COVID-19 Memaksa Umat Islam Ubah Cara Kendali Jenazah

Jesmin Papri & Froilan Gallardo
2020.04.03
Dhaka & Marawi, Filipina
200403-SEA-burial-620.jpg Anggota keluarga mangsa COVID-19 hanya mampu menyaksikan pengebumiannya dari jauh di tanah perkuburan di Jakarta, 31 Mac, 2020.
(AFP)

Kematian mendadak Mohamad Pannu Mia, penarik beca berusia 55 tahun di Bangladesh, bukanlah perkara biasa.

Selepas Md Parvez bergegas membawa bapanya itu ke sebuah hospital di Dhaka pada malam 30 Mac, dia hanya mampu menyaksikan segalanya dari jauh dan tidak mampu melakukan apa-apa ketika jenazah Mia meninggalkan dunia ini dan dikebumikan.

"Pihak berkuasa hospital tidak menyerahkan jenazah bapa saya kepada kami, kerana mengesyaki dia mungkin meninggal dunia akibat koronavirus," kata Parvez, 21, yang bekerja sebagai pengimpal, kepada BeritaBenar semasa dihubungi menerusi telefon di rumahnya di kawasan Nawabganj di Dhaka, di mana dia sedang menjalani tempoh kuarantin.

Petugas perubatan melakukan solat jenazah untuk bapanya di hospital, tetapi hanya lima atau enam orang sahaja yang berada di dalam bilik itu, katanya.

"Mereka yang melakukan Namaz-e-Janaza (solat jenazah) memakai pakaian perlindungan peribadi dan topeng hidung dan mulut. Air yang dicampur dengan bahan peluntur disembur ke seluruh tubuhnya sebelum ia dibaluti dengan kain putih. Kemudian, jenazahnya  dimasukkan ke dalam sebuah kotak," kata Parvez.

Keesokan harinya, ambulans membawa jenazah Mia ke tanah perkuburan. Parvez dibenarkan mengikuti ambulans itu secara berasingan.

Anggota keluarganya tidak dibenarkan ikut sama.

"Bapa mempunyai dua lagi anak perempuan. Tetapi mereka tidak dapat melihat wajahnya buat kali terakhir. Ibu saya  pun tidak dapat menyampaikan kata-kata terakhir kepada suaminya. Saya tidak dapat memberi penghormatan terakhir yang sepatutnya diberikan kepada jenazah bapa saya. Saya juga gagal berbuat apa-apa,"kata Parvez.

Dari Bangladesh ke Filipina, dengan bilangan kematian akibat COVID-19 sudah bertambah kepada dua dan tiga angka, umat Islam mendapati mereka terutamanya anggota keluarga terpaksa mengetepikan amalan yang lazim dilakukan sebelum mengebumikan jenazah, yang pastinya menambah lagi rasa sedih selain terkejut, berduka dan stigma setelah  menjadi mangsa virus yang membawa maut itu.

Wabak itu telah memaksa umat Islam untuk menukar amalan lazim agama mereka, kata Bin Laden Aga Khan Sharief, seorang warga emas Muslim di Marawi, Filipina.

"Jenazah si mati tidak lagi boleh dimandikan atau diganti pakaian," katanya kepada BeritaBenar. "Dalam Islam, adalah wajib untuk memandikan atau membersihkan keseluruhan tubuh jenazah. Hanya mereka yang Syahid, atau mereka yang mati dalam pertempuran, dikecualikan daripada kewajipan itu. "

'Kesengsaraan bertambah'

Di ibu negara Bangladesh, pegawai dari hospital berkenaan kemudian menghubungi Parvez untuk memberitahu bahawa bapanya telah diuji negatif untuk coronavirus dan meninggal dunia akibat pneumonia atau radang paru-paru.

Pakar penyakit berjangkit di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat menyenaraikan radang paru-paru sebagai komplikasi coronavirus yang teruk.

Hasil ujian itu tidak meyakinkan jiran-jirannya, kata Parvez.

"Dari segi sosial, kami berdepan rasa kurang selesa," katanya. "Kami merasa tertekan dari segi mental berikutan kematian bapa saya, dan pada masa sama tidak mempunyai makanan yang mencukupi di rumah – kesengsaraan kami bertambah."

Ketua Pengarah Yayasan Islam Anis Mahmud menyatakan bahawa jenazah umat Islam yang meninggal dunia akibat COVID-19 harus dimandikan secara kering atau Tayammum mengikut syariat Islam, sebelum disembur dengan bahan peluntur sebagai mematuhi peraturan kesihatan.

"Arahan telah diberikan supaya mematuhi sistem ini selepas berunding dengan ulama Islam," katanya kepada BeritaBenar.

Berkompromi

Di Malaysia, satu lagi negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam, garis panduan yang dikeluarkan pada akhir Mac oleh Kementerian Kesihatan menetapkan supaya semua mayat pesakit yang disahkan dan disyaki dijangkiti COVID-19 dibaluti dengan kain linen putih dan dimasukkan ke dalam dua beg plastik jenazah oleh petugas perubatan yang memakai topeng N95, pelindung muka, sarung tangan dan apron pelindung tubuh.

