Perkahwinan Bawah Umur Budak 11 Tahun Tidak Sah di Malaysia
2018.07.10
Kuala Lumpur, Malaysia

Perkahwinan seorang lelaki Malaysia berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang berasal dari Thailand adalah tidak sah mengikut undang-undang Malaysia dan tidak boleh dibatalkan kerana perkahwinan itu tidak pernah didaftarkan, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun perkahwinan itu sah di sisi agama Islam, ia tidak sah mengikut undang-undang Malaysia kerana tiada sebarang dokumen pengesahan kelulusan dari mahkamah yang diberikan kepada bapa kanak-kanak untuk menjadi mewalikan kepada anaknya yang belum baligh serta menjadi isteri kepada orang yang jauh lebih tua daripadanya.
“Perkahwinan itu tidak sah dan mereka mesti dipisahkan…. Saya sudah berbincang dengan seorang hakim daripada mahkamah syariah dan dimaklumkan bahawa di bawah Seksyen 8, perkahwinan ini tidak sah, kerana mereka tidak mendapat kelulusan mahkamah syariah,” kata Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata, walaupun kanak-kanak itu bukan warganegara Malaysia, kementerian berkenaan perlu mengambil tindakan kerana mahu melindungi hak kanak-kanak kerana kes perkahwinan bawah umur itu perlu dilihat secara holistik dan disiasat sekiranya terdapat unsur-unsur seperti pedofilia, eksploitasi dan pornografi kanak-kanak.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan [JAHEAIK] Che Abdul Rahim Jusoh memberitahu BeritaBenar bahawa status perkahwinan lelaki tersebut, seorang Imam dan juga peraih getah dari Gua Musang, Kelantan itu, masih belum diiktiraf pihak berkuasa negara kerana beliau belum lagi mengemukakan sebarang permohonan.
Walaupun perkahwinan itu masih tertakluk kepada penghakiman oleh Mahkamah Syariah Kelantan, lelaki berkenaan perlu memohon kepada mahkamah untuk mengesahkan perkahwinannya dengan remaja berkenaan, yang kini masih tinggal dengan ibu bapanya di rumah mereka di Gua Musang.
"Di mana-mana negeri, perkahwinan bawah umur mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran Mahkamah Shariah. Status perkahwinan lelaki itu dengan remaja 11 tahun masih tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah sama ada untuk memberikan kebenaran atau tidak," katanya ketika dihubungi BeritaBenar.
Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menghalang sesuatu permohonan perkahwinan bawah umur setelah mempertimbangkan keperluan perkahwinan itu, serta faktor-faktor lain termasuk jika ia boleh menimbulkan sesuatu perkara yang tidak baik terhadap pasangan bawah umur.
Berkenaan kes mahkamah pada Isnin yang menjatuhkan hukuman denda kepada lelaki berusia 41 tahun itu, menurut Che Abdul Rahim, hukuman yang dijatuhkan itu hanyalah di atas kesalahannya melaksanakan perkahwinan dan poligami tanpa kebenaran.
Pada Isnin, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gua Musang di negeri Kelantan mendenda lelaki berkenaan sebanyak RM1,800 (AS$446) selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang berpunca daripada pernikahannya dengan budak perempuan berusia 11 tahun di Thailand.
Kes perkahwinan bawah umur ini mendapat liputan meluas selepas isteri kedua lelaki itu meluahkan perasaan melalui laman Facebook yang tidak puas hati atas keputusan suaminya berkahwin dengan seorang kanak-kanak yang sebaya umur dengan anak mereka.
Lelaki itu didenda sebanyak RM900 bagi setiap pertuduhan.
Penghakiman itu, tambah Che Abdul Rahim, bukan di atas kes lelaki itu berkahwin dengan remaja bawah umur.
“Lelaki itu bukan dihukum kerana berkahwin dengan budak berumur 11 tahun tetapi kerana berkahwin tanpa kebenaran Jabatan Agama dan berpoligami tanpa kebenaran,” kata beliau.
Berita mengenai keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan ramai, termasuk pengguna laman media sosial yang menyifatkan denda yang dikenakan adalah terlalu rendah berbanding perbuatan berkahwin dengan kanak-kanak. Sebelum ini, berita pernikahan itu yang dilaporkan di Narathiwat yang mempunyai penduduk beragama Islam, membangkitkan kemarahan orang ramai di kedua-dua negara.
Menurut peruntukan di bawah Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (No 6) 2002 Negeri Kelantan, lelaki berkenaan boleh dihukum dengan denda RM1,000 atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
Nikah ikut undang-undang Islam
Di Thailand, seorang pegawai kerajaan menyatakan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk membatalkan perkahwinan itu kerana pasangan tersebut dinikahkan mengikut undang-undang Islam oleh imam tempatan.
"Kami tidak boleh segera campur tangan kerana undang-undang Islam yang ditetapkan di wilayah selatan membenarkan perkahwinan ini dengan persetujuan ibu bapa, tetapi undang-undang Thailand tidak membenarkannya," kata Kotrimah Hajiahrun, seorang pegawai di kementerian pembangunan sosial dan keselamatan manusia, kepada BeritaBenar.
Para pegawai dari Jabatan Kanak-kanak dan Remaja Thailand, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan dan wakil-wakil dari Jawatankuasa Islam Narathiwat mengadakan pertemuan minggu lalu untuk membincangkan kes itu, kata Kotrimah.
“Jabatan itu bertemu dengan pihak yang terlibat untuk membincangkan bagaimana kita boleh campur tangan atau membantu keluarga ini. Kita perlu menyelesaikan perkara ini. Pada masa ini, kita belum tahu apa sebenarnya yang boleh kita lakukan, " kata Kotrimah.
Di bawah Enakmen Keluarga Islam Malaysia yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.
Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.
Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.
Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah (lihat seksyen 10 dan seksyen 21(2))