Pelbagai Reaksi Pintu Sempadan Malaysia Dibuka

Sebak, gembira, teruja malah ada yang menitiskan air mata sebaik sahaja melintasi pintu sempadan darat di Tambak Johor.
Iskandar Zulkarnian
2022.04.01
Kuala Lumpur
Pelbagai Reaksi Pintu Sempadan Malaysia Dibuka Penumpang penerbangan Air Asia AK381 daripada Jakarta ke Kuala Lumpur diraikan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) di Sepang, Selangor, 1 April 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia membuka semula sempadannya pada Jumaat selepas dua tahun melaksanakan sekatan ketat berikutan penularan pandemik. Puluhan ribu orang menyerbu sempadan darat negara termasuk dengan Singapura, di mana rakyat Malaysia beramai-ramai menyanyikan lagu kebangsaan ketika mereka menunggu untuk menyeberang masuk ke negara itu.

Di tempat lain, satu penerbangan yang membawa 140 penumpang dari Indonesia ke Kuala Lumpur telah diberi sambutan semburan air sejurus melakukan pendaratan.

Sebak, gembira, teruja malah ada yang menitiskan air mata sebaik sahaja melintasi pintu sempadan darat di Tambak Johor yang memisahkan dua negara berjiran itu dibuka semula tepat jam 12 tengah malam Khamis.

“Isteri tidak tahu pun saya balik, buat kejutan untuk dia, harap menjadilah kejutan saya ini…sudah lama saya tidak dapat berjumpa keluarga.

“Terima kasih buat kerajaan Malaysia dan Singapura yang menjayakan pembukaan sempadan ini,” ujar Mohd Fauzan Hafizi Rosli yang tidak dapat menahan sebak kepada agensi berita nasional Malaysia, Bernama sebaik tiba di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor.

Mohd Fauzan adalah antara ribuan rakyat Malaysia yang berjalan kaki, menaiki kereta dan motorsikal dari arah Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Singapura disambut dengan sorakan meriah kaum keluarga dan sahabat handai yang setia menanti kepulangan mereka.

Bagi mereka yang beragama Islam, pembukaan semula sempadan hadir pada detik yang amat bermakna tatkala menjelangnya bulan Ramadan yang jatuh pada Ahad.

Detik bersejarah ini mendapat liputan media tempatan dan turut tular di pelbagai platform media sosial.

“Sebak tengok video orang berlari masuk Malaysia setelah sempadan Malaysia-Singapura dibuka. Selamat kembali ke tanah air semua,” ciap seorang pengguna Twitter, Mazri Zakaria.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama pada 25 Mac lalu memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang lengkap vaksinasi mulai 1 April.

Kedua-dua negara juga bersetuju membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Keputusan itu menyusul selepas Ismail Sabri pada 8 Mac mengumumkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula mulai 1 April selaras dengan rancangan negara untuk memasuki tempoh peralihan kepada fasa endemik COVID-19.

Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua merupakan antara sempadan darat tersibuk di dunia sebelum pandemik.

Media tempatan melaporkan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata terdapat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor ke Singapura setiap hari menggunakan laluan darat melalui Tambak Johor dan Linkedua sebelum penularan pandemik pada awal tahun 2020.

BORDER_REOPEN_BENARNEWS_01.jpg

Semburan air sebaik saja kapal terbang AirAsia AK381 yang membawa penumpang daripada Jakarta ke Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, 1 April, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pembukaan sempadan lancar

Bagi melancarkan kepulangan mereka, pihak berkuasa membuka kesemua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) iaitu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor Baharu.

Malah kerajaan Malaysia turut memberikan pengecualian bayaran tol di Tambak Johor dan Linkedua bermula hari ini 1 April hingga 7 April.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya para petugas di pintu sempadan termasuk pengendali pengangkutan awam yang telah memastikan perjalanan pengembara berjalan lancar pada hari ini,” ujar Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dalam satu hantaran di laman media sosial Facebook.

