COVID-19: Malaysia Berdepan Krisis Kekurangan Katil, Kes Meningkat

Penemuan strain baharu, pakar kesihatan beri amaran bilangan kes aktif boleh mencecah sehingga 50,000.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.05.03
Kuala Lumpur
COVID-19: Malaysia Berdepan Krisis Kekurangan Katil, Kes Meningkat Kelihatan Bazar Ramadan dipenuhi orang ramai yang mahu mendapatkan juadah berbuka dan juga membuat persediaan menyambut kedatangan Syawal di Jalan Tunku Abdul Rahmah, Kuala Lumpur, 25 April, 2021
[S. Mahfuz/BenarNews]

Hospital-hospital Malaysia sedang menuju krisis kekurangan jumlah katil untuk menempatkan pesakit COVID-19, dengan negara itu rekod lebih 60,000 kes baharu sejak awal April selepas sektor ekonomi dibuka semula dan orang ramai mula bersikap alpa dalam mematuhi protokol kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan pada Isnin.

Dengan penemuan strain baharu koronavirus yang mempunyai tahap kebolehjangkitan yang tinggi dari India dan Afrika Selatan, beberapa orang pakar kesihatan memberikan amaran bahawa bilangan kes aktif boleh meningkat kepada 50,000 berbanding 30,000 sekiranya orang ramai dibenarkan membuat perjalanan rentas negeri sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, pertengahan Mei ini.

“Sebanyak enam buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal ICU – unit rawatan rapi - dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 didapati telah melebihi ambang amaran dengan kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus, di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

"Malaysia mencatatkan pertambahan sebanyak 61,984 kes baharu dan 235 kes kematian COVID-19 dalam masa 4 minggu. Peningkatan kes baharu dan kematian yang mendadak ini telah menambah bebanan terhadap sektor kesihatan negara," kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah dalam laman web rasminya pada Isnin.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bilangan terkini katil hospital yang disediakan untuk pesakit COVID-19 di seluruh negara adalah sebanyak 33,756 dengan 850 katil tambahan lagi sedang dipersiapkan di negeri Kelantan bagi menghadapi penularan wabak di sana.

Setakat Isnin, bilangan kes aktif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 30,753.

Mengenai peningkatan bilangan kes, Noor Hisham berkata bahawa ia disebabkan oleh kelesuan pandemik yang dialami kalangan masyarakat Malaysia, dan telah membawa kepada penurunan sikap mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang disyorkan pihak berkuasa kesihatan.

"Kelesuan pandemik di seluruh dunia menjadi salah satu penyebab peningkatan kes akhir-akhir ini. Masyarakat mulai lesu, lalu alpa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setelah program imunisasi COVID-19 mula diperkenalkan bermula hujung tahun 2020," tambah beliau.

Beliau berkata peningkatan jumlah kes juga mempunyai kaitan dengan pelonggaran perintah larangan termasuk pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, dan penganjuran perhimpunan beramai-ramai.

"Situasi ini menjadi lebih membimbangkan dengan kemunculan mutasi baharu virus SARS-CoV-2," kata Noor Hisham.

Varian India

Dalam pada itu, pada hari yang sama Menteri Kesihatan Malaysia Adham Baba mengesahkan bahawa Malaysia telah mengesan satu kes B.1.617 atau dikenali sebagai varian koronavirus dari India, selain kes-kes membabitkan varian Afrika Selatan dan United Kingdom.

"Kami telah mengesan satu kes varian dari India di pintu masuk antarabangsa, dan setakat ini kita hanya melihat varian dari Afrika Selatan dan UK.

"Kita telah merekodkan 10 kes membabitkan varian Afrika Selatan di Perak, 10 di Kelantan dan tujuh di Selangor. Varian dari UK pula, sebanyak dua kes tempatan dikesan di Selangor, dan satu kes di Sandakan, Sabah," kata Adham ketika sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Putrajaya pada Isnin.

Penemuan baru itu menjadikan bilangan kes membabitkan varian Afrika Selatan B.1.351 kini sebanyak 48 kes, manakala varian B.1.1.7 UK sebanyak lapan kes.

