COVID-19: Malaysia Kenakan Caj Ujian Saringan Bagi Warga Asing
2020.06.29

Malaysia pada Isnin mengumumkan warga asing yang mahu masuk ke negara itu perlu membayar caj ujian saringan COVID-19 yang wajib dilalui mereka di kesemua pintu masuk negara, demikian kata Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob.
Menteri itu turut memberitahu yang caj ujian berkenaan juga akan dikenakan keatas rakyat tempatan yang pulang dari luar negara tetapi memberi kelonggaran terhadap Orang Kurang Upaya yang memiliki kad Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi serta pelajar yang pulang dari luar negara buat pertama kalinya.
“Bermula hari ini (29 Jun 2020), rakyat Malaysia dan warganegara asing yang pulang ke Malaysia perlu menanggung kos ujian saringan COVID-19 setibanya di Malaysia.
“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan juga telah membuat keputusan untuk pengecualian bagi tiga kategori iaitu Orang Kurang Upaya yang mempunyai kad yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi dan pelajar yang pulang dari luar negara buat pertama kali,” kata Ismail Sabri pada sidang media hariannya di Putrajaya.
Bagaimanapun jumlah bayaran yang dikenakan terhadap rakyat tempatan dan warga asing adalah sedikit berbeza dengan mengikut jenis ujian yang dijalankan.
Beliau berkata bagi rakyat tempatan caj sebanyak RM30 (US$7) atas dikenakan bagi setiap ujian pantas antibodi, RM60 (US$14) untuk kit ujian pantas antigen, dan RM150 (US$35) bagi ujian tindak balas berantai polimerase.
“Bagi warga asing pula, caj yang dikenakan adalah sebanyak RM60 (US$14), RM120 (US$28) dan RM250(US$58) untuk setiap jenis ujian yang dibuat keatas mereka.
“Selain itu mana-mana warganegara atau warga asing yang berada di Malaysia juga boleh meminta untuk menjalani ujian COVID-19 di mana-mana hospital kerajaan atau fasiliti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan membuat bayaran mengikut jumlah yang sama,” tambah Menteri berkenaan.
Langkah mengenakan caj ujian pengesanan COVID-19 untuk pelawat asing adalah yang pertama kali dibuat sejak Malaysia dilanda wabak berkenaan yang turut memaksa kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan.
Menteri itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab kenapa terdapat perbezaan caj yang dikenakan ke atas rakyat tempatan dan warga asing.
Perintah separa-berkurung yang diperkenalkan Malaysia sebelum ini menyaksikan sekatan dikenakan ke atas perjalanan ke luar negara, manakala hanya rakyat tempatan yang ingin pulang dibenarkan untuk masuk dengan syarat mereka mesti menjalani ujian pengesanan koronavirus dan kuarantin wajib selama 14 hari.
Sebelum ini, semua kos ujian pengesanan COVID-19 dan juga kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang disediakan untuk rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah ditanggung oleh kerajaan, kecuali bagi mereka yang memilih untuk tinggal di hotel mewah yang disediakan sebagai pusat kuarantin berbayar.
Menurut Ismail Sabri, di antara 10 Jun dan 28 Jun, seramai 6,927 rakyat Malaysia telah pulang melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan 6,891 daripada dibenarkan pulang untuk menjalani kuarantin di rumah manakala 36 lagi pula dibawa ke hospital.
Tig kes jangkitan harian
Sementara itu, kes harian COVID-19 pada Isnin kekal rendah dengan hanya tiga kes positif baru dikesan setakat jam 12 tengah hari, manakala tiada kes kematian baru yang berkaitan koronavirus itu direkodkan sejak 14 Jun lalu.
Menurut Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah, tiga kes baru itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 meningkat kepada 8,637.
Jumlah mereka yang pulih juga turut meningkat melebihi 96 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di dalam negara.
Dalam sidang media yang sama juga, Noor Hisham mendedahkan bahawa seramai 1,472 individu yang diperintahkan menjalani kuarantin wajib di rumah masih belum tampil untuk menjalani ujian COVID-19 pada hari ke-13 bagi melengkapkan perintah kuarantin mereka.
Bilangan berkenaan adalah dari sejumlah 5,909 individu yang telah dibenarkan pulang ke rumah bagi menghabiskan tempoh kuarantin mereka sejak 10 Jun lalu.
Noor Hisham memberi amaran bahawa mereka yang gagal mematuhi arahan berkenaan yang dikenakan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan syarat-syarat yang terkandung di dalamnya melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dikenakan hukuman undang-undang.
"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bersama agensi lain yang terlibat telah diberi kuasa untuk mencari dan mengambil tindakan ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini. Mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya," kata beliau.
Noor Hisham turut menyeru ahli keluarga mereka yang dikenakan kuarantin wajib supaya turut memainkan peranan dengan menasihati dan memastikan pengembara mematuhi arahan berkenaan.