Pendedahan Skandal 1MDB, Wartawan Britain Dakwa Jadi Sasaran Kerajaan Malaysia

Polis Malaysia telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Muzliza Mustafa, Ray Sherman & Nisha David
2021.11.11
Kuala Lumpur
Pendedahan Skandal 1MDB, Wartawan Britain Dakwa Jadi Sasaran Kerajaan Malaysia Wartawan Britain Clare Rewcastle Brown, pengarang portal Sarawak Report, ketika satu temuramah dengan agensi berita Agence France-Press di Kuala Lumpur, 20 Mei 2018.
[AFP]

Pengarang portal Sarawak Report, sebuah laman berita atas talian yang dikenali kerana siri pendedahannya mengenai isu rasuah di Malaysia, mendakwa bahawa kerajaan Malaysia pimpinan parti UMNO telah menyambung semula siasatan kes fitnah dari tahun 2018 terhadapnya disebabkan oleh pendedahan dibuat beliau mengenai skandal kewangan 1MDB melalui sebuah buku.

Clare Rewcastle Brown, seorang rakyat Britain, berkata saman yang dimulakan pada tahun 2018 terhadapnya telah "diaktifkan semula" tahun ini "disebabkan motif politik". Kes itu berkaitan dengan sebuah buku tulisannya mengenai skandal 1MDB.

"Saya ini dijadikan satu sasaran politik utama oleh anggota kerajaan hari ini kerana pendedahan mengenai 1MDB dan skandal lain membabitkan mereka, yang mana mereka kini cuba berpura-pura bahawa semuanya kononnya hanyalah satu penipuan," Rewcastle Brown memberitahu BenarNews dalam perbualan melalui email pada minggu ini dan minggu lalu.

"Disebabkan oleh penyebaran maklumat tidak benar oleh rejim ini, saya percaya ianya adalah berbahaya untuk diri saya sekiranya saya menjejakkan kaki ke Malaysia."

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau UMNO, kembali memegang tampuk pemerintahan negara pada Ogos lalu. Najib Razak, bekas presiden parti itu dan juga bekas perdana menteri, kini sedang menghadapi perbicaraan atas pertuduhan pengubahan wang haram serta salahguna kuasa membabitkan ratusan juta dolar yang dicuri dari syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau berkuasa.

Tahun lepas, Najib telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah berkaitan 1MDB, tetapi bebas dengan ikat jamin sementara melalui proses rayuan.

Polis Malaysia telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle Brown kerana tidak hadir ke mahkamah untuk sesi pendengaran berkaitan kes saman itu pada 23 Sept lalu, menurut beliau. Kata wartawan itu, pendakwa raya "tidak membuat sebarang usaha untuk memaklumkan Sarawak Report mengenai sesi pendengaran itu mahupun dakwaan yang dibuat" sebelum pihak berkuasa mengeluarkan waran tersebut.

Rewcastle Brown mendakwa bahawa waran itu dikeluarkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memalukannya.

Pengarang wanita itu telah didakwa di sebuah mahkamah di Terengganu tanpa kehadirannya (in absentia) pada 23 Sept lepas, di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah.

Ia akan menjadi "sangat berbahaya" untuknya memasuki Malaysia, menurut pengarang tersebut, kerana "penjenayah yang telah disabitkan bersalah" kini adalah sebahagian daripada pentadbiran Malaysia.

Beliau merujuk kepada UMNO yang kembali menjadi kerajaan tanpa melalui pilihan raya tiga bulan lalu, selepas kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang disebabkan parti itu menarik balik sokongan terhadapnya. UMNO merupakan sebahagian daripada blok pemerintah yang menyokong Muhyiddin sebelum itu.

Dalam saman difailkan di Mahkamah Kuala Lumpur pada 21 Nov 2018, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah mendakwa bahawa sebahagian daripada buku tulisan Rewcastle Brown mengenai skandal 1MDB boleh membawa pengertian bahawa institusi diraja adalah korup, menurut laporan agensi berita kerajaan Bernama.

