Dua Aktivis Sarawak Terima Hadiah Bruno Manser Bagi Keberanian Moral
2016.05.26
Kuching, Sarawak

Dua aktivis dari negeri Sarawak di Malaysia menerima Hadiah Bruno Manser bagi Keberanian Moral kerana komitmen mereka dalam melindungi hutan hujan Borneo dan mempertahankan hak-hak kaum tempatan di negeri itu.
Penyelaras Penan, Komeok Joe, dan aktivis anti-empangan, Peter Kallang, adalah penerima pertama anugerah baru itu di majlis yang berlangsung di Basel, Switzerland.
Kedua-dua mereka dinamakan sempena ikon hutan hujan Bruno Manser, kata Dana Bruno Manser dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kaspar Muller, wakil Dana Bruno Manser, memuji kedua-dua aktivis itu di atas komitmen berpanjangan mereka.
"Anda menerima anugerah ini daripada kami semua dan kami berbuat demikian dengan rasa hormat yang tidak terhingga dan amat mendalam kerana penglibatan lama anda dalam memihak kepada hak-hak penduduk pribumi dan perlindungan hutan hujan.
"Tahniah dan terima kasih di atas semua yang telah anda lakukan dan dapat capaikan. Bruno Manser, yang hilang pada 25 Mei 2000, iaitu 16 tahun yang lalu, pasti akan sangat berbangga dengan anda," katanya dalam satu kenyataan.
Dana itu, yang berpangkalan di Switzerland, telah dinamakan sempena aktivis negara itu, Bruno Manser yang pernah tinggal bersama-sama kaum Penan di hutan hujan Borneo dari 1984 hingga 1990.
Manser mempertahankan hak-hak kaum Penan dengan menentang aktiviti pembalakan dan menjadi seorang tokoh ikonik pergerakan antarabangsa bagi perlindungan hutan.
Pada 2000, beliau tiba-tiba lenyap di dalam hutan hujan Sarawak.
Perjuangan tidak berkesudahan
Komeok adalah ahli Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), rangkaian induk untuk 21 pertubuhan bukan kerajaan berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada isu-isu penduduk pribumi Sarawak terutamanya Penan.
Menurut kenyataan itu, Komeok telah diberi penghormatan di atas perjuangannya yang berterusan untuk hak-hak pribumi Sarawak khususnya kaum Penan.
"Sejak akhir 1980-an, beliau telah tanpa mengenal penat lelah telah berusaha untuk melindungi baki hutan utama Sarawak dan memperjuangkan hak tanah kaum Penan," kata kenyataan itu.
Komitmen Komeok Joe dan komuniti Penan Selungo telah berjaya mengekalkan hingga ke hari ini banyak kawasan hutan hujan utama, kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa Kallang, pengerusi rangkaian akar umbi, SAVE Rivers, telah diberi penghormatan bekenaan bagi keberaniannya dalam mempertahankan kehidupan penduduk pribumi terhadap ancaman empangan.
"Beliau dan rakan-rakan aktivis telah mencapai apa yang sukar dipercayai, mereka berjaya meyakinkan kerajaan Sarawak untuk membatalkan Empangan Baram, yang jika dilaksanakan, akan membawa kepada penempatan semula sehingga 20,000 penduduk pribumi,” kata kenyataan itu.
Dana itu sentiasa komited untuk berkempen dalam usaha-usaha pemuliharaan hutan hujan tropika yang terancam demi menghormati hak-hak penduduk hutan hujan, kata dana itu dalam laman webnya.