Pengarah Eksekutif C4 Raih Anugerah Berprestij AS
2017.06.05
Kuala Lumpur

Pengarah eksekutif sebuah badan bukan kerajaan memerangi rasuah di Malaysia telah dipilih sebagai salah seorang daripada lima penerima Anugerah Demokrasi 2017 daripada sebuah institusi demokrasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Cynthia Gabriel dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) akan menyertai empat lagi aktivitis lain dari Afghanistan, Angola, Guatemala dan Ukraine untuk menerima anugerah demokrasi yang berprestij dari National Endowment for Democracy di satu majlis yang bakal diadakan di Capitol Hill pada 7 Jun ini (Rabu).
“Anugerah Demokrasi disampaikan setiap tahun oleh Lembaga Pengarah National Endowment for Democracy untuk mengiktiraf kerja berani dan kreatif seseorang individu atau organisasi yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi di seluruh dunia,” menurut satu kenyataan badan itu di laman webnya.
Kenyataan NED itu juga menyebut bahawa anugerah tahun ini akan memperingati usaha berani individu yang bertarung untuk menentang musuh rasmi di negara masing-masing iaitu rasuah dan salah guna kuasa.
Mempertaruhkan nyawa membendung rasuah
Selain Cynthia, aktivis menentang rasuah lain yang turut dipilih adalah Khalil Parsa dari Afghanistan; Rafael Marques de Morais [Angola], Claudia Escobar [Guatemala] dan Denys Bihus [Ukraine], demikian menurut organisasi itu.
“Di serata dunia, individu dan organisasi yang berani menggesa kerajaan dan institusi rasmi untuk bertanggungjawab kepada rakyat,” kata President NED Carl Gershman dalam kenyataan ketika menamakan pemenang anugerah berkenaan.
“Kini gerakan rakyat bangkit untuk menuntut ketelusan serta mahukan kerajaan yang bertanggung jawab - aktivis berani seperti lima individu ini, telah mempertaruhkan kerjaya mereka, kebebasan mereka dan juga nyawa mereka untuk mendedahkan rasuah yang membawa akibat buruk,” tambah Carl lagi.
NED adalah badan swasta yang tidak mencari keuntungan yang ditubuhkan sejak tahun 1983 untuk mengukuhkan institusi demokrasi di seluruh dunia. Ia aktif dan menerima sokongan dari peringkat akar umbi di lebih 90 buah negara seluruh dunia.
Persekitaran semakin merbahaya
Ketika dihubungi BeritaBenar, Cynthia berkata, penganugerahan itu merupakan satu pengikitrafan kepada C4 dan usaha pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia dalam membanteras korupsi dan membina masyarakat demokratik.
“Anugerah ini lebih istimewa kepada kami kerana ketika ini ruang di mana kami berjuang menjadi semakin sempit dan persekitaran kerja kami juga menjadi semakin merbahaya,” katanya ketika dihubungi di Amerika Syarikat.
Tambahnya, anugerah tersebut juga mengiktiraf pengorbanan kumpulan ‘whistleblowers’ dan pejuang hak asasi kemanusiaan di negara itu yang memainkan peranan penting dalam memerangi salah guna kuasa dan rasuah.
Majlis penganugerahan yang dijadualkan pada hari Rabu dijangka akan dihadiri oleh Speaker Dewan AS – Paul Ryan dari parti Republikan dan Nancy Pelosi dari parti Demokrat yang telah dijemput untuk memberi ucapan.
Kelima-lima pemenang anugerah itu juga akan memberikan pandangan mereka dalam satu syarahan pada hari yang sama di mana Senator A.S Ben Cardin akan menjadi penceramah utama.
Menurut laman web NED, C4 menerima geran sebanyak US$50,000 (RM213,000) daripada NED pada tahun lepas untuk sebuah projek yang dinamakan ‘Membanteras Korupsi dan Memupuk Akauntabiliti”.
Projek tersebut antara lain akan memperkukuhkan kebebasan institusi awam dengan menjalankan bengkel latihan untuk remaja berkenaan mengenai aspek-aspek penyelewengan dan juga membantu orang awam untuk memahami laporan Juruaudit Negara mengenai bajet kerajaan.
Sebelum menubuhkan C4 pada tahun 2004, Cynthia berjuang bersama kumpulan hak asasi kebangsaaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Beliau juga berkhidmat sebagai naib presiden badan antarabangsa, International Federation for Human Rights diantara tahun 2004 hingga 2009.
Pada Mei lalu, C4 telah melancarkan kempen Kleptocrazy Malaysia serta laman web bagi membolehkan orang ramai membuat laporan mengenai kekayaan dan aset yang dimilik oleh tokoh awam yang dipercayai hidup diluar kemampuan mereka.
Cynthia berkata melalui laman Kleptocrazy.my, pengguna boleh menghantar pelbagai bukti untuk menyokong dakwaan mereka itu dan badan bukan kerajaan berkenaan akan bekerjasama dengan SPRM untuk menyalurkan maklumat yang diperolehi untuk siasatan lanjut.
“Tidak salah jadi kaya; hanya salah jika melalui cara haram. Tindakan ini tidak bermakna C4 cuba menganiayai pegawai kerajaan kerana semua laporan yang dibuat oleh orang awam akan diditapis dan seboleh-bolehnya akan disilang semak dengan agensi-agensi lain di dalam kerajaan,” kata Cynthia dalam majlis pelancarannya.
Ray Sherman di Kuala Lumpur turut membantu dalam laporan ini