Pemimpin Asia Kutuk Serangan Di Brussels

Imran Vittachi
2016.03.22
Washington
160322-my-brussels620 Seorang pengawal keselamatan swasta membantu seorang wanita yang cedera di luar stesen metro Maelbeek di Brussels, 22 Mac, 2016.
AFP

Kerajaan Asia Selatan dan Asia Tenggara pada Selasa mengutuk serangan pengganas yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi di Brussels pada awal hari ini.

Pemimpin dan pegawai-pegawai dari India, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura mengeluarkan kenyataan yang mengesali  serangan yang diselaraskan itu di ibu negara Belgium, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan ekstremis Negara Islam (IS).  Kerajaan-kerajaan Asia menggesa rakyatnya yang mengunjungi atau tinggal di Belgium supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berwaspada dengan  ancaman keganasan lagi.

Dua pramugara penerbangan India adalah antara yang cedera dalam serangan itu yang menyasarkan sebuah terminal di lapangan terbang antarabangsa Brussels.

"Kedua-dua staf yang cedera itu sedang menerima rawatan perubatan. Mereka tidak lagi dalam keadaan bahaya,"  kata seorang pegawai syarikat penerbangan India, Jet Airways, kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Mereka yang cedera itu dikenal pasti sebagai Nidhi Chapekar dan Amit Motwani, kedua-duanya dari Mumbai, katanya.

Serangan kedua pula menyasarkan stesen metro di Brussels, yang berdekatan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Belgium, jangan takut! Kami tetap bersama kamu,” kata Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo dalam satu mesej di Twitter di mana beliau mengutuk serangan Selasa itu dan mengucapkan takziah kepada rakyat Belgium.

Pada Jan 14, Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang disasarkan dalam serangan didakwa dilakukan IS, yang mengorbankan lapan orang di pusat bandar Jakarta termasuk empat suspek penyerang.

Sehingga Selasa, tiada laporan sama ada 1,200 orang komuniti ekspatriat Indonesia  di Belgium, cedera atau terbunuh dalam serangan di Brussels.

Ancaman biasa


Indonesia, bersama-sama dengan negara jirannya Malaysia dan Singapura berdepan ancaman yang semakin meningkat daripada IS, yang memperluaskan pengaruhnya dan merekrut ratusan pejuang muda dari rantau itu.

Dianggarkan kira-kira  1,000 orang rakyat Asia Tenggara - terutamanya Indonesia dan Malaysian- telah ke Syria atau Iraq untuk menyertai IS.

"Saya terkejut dan terperanjat dengan serangan di Brussels, yang menyusuli serangan di Turki baru-baru ini," kata Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menerusi Twitter,  yang merujuk kepada serangan pengganas di Ankara pada 13 Mac dan Istanbul pada 19 Mac.

"Serangan pengecut ini merupakan peringatan tentang perlunya negara-negara untuk bersatu dan menentang ancaman ekstremisme. Ingatan dan doa seluruh rakyat Malaysia buat mangsa dan keluarga mereka," kata Najib, yang kerajaannya menjalinkan kerjasama dengan Amerika Syarikat untuk membina sebuah pusat serantau di Kuala Lumpur untuk memerangi propaganda ekstremis dalam talian.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Thailand mengeluarkan kenyataan mengutuk "kekejaman keganasan itu yang mengorbankan banyak nyawa dan mencederakan ramai insan yang tidak berdosa."

Thailand mengalami serangan pengganas pertamanya tahun lepas. Pada 17 Ogos, seramai 20 orang terbunuh dan 120 lagi cedera apabila sebutir bom meletup di Makam Erawan, sebuah destinasi pelancongan popular di Bangkok.

Pada Selasa, penerbangan Thai Airways mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brussels di Zaventem sebelum serangan itu berlaku, tetapi tiada kakitangan atau penumpang syarikat penerbangan itu yang terlibat dengan serangan itu, kata pegawai Thailand.

Kira-kira 4,000 rakyat Thai tinggal di Belgium, termasuk 1,000 orang di Brussels.

Di Singapura, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengutus surat takziah kepada rakan sejawatannya di Belgium, demikian menurut Straits Times, dan Kementerian Luar Negeri negara itu menyatakan ia terkejut dengan berita letupan di Brussels.

Serangan di ibu negara Belgium itu berlaku  empat hari selepas Kementerian Dalam Negeri Singapura mengumumkan langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan bagi menangani ancaman serantau yang ditimbulkan oleh IS.

Ketika mengumumkan langkah-langkah itu, termasuk memperluaskan pemeriksaan di sempadan negaranya, Menteri Dalam Negeri, K. Shanmugam berkata, "kita mungkin mempunyai beberapa Molenbeek di sekeliling kita," merujuk kepada ancaman penyokong IS di negara jiran Indonesia dan Malaysia dan menyamakan kedua-dua negara itu dengan daerah Brussels, di mana dua beradik yang terbabit dalam serangan Paris pada 13 Nov, membesar.

Suspek Paris ditahan

Belgium sudah bersiap sedia menghadapi serangan susulan di tanah airnya sejak ibu negara Perancis itu disasarkan dalam serangan seIaras yang didakwa dilakukan IS, yang mengorbankan 130 orang.

Pada  Jumaat, pihak berkuasa Belgium menangkap Salah Abdeslam, suspek utama dalam serangan Paris, di kawasan kelahirannya di Molenbeek.

Selepas pengganas melakukan serangan pada Selasa, agensi-agensi keselamatan Belgium membuat serbuan di wilayah-wilayah negara itu untuk memburu suspek.

Menurut media di Belgium, sekurang-kurangnya 30 orang maut dan lebih 170 orang lagi cedera apabila tiga letupan berlaku  di lapangan terbang antarabangsa utama dan stesen metro di Brussels.

Dua letupan berlaku di ruang berlepas di lapangan terbang itu,  kata pegawai-pegawai, sambil menambah kata bahawa sekurang-kurangnya satu daripadanya dilakukan oleh pengebom bunuh diri.

Negara Islam  (IS) mendakwa bertanggungjawab melakukan kedua-dua serangan itu, menurut SITE Intelligence, sebuah laman web yang berpejabat di Amerika Syarikat, yang memantau trafik militan Islam dalam talian.

Reaksi India

Di India, Perdana Menteri Narendra Modi, yang dijadual melawat Brussels pada 30 Mac untuk menghadiri Sidang Kemuncak India-Kesatuan Eropah Ke-13, mengutuk serangan itu.

"Berita dari Brussels membimbangkan. Serangan yang amat keji. Takziah kepada keluarga mangsa terkorban. Semoga yang cedera dapat pulih segera," menurut catatan tweet Modi.

Vikas Swarup, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India, mengesahkan bahawa tiada perubahan dalam jadual lawatan Modi ke Brussels.

"Kami mengutuk serangan itu dengan sekeras-kerasnya. Atas semangat setiakawan, kami bersama-sama dengan rakyat dan kerajaan Belgium. Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa, "kata Swarup.

"Keganasan merupakan musuh global dan serangan di Belgium sekali lagi menekankan perlunya kita bersatu untuk menanganinya," kata beliau.

 

Rohit Wadhwaney di Jaipur, India, Pimuk Rakkanam di Bangkok, Razlan Rashid di Kuala Lumpur, Ismira Lutfia Tisnadibrata di Jakarta dan Nurdin Hasan di Banda Aceh, Indonesia telah menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.