COVID-19: Jangkitan Harian Cecah Tiga Angka, Majoriti Kluster Penjara Sabah

Nisha David
2020.09.08
Kuala Lumpur, Malaysia
200908-MY-C19-SABAH1000.jpg Pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan berpakaian khas mengambil sampel air liur seorang kanak-kanak di flat PKNS Kampung Baru semasa menjalankan proses saringan COVID-19 di Kuala Lumpur, 12 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Selasa merekodkan 100 kes baharu COVID-19, jumlah jangkitan tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak Putrajaya mula mengurangkan sekatan pergerakan pada Jun lepas, dengan penyumbang terbesar sebanyak 62 kes positif dicatatkan daripada kluster di Sabah, demikian kata Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM].

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah 100 kes harian itu melibatkan 62 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu, diikuti dengan Kluster Sungai yang dikesan di Kedah dan Perlis sebanyak 23 manakala 15 kes lagi adalah daripada kluster import.

"Kluster Benteng Lahad Datu melibatkan dua dearah di Sabah - Lahad Datu dan Tawau, dengan 37 kes baharu membabitkan Orang Kena Tahan (OKT) di Ibu Pejabat Daerah Polis Lahad Datu manakala 25 kes lagi yang direkodkan juga melibatkan OKT di Penjara Tawau.

"Bagi Kluster Sungai pula, 22 kes dicatatkan di Kedah dan satu kes di Perlis, 15 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan dua warganegara Malaysia dengan 13 lagi adalah rakyat asing," kata Noor Hisham Abdullah pada sidang media hariannya di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah itu berkata kluster Benteng LD adalah terkawal dan tidak berada dalam masyarakat tempatan di daerah itu kerana kesemua kes adalah terasing daripada orang awam.

Sambil memberi contoh Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil yang berlaku sebelum ini, Noor Hisham berkata kes di Sabah itu hanya membabitkan pendatang asing tanpa izin dan kakitangan di lokap Polis Lahad Datu dan Penjara Tawau.

"Setakat ini kes terkawal, hanya berlaku di lokap dan penjara, bukan di dalam masyarakat. Contoh sebelum ini sebanyak 277 kes positif direkodkan di DTI Bukit Jalil dan keadaan di depoh berkenaan terkawal," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan tiada pegawai dan anggota polis dijangkiti COVID-19 bagi Kluster Benteng LD di Sabah.

"Kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat sanitasi di Ibupejabat Polis Daerah Lahad Datu, dan sangat berharap keputusannya berterusan negatif seperti sekarang ini," kata beliau kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Selasa.

Menurut data KKM, sehingga kini Malaysia merekodkan 9,385 kes jangkitan COVID-19 dalam negara dengan lebih 95 peratus dari jumlah tersebut telahpun pulih, manakala kes kematian pula kekal sebanyak 128 kes. Kali terakhir jumlah melibatkan tiga angka adalah pada awal Jun lepas.

Di peringkat global pula, lebih daripada 27.4 juta kes jangkitan COVID-19 dengan lebih 894,000 kematian direkodkan, demikian menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.

Langkah menyekat pergerakan di dalam negara serta penutupan sempadan mula diperkenalkan pentadbiran Putrajaya sejak 18 Mac lalu, yang bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang hampir serupa seperti perintah berkurung. Selepas hampir dua bulan berada dalam PKP itu, kerajaan telah melonggarkan perintah berkenaan pada 4 Mei lalu selepas jumlah kes COVID- 19 yang dikesan menunjukkan pengurangan.

Kes import

Noor Hisham juga memberitahu yang kes import iaitu jangkitan dari luar negara yang dicatatkan pada Selasa melibatkan 11 kes jangkitan dari India, Indonesia (2) dan masing-masing satu kes dari Pakistan dan Filipina.

Menurut beliau sejak Julai sehingga 7 September seramai 29,330 individu yang memasuki negara itu telah disaring dan daripada jumlah tersebut, seramai 237 individu didapati positif COVID-19, dengan jumlah jangkitan tertinggi adalah dari India, Filipina dan Indonesia.

"Sejak Malaysia menguatkuasakan semula kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin bagi pengembara yang pulang dari luar negara, iaitu bermula Julai hingga 7 September, seramai 29,330 telah disaring. Daripada jumlah tersebut, 237 diuji positif iaitu dari India (42), Filipina (27) dan Indonesia (26),” menurut Noor Hisham.

Sementara itu, pengamal perubatan swasta, Gerard Lawrence berpendapat komuniti perlu sentiasa dinasihatkan berulang kali tentang pematuhan perintah kawalan dan norma baharu.

"Pemimpin tempatan dan majikan perlu memainkan peranan dalam menetapkan pematuhan ketat kepada semua SOP terkini. Ini adalah berdasarkan kepada graf epidemiologi yang sememangnya akan mempunyai ‘peak dan low point’ secara bergilir-gilir dalam sebarang pandemic,

“Tetapi adalah amat penting bagi kita semua memutuskan rangkaian COVID-19, dan apabila jumlah jangkitan meningkat, ianya tidak akan menjadi gelombang baharu yang boleh meletup sekiranya kita mula mengambil remeh," katanya kepada BeritaBenar.

Malaysia telah mengaktifkan semula sekatan terhadap kemasukan warga asing dari 23 buah negara berikutan kenaikan kes COVID-19 secara mendadak di negara-negara terbabit yang merekodkan lebih 150,000 kes.

Sekatan itu merangkumi enam kategori, iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Negara-negara berkenaan ialah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.