Selatan Thailand: BRN Bersuara Mengenai Proses Damai Semasa
2017.04.10
Bangkok

Dalam satu kenyataan yang jarang berlaku pada Isnin, kumpulan pemberontak terbesar di Selatan Thailand menolak proses damai dengan kerajaan tentera negara itu, menunjukkan panel perunding yang mewakili pihak pemberontak tidak mempunyai mandat untuk berbuat demikian.
Barisan Revolusi Nasional (BRN) pula menyatakan konflik pemisah yang telah berlangsung puluhan tahun di sempadan selatan Thailand boleh diselesaikan melalui dialog, dan menuntut ia memainkan peranan langsung dalam rundingan baru dengan disaksikan dan diselesaikan oleh pihak antarangsa yang tidak berat sebelah.
"Mengenai dialog damai Patani yang sedang berjalan, ia perlu diwakili oleh delegasi yang diberi mandat dan diberi kuasa oleh kedua-dua pihak yang berunding dan juga mesti mematuhi norma-norma antarabangsa," kata BRN yang beroperasi secara berahsia. "Proses perundingan tidak boleh direka oleh mana-mana pihak tertentu selain daripada pihak-pihak berunding ...."
"Mana-mana dialog perdamaian dan memperolehi mandat mutlak dari kawasan itu dan menyampaikan hasrat rakyat memainkan peranan yang penting," kata kenyataan dua halaman dalam versi Bahasa Inggeris oleh "Jabatan Penerangan" BRN yang bertarikh 10 April dan diperolehi oleh BeritaBenar melalui sumber tentera Thai. Kenyataan itu juga dicetak dengan menggunakan kepala surat BRN.
Ia tidak menamakan pihak yang terlibat dalam usaha damai semasa - sama ada tentera Thailand, panel pemberontak yang dikenali sebagai MARA Patani, atau Malaysia, yang telah menjadi pengantara di dalam rundingan tidak rasmi di Kuala Lumpur sejak 2015 - tetapi BRN telah menghantar mesej bahawa ia mahu berunding langsung dengan junta Thai dan menolak MARA Patani sebagai sebuah badan yang sah dalam perbincangan, penganalisis memberitahu BeritaBenar.
"BRN menolak MARA Patani sebagai tidak relevan. Kepimpinannya juga mengingatkan Bangkok bahawa pertikaian ini adalah antara mereka dan negeri Thai dan yang lain tidak boleh menetapkan syarat-syarat untuk perbincangan itu ...., " kata Don Pathan, kolumnis BeritaBenar yang juga pakar mengenai Selatan Thailand.
Menurut Zachary Abuza, seorang pakar mengenai keganasan di Asia Tenggara yang berpangkalan di Amerika Syarikat, "BRN mahu kerajaan menanganinya sendiri, bukan MARA Patani, dan mereka mahu beberapa jenis pelan tindakan yang lebih jelas semasa mengadakan perbincangan serta hasilnya."
Pemberontak berpecah disebabkan rundingan
Pegawai MARA Patani telah berkata bahawa panel yang diwujudkan itu bertindak sebagai payung dalam perundingan dengan mempunyai suara tunggal untuk keamanan di Selatan Thailand, bagi pihak semua kumpulan pemberontak, termasuk BRN.
Pada Februari lepas, MARA Patani dan delegasi Thailand bersetuju dengan satu rangka kerja untuk menubuhkan sebuah zon keselamatan - atau gencatan senjata terhad - di salah satu daerah di empat wilayah selatan yang dikawal oleh pemberontak.
Hampir 7,000 orang terbunuh sejak 2004 dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik di rantau itu yang majoritinya beragama Islam dan berbahasa Melayu.
"BRN telah berhenti daripada proses rundingan damai pada Oktober 2015. Walaupun mereka masih berada di dalam MARA Patani, ia tidak jelas kepada saya sama ada mereka masih memegang majoriti, apatah lagi, pengerusi dan jawatan setiausaha. Rasa saya dari pusingan sebelum rundingan, mereka mempunyai wakil di meja rundingan, tetapi hanya sebagai pemerhati, dan bukannya memimpin, "Abuza, seorang profesor di National War College, Washington DC, memberitahu BeritaBenar pada Isnin.
Selepas BRN mengeluarkan kenyataan pada Isnin, jurucakap Jabatan Penerangannya memberitahu Asia Times bahawa "BRN tidak mempunyai peranan dalam MARA Patani."
"BRN tidak pernah memberi sebarang mandat kepada sesiapa atau mana-mana agensi dari segi menghantar delegasi untuk menyertai proses berterusan antara Mara Patani dan kerajaan Thailand," kata jurucakap BRN Abdulkarim Khalid.
Abuza berpendapat, kenyataan oleh BRN itu juga mempersoalkan kredibiliti dan kesaksamaan Malaysia sebagai pengantara di dalam proses damai tidak formal itu.
"MARA Patani telah dicipta oleh kerajaan Malaysia, dengan dorongan kerajaan Thailand," katanya. "Tanpa tekanan Malaysia, MARA tidak akan wujud. Saya rasa BRN mahu berkomunikasi rasa tidak puas hati dengan KL, di mana kerajaan Malaysia terus menolak MARA ke meja rundingan, walaupun BRN telah memaklumkan kedudukannya dalam proses damai itu dengan jelas. "
MARA telah mengeluarkan kenyataan yang jarang berlaku empat hari selepas Thailand menggubal perlembagaan baru yang kontroversial itu, pengkritik berkata, ia membolehkan tentera untuk mengekalkan pengaruhnya keatas kerajaan.
Kenyataan itu dibuat tiga hari selepas 23 kejadian "sabotaj" - gabungan letupan bom dan serangan kebakaran - menggegarkan Selatan Thailand, menumbangkan tiang elektrik dan menyebabkan gangguan belakan eletrik di rantau itu. Polis menuduh pemberontak bagi kesemua tindakan itu, empat suspek suspek telah ditahan berikutan kejadian tersebut.
Menurut Abuza, kenyataan BRN 'jelas' berikutan pengisytiharan piagam baru.
Perlembagaan telah mengurangkan "kuasa politik dan budaya autonomi" yang dituntut oleh BRN dalam rundingan damai yang lalu, katanya kepada Beritabenar.
"Perlembagaan adalah tentang pemusatan kuasa. BRN melihat kepada piagam dan bertanya sama ada pihak kerajaan Thailand mempunyai minat untuk mencapai penyelesaian politik melalui rundingan. "
‘Itu gaya BRN’
Sementara itu, Jeneral Aksara Kerdpol, pegawai tentera yang mengetuai delegasi Thailand dalam rundingan dengan MARA Patani, menimbulkan keraguan mengenai kesahihan kenyataan itu.
"Mari kita semak semula maklumat itu. Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa kenyataan dokumen berkenaan adalah tulen. Saya tidak fikir BRN akan mengeluarkan kenyataan seperti itu," Aksara memberitahu BeritaBenar, sambil menambah bahawa pihak Thailand akan meminta Malaysia untuk mengesahkan sama ada dokumen itu datang dari BRN.
Walaubagaimanapun, sumber MARA Patani mengesyorkan kenyataan itu dikeluarkan oleh BRN berdasarkan cara penulisannya.
"Berdasarkan kenyataan dalam Bahasa Melayu yang dikeluarkan, jelas itu cara penyampaian BRN. Itulah yang dikehendaki oleh BRN di dalam proses rundingan, " kata seorang sumber kepada BeritaBenar.
Staf BeritaBenar di Pattani, Thailand, turut menyumbang kepada laporan ini.