Bahagian buku tersebut turut memberikan gambaran bahawa Sultanah Nur Zahirah telah menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), menurut Sultanah itu, merujuk kepada nama entiti yang kemudiannya dikenali sebagai 1MDB.

Sultanah Terengganu itu turut mendakwa bahawa kenyataan dalam buku tersebut telah menyalahtafsir dirinya sebagai telah membantu Low Taek Jho, atau Jho Low, ahli perniagaan berstatus penjenayah dikehendaki, yang dipercayai juga sebagai dalang disebalik skandal 1MDB.

Pendakwa raya AS dan Malaysia mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB di antara 2009 dan 2014, dalam satu skandal kewangan yang membabitkan pelbagai institusi kewangan tempatan dan antarabangsa serta pegawai tinggi, termasuk Najib.

'Penipuan'

Menurut Rewcastle Brown, kes terhadapnya telah dihentikan pada 2018 oleh polis sebagai "tiada tindakan lanjut". Akan tetapi, polis berkata bahawa siasatan kes berkenaan kekal dibuka dan satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Rewcastle Brown kerana kegagalannya menghadiri prosiding mahkamah pada 23 Sept. Seorang pegawai kanan polis berkata bahawa Rewcastle Brown telah dimaklumkan mengenai prosiding itu, namun pengarang tersebut menafikannya.

"Clare [Rewcastle] Brown telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat pada 27 Julai 2021 mengenai tarikh mahkamah itu," kata Abdul Jalil Hassan, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah polis Malaysia kepada BenarNews pada Khamis.

Beliau juga menafikan bahawa kes terhadap Rewcastle Brown pernah ditutup sejak 2018.

"Kertas siasatan itu tidak pernah ditutup dan pihak Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya satu dakwaan dibuat selepas bukti mencukupi," kata Abdul Jalil.

Apabila BenarNews memberitahu pengarang tersebut bahawa mereka telah memaklumkannya mengenai tarikh mahkamah, Rewcastle Brown membalas dengan "itu adalah tipu".

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa pegawai penyiasat ada menghubunginya pada Julai lepas. Katanya, polis Malaysia menghubungi untuk memberitahu bahawa mereka membuka semula kes berkenaan serta sama ada beliau boleh hadir di Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan apabila ia dibuat.

BenarNews telah berusaha menghubungi peguam Rewcastle Brown di Malaysia untuk komen dan maklumat terkini kes tersebut, tetapi mereka tidak membalas segera.

Sementara itu, polis Malaysia pada minggu lepas mengeluarkan notis dikehendaki terhadap Rewcastle Brown, susulan waran tangkap yang dikeluarkan pada September, dan menggesa orang ramai untuk menghubungi polis sekiranya mereka mengetahui lokasinya. Sekiranya didapati bersalah, Rewcastle Brown boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Akan tetapi, Rewcastle Brown tidak bercadang untuk kembali ke Malaysia untuk menghadapi kes terhadapnya kerana, kata beliau, ia telah diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) oleh polis pada 2018.

Rewcastle Brown menambah bahawa beliau juga mempunyai wakil perundangan di Malaysia yang boleh mewakilinya di mahkamah pada 23 Sept, sekiranya tarikh itu dimaklumkan kepadanya.

"Sekiranya saya telah dimaklumkan, mereka pastinya sudah mewakili saya di Mahkamah Majistret, dan ia akan mengenepikan sebarang alasan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap saya kerana tidak hadir," kata beliau.

Pihak berkuasa Malaysia mahu membicarakannya atas kesalahan fitnah jenayah, yang tidak wujud di Britain, iaitu tempat tinggalnya, kata Rewcastle Brown.

"Sebarang penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah itu tidak boleh dikuatkuasakan," katanya.

"Jadi kenapa saya mahu memartabatkan kes ini dengan bersusah payah menghadiri satu perbicaraan mengenai sesuatu yang bukannya jenayah di tempat saya tinggal?"

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.