Bank Dunia: KDNK Malaysia Mungkin Menguncup Selepas Tempoh Sedekad
2020.03.31
Putrajaya, Malaysia

Bank Dunia pada Selasa memberi amaran yang ekonomi Malaysia mungkin menyusut buat pertama kali dalam tempoh sedekad, dengan hari yang sama juga pasangan Diraja negara berkenan untuk tidak menerima bayaran Emolumen Diraja selama enam bulan mulai Mac bagi meringankan beban kewangan kerajaan dalam menghadapi COVID-19.
Pentadbiran Putrajaya juga turut mengumumkan bahawa semua warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara akan dikuarantin selama dua minggu.
"Wabak COVID-19 yang sedang menular kini telah membawa impak negatif yang besar terhadap ekonomi domestik Malaysia, termasuk gangguan berskala besar terhadap aktiviti ekonomi.
“Unjuran perkembangan KDNK bagi tahun 2020 (untuk Malaysia) telah disemak semula kepada penurunan mendadak, daripada 4.5 peratus kepada -0.1 peratus, menunjukkan impak yang dibawa oleh COVID-19 terhadap ekonomi," kata Bank Dunia dalam laporan terbarunya mengenai impak wabak tersebut di Asia Timur dan Pasifik.
Insititusi kewangan antarabangsa berpangkalan di Washington, yang menyediakan pinjaman dan geran kewangan kepada pemerintah negara-negara miskin itu telah menerbitkan laporan tersebut pada lewat Isnin waktu tempatan yang antara lain menganggarkan Malaysia mempunyai skala ketidaktentuan yang besar, bergantung kepada apa yang berlaku secara keseluruhan serta tindak balas polisi negara.
Bank Dunia itu turut menerbitkan graf KDNK negara sejak 1961 sehingga 2018, yang sekaligus menunjukkan Malaysia pernah berada pada peratus -1.54 pada tahun 2009 yang sekaligus menjadikannya sudah sedekat lalu ekonomi berada pada paras -0.1.
Laporan yang juga keluar itu juga menyatakan bahawa impak COVID-19 dilihat ketara di mana nilai ringgit berbanding dolar Amerika turut menyusut sehingga tujuh peratus di antara Januari sehingga Mac 2020.
"Wabak COVID-19 dianggarkan akan turut membawa impak negatif dalam jumlah signifikan kepada kadar pekerjaan dan pendapatan, terutama di kalangan 40 peratus tenaga kerja di Malaysia yang tidak dilindungi oleh perlindungan sosial pekerjaan, serta pekerja di sektor runcit, pembuatan, pelancongan, dan sektor-sektor lain yang terjejas teruk," kata laporan Bank Dunia itu.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadli Shamsuddin, dalam satu kenyataan berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memberi perkenan supaya emolumen pasangan diraja itu tidak dibayar bagi tempoh enam bulan sehingga Ogos depan.
Kenyataan itu turut berkata, keputusan dibuat oleh Seri Paduka berdua adalah sebagai menyahut seruan yang dibawa semua ahli kabinet serta timbalan menteri yang sebelum ini telah bersetuju untuk memotong gaji mereka selama dua bulan bagi dimasukkan ke dalam tabung COVID-19 negara.
"Perkenan Seri Paduka Baginda berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda berdua terhadap perkembangan terkini pandemik dan situasi kewangan negara," kata Ahmad Fadli.
Pada 26 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan media mengumumkan bahawa mesyuarat kabinet yang diadakan sehari sebelum itu telah memutuskan supaya dua bulan gaji semua menteri dan timbalan menteri, termasuk gaji Muhyiddin sendiri, dipotong bagi disalurkan kepada tabung berkenaan.
Tabung COVID-19 itu dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.
Perintah kawalan berkesan
Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Noor Hisham Abdullah memberitahu bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 sejak dua minggu lalu telah menunjukkan kesan yang diharapkan.
Antara kesannya ialah pertambahan kes positif harian yang ada kalanya menunjukkan penurunan manakala jumlah mereka yang pulih sepenuhnya pula meningkat setiap hari.
Bagaimanapun, Noor Hisham menegaskan bahawa impak keseluruhan PKP hanya akan dapat diketahui selepas tempoh lanjutan dua minggu perintah itu berakhir pada 14 April depan, dengan bergantung kepada kerjasama orang ramai dalam memutuskan rantaian jangkitan.