Terdahulu, beliau meninjau pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Kompleks ICQS Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Jumaat.

Sementara itu penerbangan AK381 AirAsia yang membawa 140 penumpang dari Jakarta, disambut dengan semburan air sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pesawat Etihad Airways dari Abu Dhabi yang membawa 220 penumpang turut menerima sambutan tradisi semburan air sebaik mendapat jam 10 pagi.

Sambutan meriah juga diterima oleh penerbangan Scoot Air dari Singapura sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, pusat peranginan popular di utara Malaysia.

Pesawat Boeing 737-800 yang membawa 75 pelancong itu disambut dengan semburan air sebelum diraikan dengan alunan peralatan musik tradisional.

Pada hari yang sama, dua pintu sempadan darat Malaysia dan Thailand di utara semenanjung turut dibuka serentak.

Dua pintu sempadan itu terletak di Bukit Kayu Hitam yang terletak di negeri Kedah dan Wang Kelian di negeri Perlis.

Biarpun bilangan pergerakan pengembara di kedua-dua pintu sempadan tidak semeriah di Tambak Johor, namun ia amat bermakna kepada ahli keluarga yang terpisah akibat penutupan pintu sempadan sebelum ini.

Sasar ketibaan dua juta pelancong

Sementara itu, Malaysia meletakkan sasaran menarik dua juta pelancong antarabangsa tahun, umum Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya negara itu.

Menurutnya, pembukaan semula sempadan akan mencetuskan pemulihan besar kepada industri pelancongan Malaysia dengan sasaran menjana RM8.6 billion (AS$2 billion) daripada kehadiran dua juta pelancong.

Ujarnya lagi, terdapat kira-kira 100 penerbangan yang dijadualkan tiba di lapangan terbang Malaysia pada Jumat, membawa lebih 10,000 penumpang termasuk pelancong.

“Industri teruja untuk mengalu-alukan pengunjung sekali lagi selepas aktiviti pelancongan sunyi sejak dua tahun lepas,” katanya kepada media selepas menyambut penerbangan Etihad Airways di KLIA.

Dalam pada itu, Zakaria Shaaban, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia berkata fasiliti di 183 pintu masuk negara telah bersiap siaga menerima kedatangan pengembara.

“Kaunter manual telah diaktifkan 50 peratus manakala ‘auto gate’ telah aktif 100 peratus.

“Pihak imigresen bersedia membuka lebih banyak kaunter manual bergantung kepada keperluan. Setakat ini kaunter sedia ada mampu menampung ketibaan pengembara tanpa berlaku apa-apa kesesakan,” ujarnya kepada media pada majlis yang sama.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia mengunjurkan mampu mencapai sasaran faktor muatan 95 peratus menjelang akhir tahun ini susulan pembukaan semula sempadan.

"Hari ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan panjang ke arah pemulihan industri pelancongan di rantau ini. Kami diberi peluang sekarang untuk menyambung semula dan membina semula rangkaian yang kami ada sebelum ini," ujarnya kepada media di KLIA2 pada Jumaat.

Oktober lalu, Nancy dilaporkan berkata kerajaan menggangarkan kerugian dalam industri pelancongan di Malaysia meningkat kepada RM165 bilion pada tahun 2021 – meningkat berbanding anggaran kerugian sebanyak RM135 bilion pada tahun 2020 susulan pandemik.

Nancy turut dilaporkan sebagai berkata, kementerian menganggarkan lebih sejuta pekerja dalam industri pelancongan kehilangan pekerjaan sejak pandemik melanda negara itu pada tahun 2020.

Sebelum pandemik, Malaysia mencatatkan ketibaan 26 juta pelancong yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sepanjang tahun 2019, sebelum pandemik, menurut data yang dikeluarkan kementerian itu.

Sepuluh negara yang mencatatkan bilangan ketibaan pelancong antarabangsa tertinggi ke Malaysia pada tahun berkenaan adalah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Korea Selatan, Jepun, Filipina dan Vietnam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.