Warga Tua, Penerima Vaksin Sinovac Digesa Ambil Dos Penggalak Sebelum Mac
2022.02.07
Kuala Lumpur

Menteri Kesihatan Malaysia pada Isnin menggesa golongan warga emas negara itu supaya mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 sebelum 1 Mac atau berdepan dengan risiko kehilangan status vaksinasi lengkap mereka. Peringatan itu dibuat ketika negara tersebut merekodkan bilangan kes positif koronavirus harian melebihi angka 10,000 buat pertama kali sejak 2 Oktober 2021.
Peningkatan bilangan kes yang disebabkan oleh varian baru Omicron itu dijangka akan berterusan sehingga ia mencapai puncak menjelang akhir Mac depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang turut menggesa para majikan supaya membenarkan para pekerja mereka untuk bekerja dari rumah sebagai salah satu langkah mengawal penularan jangkitan COVID-19.
Dalam satu sidang media khas Menteri Kesihatan itu berkata para penerima dos lengkap vaksin buatan China, Sinovac juga perlu mendapatkan dos penggalak untuk mengekalkan status imunisasi lengkap.
"Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan sekali lagi bahawa semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas, atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac yang berusia 18 tahun dan ke atas, perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.
"Pada tarikh 1 Mac, mereka yang belum mendapatkan vaksin dos penggalak akan melihat sijil vaksinasi mereka (dalam aplikasi MySejahtera) berubah dari warna kuning kepada warna putih," kata Khairy.
Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada Februari 2021 bagi menginokulasi populasi negara itu terhadap koronavirus, dan menggunakan vaksin keluaran daripada tiga pengeluar sebagai vaksin utama iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dan Sinovac.
Berdasarkan maklumat dalam laman web rasmi KKM mengenai pandemik, lebih 63.9 juta dos telah diberikan setakat ini, yang mana 32.9 peratus daripadanya adalah vaksin Sinovac.
Bagaimanapun, susulan kemunculan varian Omicron yang dikenalpasti merebak dengan begitu pantas, Khairy pada Disember lalu berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Mengenai Imunisasi telah mencadangkan supaya semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas, tanpa mengira jenis vaksin siri primer, perlu mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.
Semasa sidang media pada Isnin, Khairy turut memaklumkan dos penggalak mampu memberikan perlindungan kepada penerimanya dari jangkitan COVID-19 serta komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti.
Data harian KKM menunjukkan bahawa individu yang belum divaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti, dan 62 kali lebih berkemungkinan kematian akibat COVID-19 berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak.
Beliau turut merayu kepada golongan warga emas supaya segera mendapatkan dos penggalak kerana mereka termasuk golongan yang berisiko tinggi.
"Saya merayu sangat terutamanya kerana risiko jangkitan yang teruk di kalangan warga emas. Daripada 32,034 kematian sehingga 6 Feb 2022, sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus adalah melibatkan warga emas.
"Sehingga kini, terdapat lebih kurang 32 peratus atau 1 juta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak.
"Walaupun dijangka Omicron ini tidak seganas Varian Delta dari segi gejala dan sebagainya, tetapi warga emas masih lagi berada dalam kategori berisiko tinggi. Bila mendapat dos penggalak, saya percaya mereka akan dilindungi daripada gejala teruk," kata Khairy.
Selain dari warga tua, seramai kira-kira 3.5 juta penerima dos primer jenis Sinovac masih belum tampil untuk mendapatkan dos penggalak mereka.
Kata beliau, perkara itu berlaku disebabkan terdapat keengganan di kalangan penerima Sinovac untuk mengambil dos penggalak daripada jenis berbeza sama ada Pfizer atau AstraZeneca.
Oleh itu, kata Khairy, KKM telah membuat keputusan untuk membenarkan penerima dua dos lengkap Sinovac untuk memilih jenama yang sama sebagai dos penggalak mereka, walaupun pihak berkuasa kesihatan itu menegaskan bahawa Pfizer serta AstraZeneca mempunyai keberkesanan yang lebih baik.
"Saya ingin umumkan bahawa 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapat dos penggalak. Ini ramai, dan mereka adalah terdedah kepada Gelombang Omicron kerana keberkesanan Sinovac tidak sama dengan keberkesanan Pfizer.
"Kerana itu KKM telah buat keputusan... walaupun KKM berpendirian kita lebih galakkan mereka menerima Pfizer atau AstraZeneca, tetapi apa-apa jenis dos penggalak adalah lebih bagus berbanding tiada apa-apa," kata Khairy.
Program inokulasi kanak-kanak berusia antara 5 dan 11 tahun yang baru dilancarkan di Malaysia minggu lalu turut dilihat dapat membantu kerajaan mengekang penularan varian Omicron di dalam masyarakat.
"Saya harap kita dapat stabilkan pandemik ini dalam tempoh sebulan dua akan datang. Negara-negara lain juga mengambil masa sebulan dua sebelum mereka melihat gelombang Omicron itu turun," kata Khairy.
Dalam pada masa yang sama Khairy berkata kementerian turut menggalakkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang boleh membuat kerja mereka dari rumah untuk berbuat demikian.
Ia bertujuan untuk mengurangkan pergerakan individu dan pertemuan bersemuka bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya jangkitan.
Lindungi warga tua
Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Christopher Lee memberitahu BenarNews bahawa kemunculan Omicron menyebabkan dos penggalak menjadi semakin penting, terutama bagi golongan orang berusia dan yang mempunyai penyakit komorbid.
"Kita tahu bahawa kesan vaksin akan menunjukkan penurunan setelah satu jangkamasa tertentu; lebih kurang enam bulan untuk Pfizer dan AstraZeneca manakala Sinovac pula dalam tempoh tiga bulan.
"Selepas jangka waktu tersebut, penerima boleh dijangkiti jika terdedah kepada virus, dan untuk mereka yang berisiko tinggi terutama warga emas dan mereka yang ada penyakit komorbid, mereka mungkin akan mendapat sakit yang lebih teruk.
"Kerisauan lebih tinggi dengan Omicron kerana ia lebih cepat merebak berbanding Delta," kata Lee ketika dihubungi BenarNews.
Lee yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah KKM turut bersetuju dengan langkah membenarkan Sinovac sebagai dos penggalak.
"Mungkin mereka membenarkannya disebabkan terdapat kegusaran sesetengah individu untuk menerima dos vaksin yang berlainan atau dos vaksin mRNA.
"Dos penggalak dengan Sinovac masih lebih baik berbanding tiada dos penggalak langsung," ujarnya.
KKM merekodkan bilangan kes baharu COVID-19 sebanyak 10,089 pada 6 Februari, pertama kali bilangan kes harian melebihi lima angka sejak 2 Oktober 2021. Angka tersebut terus menunjukkan peningkatan pada Isnin apabila KKM merekodkan 11,034 kes.
Peningkatan kes itu adalah sesuatu yang telah dijangkakan oleh KKM disebabkan gelombang penularan varian Omicron. Tren serupa juga telah dilihat di negara-negara lain di seluruh dunia.