"Tempoh dua minggu akan datang adalah amat penting, di mana ia akan menentukan samada tindakan oleh kerajaan setakat ini akan memberikan impak yang kita harapkan. Ini adalah berkaitrapat dengan cara orang ramai bertindak dan sama ada mereka mematuhi PKP.” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia meningkat kepada 2,766, kes daa merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara. Sebanyak enam kes kematian baru juga direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian berkait COVID-19 adalah seramai 43 orang.
"Antara kes kematian terbaru melibatkan seorang warga Indonesia berusia 40 tahun, iaitu kes pertama kematian melibatkan warga asing. Lelaki itu dimasukkan ke Hospital Besar Sarawak pada 20 Mac lalu selepas didapati positif adan meninggal pada Selasa," tambagnya lagi.
Sehingga kini KKM telah menjalankan ujian pengesanan Covid-19 ke atas 40,483 orang, di mana seramai 29,498 telah didapati negatif virus berkenaan manakala 8,219 lagi masih menunggu keputusan ujian.
Di Sabah pula, bagi membendung penularan wabak COVID-19, kerajaan negeri pada Isnin mengumumkan penutupan operasi ladang dan kilang kelapa sawit di negeri itu semasa tempoh PKP diperluaskan kepada tiga lagi daerah akan menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang terjejas kepada 65 peratus daripada keseluruhan 1.2 juta hektar.
Tiga daerah terbaru itu ialah Kalabakan, Semporna dan Kunak, dengan sebelum ini ladang dan kilang sawit ditutup di Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan. Proses penutupan awal dilakukan selepas kerajaan mengesan penularan virus COVID-19 dikalangan pekerja ladang di kawasan tersebut. Proses penutupan itu akan berakhir 14 April.
Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan Persatuan Pemilik-pemilik Estet Malaysia pada Selasa berkata langkah yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal sehari sebelum itu bakal menjejaskan 75 peratus pengeluaran minyak sawit dan 100,000 pekerja di negeri berkenaan.
"Pihak industri menghargai dan memahami kebimbangan kerajaan negeri berkenaan peningkat insiden COVID-19 di Sabah, dan langkah-langkah sedang diambil bagi menyelamatkan nyawa.
"Akan tetapi, pihak industri lebih merasa bimbang akan kesan penutupan ini terhadap impak sosial, serta kerosakan yang akan berlaku kepada industri," kata kenyataan itu.
Antara sebab lain pekerja yang duduk di penempatan mereka dalam tempoh lama kerana tidak bekerja, berkemungkinan akan keluar ke kawasan lain dan seterusnya meningkatkan risiko jenayah dan keselamatan.
Persatuan berkenaan turut berkata, para pekerja mungkin juga akan meninggalkan terus estet dan mencari peluang kerja di tempat lain, kerana tidak semua syarikat mampu untuk membayar gaji ketika mereka tidak menjalankan kerja.
Ini seterusnya menyebabkan risiko majikan ditinggalkan tanpa tenaga kerja untuk menyambung operasi selepas tempoh PKP.
"Perkara-perkara ini menunjukkan mimpi ngeri operasi estet dan kilang, di samping berpotensi untuk mengurangkan kadar pendapatan sehingga RM860 juta(AS$199.2 juta) bagi penutupan selama sebulan.
"Kehilangan pendapatan cukai jualan sebanyak 7.5 peratus untuk kerajaan juga dianggarkan sebanyak RM57 juta(AS$13.2 juta), yang boleh digunakan untuk melawan COVID-19 bagi kebaikan rakyat,” kata kenyataan itu.
Ketibaan luar negara wajib kuarantin
Bagi membendung penularan COVID-19, semua warganegara Malaysia yang tiba dari luar negara bermula 3 April ini akan dikuarantin di pusat-pusat isolasi yang disediakan kerajaan.
Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan itu dalam satu sidang media khas selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri berkenaan COVID-19 pada Selasa, bagi membendung risiko penularan wabak itu di kalangan mereka yang baru tiba dari negara luar.
"Mesyuarat telah buat ketetapan bahawa rakyat yang pulang akan dikuarantinkan selama 14 hari di tempat-tempat yang disediakan oleh pihak kerajaan. Sampai di lapangan terbang, mereka akan terus di bawa ke pusat kuarantin," kata Ismail.
Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Kamarudin Jaffar seramai 4,374 lagi yang kini masih terkandas di 56 negara, dengan jumlah terbesar adalah di India seramai 2,156, Indonesia (680), Australia (226), New Zealand (153), Thailand (337), Egypt (121), Pakistan (128), The Philippines (54), Sri Lanka (50), dan UAE(43). Proses untuk membawa mereka pulang masih giat dijalankan.