Penemuan strain ‘mutasi berganda’ dilaporkan pada Ahad oleh akhbar tempatan Berita Harian, sebelum ia dimuatnaik dalam ciapan oleh Menteri Kesihatan itu, menyatakan bahawa ia dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur melalui kaedah penjujukan genom lengkap.

"Berkenaan varian B.1.617, kita telah menutup pengangkutan udara dari India ke negara kita sejak 26 April, dan setakat ini kita tidak membenarkan mana-mana rakyat India untuk memasuki negara kita," kata Adham.

Selain kesesakan di hospital-hospital kerajaan, fasiliti swasta di dalam negara juga telah penuh dan tidak lagi boleh menerima kemasukan pesakit COVID-19, menurut presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Kuljit Singh.

"Sejak awal lagi, hospital swasta hanya menyediakan jumlah katil yang kecil untuk membantu pesakit COVID-19 yang mahukan rawatan di fasiliti itu.

"Hospital swasta tidak mempunyai jumlah kakitangan seperti hospital kerajaan yang mempunyai doktor pakar, pegawai perubatan, pelatih perubatan, jadi kami hanya mampu mengambil sejumlah kecil daripada pesakit," kata Kuljit kepada BenarNews.

Ditanya mengenai bilangan katil yang kini digunakan untuk pesakit COVID-19, beliau berkata persatuan itu tidak menyimpan maklumat sedemikian, dan ia bergantung kepada hospital mengikut kapasiti dan kemampuan mereka.

"Sementara hospital swasta yang besar boleh mengendalikan pelbagai kategori pesakit, mereka masih mempunyai kekangan dari segi bilangan kes teruk yang boleh diambil disebabkan jumlah kakitangan yang terhad.

"Walaupun permintaan meningkat, kami masih tidak boleh menambah kapasiti kerana kapasiti dan kemampuan kami terhad," kata beliau.

Sebaliknya, Kuljit berkata bahawa hospital swasta boleh menghulurkan bantuan yang lebih bermakna kepada fasiliti kerajaan dengan mengambil kes-kes yang bukan COVID-19, dan ini akan membolehkan hospital kerajaan meningkatkan kapasiti mereka bagi mengendalikan kes koronavirus.

"Sudah terdapat persefahaman dibuat dengan kerajaan pada tahun lepas. Kami akan mengambil pesakit bukan COVID-19, dan mereka akan mempunyai lebih kapasiti bagi merawat pesakit COVID-19," kata Kuljit.

Tambahnya, aturan itu telah digunapakai dalam skala kecil, dan mencadangkan supaya satu cara lebih sistematik digunakan.

"Mereka telah mencetuskan perjanjian ini dalam skala amat kecil setakat ini, tetapi mereka harus melakukannya dalam cara yang lebih sistematik supaya kami akan boleh benar-benar membantu, dan masalah ini dapat diselesaikan," kata Kuljit.

Sementara itu, pakar kesihatan seperti ahli epidemiologi Malina Osman memberi amaran bahawa negara bakal melihat kes aktif COVID-19 melonjak ke paras 50,000 pada pertengahan Mei sekiranya trend peningkatan kes berterusan.

Bercakap kepada akhbar New Straits Times, Malina berkata situasi itu diburukkan lagi dengan fakta bahawa sejumlah 19.5 juta penganut agama Islam dalam negara, atau 61.3 peratus daripada populasi Malaysia, akan menyambut Aidilfitri pada 13 Mei ini selepas sebulan berpuasa.

"Daripada pandangan saya, walaupun jika kita mahu membuat lawatan (kepada saudara mara dan keluarga) dalam negeri yang sama ketika Hari Raya, kita perlu melaksanakan satu bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara sendiri," beliau dilaporkan berkata.

Malina juga dilaporkan berkata bahawa sekiranya perjalanan rentas negeri dibuka sebelum Julai, ia akan menjadi satu malapetaka kepada sistem kesihatan yang sudah pun menghadapi kesukaran untuk menampung kes harian melebihi 2,000 kes sehari sejak 15 April.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.