Prosedur memandikan jenazah orang Islam pula dibuat secara Tayammum, iaitu cara simbolik dengan menggunakan pasir atau debu suci ke atas permukaan jenazah yang sudah dibungkus dengan beg jenazah itu, menurut garis panduan itu.

"Saudara-mara dilarang daripada mengendalikan jenazah dalam apa jua keadaan," menurut garis panduan itu yang turut menetapkan hanya seorang anggota keluarga sahaja dibenarkan untuk melihat jenazah itu bagi tujuan pengecaman jenazah.

"Amalan biasa memerlukan mereka yang menguruskan jenazah supaya membersihkan tubuh si mati dengan air sebelum jenazah dikafankan dengan kain putih. Mereka yang menguruskan jenazah perlu menyentuh badan si mati untuk memastikan ia benar-benar bersih sebelum [meneruskannya] ke peringkat lain dan persediaan terakhir untuk pengebumian jenazah," kata Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menteri Malaysia yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam, awal bulan ini.

Aleem Saad Amate, presiden Pertubuhan Imam Filipina berkata umat Islam sudah bersedia untuk berkompromi dengan protokol baru itu.

Keluarga pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Pusat Perubatan Mindanao Utara pada 13 Mac telah bersetuju untuk tidak mengikut amalan ketat Islam dalam menguruskan pengebumian jenazah itu tetapi mereka tidak mahu mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia supaya jenazah itu dibakar. Sebaliknya, keluarga membenarkan pegawai kesihatan supaya memasukkan jenazah ke dalam beg sebelum dikebumikan.

"Pembakaran mayat dianggap Haram oleh umat Islam tetapi memasukkan jenazah ke dalam beg jenazah adalah suatu kompromi," kata Amate. Beliau berkata keluarga itu bernasib baik kerana doktor di hospital itu memahami dan menghormati amalan pengebumian Islam mereka.

Para pegawai Hospital Sungai Kolok menguruskan pengebumian jenazah mangsa COVID-19 di tanah perkuburan Sarayo di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 27 Mac, 2020. [Matahari Ismail/BeritaBenar]

Dimandikan tanpa menanggalkan pakaian

Di Indonesia, Majelis Ulama Indonesia (MUI) iaitu pihak berkuasa agama tertinggi negara itu menyatakan jenazah mangsa COVID-19 masih harus dimandikan tanpa perlu menanggalkan pakaiannya.

Ia kemudian perlu dibaluti dengan kain kafan, dimasukkan ke dalam beg jenazah kalis air sebelum ditempatkan dalam keranda kedap udara dan dikebumikan tanpa dikeluarkan dari keranda berkenaan, kata majlis itu.

Sementara itu, MUI menggesa orang ramai supaya tidak menolak untuk menguruskan pengebumian jenazah mangsa coronavirus di kawasan kejiranan mereka, susulan laporan bahawa segelintir masyarakat cuba menyekat pengebumian mangsa COVID-19.

"Orang ramai tidak boleh menolak pengebumian mangsa koronavirus atau wabak sebarang penyakit kerana proses pengebumian dikendalikan oleh pegawai perubatan yang sangat profesional, bukan oleh orang awam," kata Anton Tabah, pengerusi Suruhanjaya Undang-undang MUI.

Pada Ahad, beberapa penduduk di Kabupaten Gowa, Sulawesi Selatan membantah pengebumian seorang mangsa COVID-19 dan mengusir sebuah ambulans yang membawa jenazah itu. Jenazah itu kemudian dikebumikan di lokasi lain.

Di Thailand pula, pejabat Sheikhul Islam mengumumkan bahawa umat Islam di seluruh negara mesti mematuhi protokol pengebumian sementara sehingga dimaklumkan kelak.

"Dalam kes kematian COVID-19, saudara-mara dan rakan-rakan tidak dibenarkan menyentuh atau mencium jenazah bagi mencegah kuman daripada tersebar. Jenazah mesti diuruskan mengikut nasihat perubatan, dengan menyapu debu bukannya dimandikan, "kata Sheikhul Islam dalam satu kenyataan.

Persediaan untuk solat dan pengebumian jenazah mesti dilakukan di hospital, dan jenazah harus dikebumikan di dalam beg kedap udara dengan secepat mungkin, katanya.

Sekurang-kurangnya lima umat Islam di Selatan Thailand telah meninggal dunia akibat COVID-19, menurut pihak berkuasa. Pegawai hospital telah mengebumikan jenazah mereka dengan menghalang saudara mara daripada meratapi kematian mereka di tanah perkuburan.

Amin Taleh, seorang usahawan kecil berusia 52 tahun di wilayah Yala, berkata keluarganya bimbang bapa saudaranya, yang sedang tenat dan disyaki dijangkiti COVID-19, mungkin meninggal dunia akibat yang mudah berjangkit itu.

"Keluarga perlu menerima realiti ini. Umat Islam mesti menerima takdir ini, "katanya kepada BeritaBenar.


Noah Lee di Kuala Lumpur, Ronna Nirmala di Jakarta dan Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.