencatan senjata itu” yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak turut meliputi Pesta Songkran, yang merupakan acara tahunan sambutan tahun baharu Thailand yang jatuh pada 13-15 April, kata fasilitator Malaysia itu.
Perjanjian Ramadan bagi mengurangkan keganasan itu “membuktikan kepada dunia bahawa terdapat harapan ke arah keamanan di selatan Thailand dan wujud peluang untuk menyelesaikan masalah sebenar nelalui proses dialog secara aman,” katanya.
Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ketua panel rundingan damai bagi kerajaan Thailand, dijangka mengadakan sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Pada lewat petang Jumaat, Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan mengenai pusingan rundingan damai terkini itu.
“Kedua-dua pihak telah mencapai kemajuan ketara yang akan menjadi pencapaian penting dan membawa keamanan yang berkekalan di selatan Thailand,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak juga bersetuju dengan Inisiatif Damai Ramadan bagi “mewujudkan satu persekitaran yang kondusif ke arah keamanan sepanjang bulan Ramadan yang mulia.”
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut peruntukan yang dinyatakan oleh Abdul Rahin iaitu anggota BRN dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bersama keluarga mereka sepanjang bulan puasa.
Fasilitator rundingan damai Malaysia Abdul Rahim Noor bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat BRN-Thailand di sebuah hotel berhampiran Kuala Lumpur, 1 April 2022. [S. Mahfuz/ BenarNews]
Keamanan adalah ‘satu perkara yang baik’
Sementara itu, di selatan Thailand, seorang penduduk memuji Inisiatif Ramadan.
“Jika mereka boleh berbuat demikian, orang ramai boleh menjalani kehidupan yang normal,” kata Yaowadee Doloh, seorang penduuk di wilayah Yala kepada BenarNews. “Saya berdoa agar diberikan keamanan yang berkekalan. Pihak tentera dan BRN sepatutnya mampu mengawal anggota mereka dan menghormati gencatan senjata ini. Mereka adalah pemegang watak utama dalam keganasan di selatan Thailand.”
Menurut para pegawai Thailand, adik lelaki Abdul Aziz Jabal, seorang anggota panel BRN dalam rundingan damai itu, telah cedera ditembak di pekan Yala pada Khamis, yang merupakan hari pertama rundingan.
BRN, dalam satu hantaran di laman Facebook, mengutuk serangan itu dan berkata insiden tersebut tidak mempunyai kaitan dengan proses damai tersebut. Pada Jumaat, seorang jurucakap tentera Thailand berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kes itu namun motif kejadian belum diketahui.
Insiden itu berlaku sehari selepas dua anggota polis terbunuh manakala dua lagi cedera dalam kejadian pengeboman di tepi jalan di Bannang Sata, sebuah lagi daerah di Yala, antara wilayah di selatan Thailand.
Seorang penganalisis politik Thailand berkata langkah menghentikan keganasan sepanjang bulan Ramadan mungkin berhasil.
“Jika kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat berkaitan Inisiatif Ramadan, terdapat kemungkinan bahawa mereka akan menghormatinya,” kata Srisompob Jitpiromsri, Pengarah Deep South Watch.
“Paling penting, BRN perlu meneruskan rundingan damai itu. BRN perlu memantau keadaan bagi memastikan tiada anggotanya yang melancarkan serangan. Jika ada yang tidak kena, ia perlu menilai insiden itu dan apa yang sebenarnya berlaku bagi mengelakkan gangguan pada masa akan datang,” kata Srisompob kepada BenarNews.
Perjanjian tiga perkara
Menurut Abdul Rahim dan Anas, rundingan dua hari itu telah menghasilkan perbincangan yang positif, dengan “Prinsip Am” perjanjian mengenai tiga isu: mengurangkan keganasan, konsultasi awam dan penyelesaian politik.
“Mesyuarat itu telah membuahkan hasil yang positif kerana kedua-dua pihak, buat pertama kalinya, bersetuju dengan Prinsip Am ketika membincangkan keiga-tiga isu substantif,” kata Abdul sambil menambah bahawa kedua-dua pihak telah bertukar-tukar dokumen yang ditandatangani dua pemerhati bebas.
Meskipun pihak berkuasa Thailand dan wakil BRN tidak menandatangani dokumen mengenai Prinsip Am, mereka telah mengeluarkan surat pengendorsan yang menyatakan mereka bersetuju dengannya, kata Abdul Rahim dan Anas.
“Usaha kerajaan Thailand dan BRN hendaklah diakui dan disokong oleh semua dalam komuniti keraana kedua-dua panel menunjukkan kredibiliti dan usaha untuk mewujudkan keamanan di selatan Thailand,” kata Abdul Rahim.
Kerajaan Thailand dan BRN juga bersetuju membentuk tiga kumpulan kerja bersama yang dianggotai oleh kedua-dua pihak untuk meneliti ketiga-tiga topik yang digariskan dalam dokumen itu, menurut Abdul Rahim dan Anas.
Kedua-dua pihak turut membincangkan rangka kerja atau Terma Rujukan bagi kumpulan kerja bersama itu, kata Anas tanpa mengulas lanjut.
Ditanya sama ada Malaysia mampu menjadi broker yang neutral dalam rundingan damai itu – seperti yang dibangkitkan oleh sesetengah pemerhati – Abdul Rahim berkata Kuala Lumpur tidak akan menyebelahi mana-mana pihak.
“Mereka boleh membuat sebarang anggapan atau rumusan kerana kita bukan setakat berjiran dengan selatan Thailand, penduduk Patani juga adalah orang Melayu dan nerupakan umat Islam di Thailand. Bagaimanapun, Malaysia sentiasa bersikap profesional,” katanya.
“Kita kekal dwipartisan. Kita tidak menyebelahi mana-mana pihak.”