Pemberontak Selatan Thailand mahu immuniti rundingan damai

Ketua perunding bagi pemberontak BRN berkata mereka juga sedang mempertimbangkan cadangan daripada pihak Thailand untuk melaksanakan gencatan senjata selama 108 hari.
Muzliza Mustafa & Nisha David
2022.08.03
Kuala Lumpur
Pemberontak Selatan Thailand mahu immuniti rundingan damai Anas Abdulrahman (tengah), ketua perunding yang mewakili kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) dalam rundingan damai dengan Thailand, bersama-sama dengan rakan perwakilan BRN yang menyertai perbincangan itu semasa sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya, di luar Kuala Lumpur, 3 Ogos, 2022
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perunding kumpulan pemberontak utama Selatan Thailand meminta imuniti diplomatik supaya mereka boleh berunding dengan orang ramai di kawasan sempadan mengenai proses damai itu tanpa ditangkap, kata ketua perunding pada Rabu.

Ketua perunding damai Barisan Revolusi Nasional (BRN) Anas Abdulrahman berkata pihaknya membuat permintaan itu kepada kerajaan Thailand semasa pertemuan dua hari bersama pegawai-pegawai kanan dari Bangkok di Malaysia minggu ini, dengan BRN sedang mempertimbangkan cadangan utama pihak kerajaan Thailand – melaksanakan gencatan keganasan yang kedua bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Kami berbincang mengenai mekanisme… untuk rundingan awam di lapangan… bahawa wakil kami yang terlibat dalam rundingan damai dan rundingan awam perlu diberi imuniti diplomatik,” kata Anas semasa sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur pada Rabu, sehari selepas mengadakan pertemuan dua hari itu.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga membincangkan mengenai Inisiatif Keamanan Ramadan iaitu gencatan senjata selama 40 hari yang berjaya dilaksanakan pada April hingga Mei lalu, selepas bersetuju untuk menghentikan permusuhan susulan pertemuan bersemuka mereka sebelum ini, yang diuruskan oleh Malaysia.

Pasukan teknikal dari kedua-dua pihak itu akan bertemu tidak lama lagi untuk membincangkan perkara tersebut dengan terperinci sebelum perbincangan rasmi seterusnya - yang keempat tahun ini – berkemungkinan diadakan pada Oktober, kata Anas kepada BenarNews.

Apabila BenarNews bertanya kepada Setiausaha rundingan damai Thailand Lt. Jen Thira Daehwa mengenai perkara tersebut, beliau berkata Thailand terbuka untuk membincangkan isu imuniti dengan lebih lanjut bersama BRN.

Dalam reaksi kepada soalan mengenai cadangan baharu pihak Thailand untuk melaksanakan gencatan senjata selama 108 hari - yang akan berlangsung dari 15 Ogos hingga 30 November dan meliputi sebahagian besar acara keagamaan Buddist Lent - Anas berkata BRN memerlukan masa untuk mempertimbangkan perkara itu.

BRN merupakan kumpulan pemisah bersenjata terbesar di selatan negara itu dengan ramai pemimpin, anggota serta pegawainya dipercayai tinggal di seberang sempadan yang terletak di negara jiran, Malaysia, dan menjadi sasaran waran tangkap di Selatan Thailand, yang mempunyai tentera ramai dan tegas.

Imuniti untuk anggota BRN yang dikehendaki itu perlulah membenarkan wakilnya mengambil bahagian dalam pemantauan dua hala bagi langkah-langkah berkaitan keamanan dalam zon konflik dan membolehkan mereka berunding dengan masyarakat di Selatan Thailand tanpa rasa bimbang dihalang atau ditangkap, kata seorang bekas ahli delegasi Thailand dalam rundingan damai kumpulan pemberontak selatan semasa menjelaskan perkara itu kepada BenarNews.

Menurut perjanjian-perjanjian sebelum ini, kerajaan mengecualikan semua pertuduhan jenayah terhadap anggota BRN yang dikehendaki bagi membenarkan mereka mengambil bahagian dalam rundingan dengan orang ramai, malah membenarkan mereka tinggal di premis tentera Thailand untuk tempoh itu, kata Mejar Jeneral Tentera Thailand Nakrob Boonbuathong.

BRN dan kumpulan pemisah lain telah melancarkan pemberontakan selama berdekad-dekad lamanya terhadap Thailand, yang majoritinya beragama Buddha, di Selatan Thailand iaitu wilayah yang kebanyakan penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu, yang merangkumi Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah di wilayah Songkhla.

Sejak pemberontakan meletus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan 13,500 yang lain cedera dalam keganasan yang berlaku di seluruh wilayah itu, menurut Deep South Watch iaitu badan pemikir tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.