Malaysia Catat Kes Harian Tertinggi COVID-19

Berdasarkan kadar jangkitan semasa, peningkatan kes diunjurkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata ketua pengarah kesihatan.
Noah Lee
2021.01.07
Kuala Lumpur
Malaysia Catat Kes Harian Tertinggi COVID-19 Anggota tentera memasang pagar kawat berduri di sekitar Plaza Hentian Kajang di Kajang semasa perintah kawalan pergerakan bersasar akibat COVID-19, Malaysia. 27 Okt 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mencatatkan lebih daripada 3,000 jangkitan koronavirus yang baru – rekod tertinggi nasional bagi kes baru harian - dengan ketua pengarah kesihatan memberi amaran pada Khamis bahawa jumlah harian boleh mencecah 5,000 kes pada minggu kedua April berdasarkan kadar jangkitan semasa.

Perintah kawalan pergerakan bersasar dijangka boleh membantu mengurangkan jangkitan itu, kata Noor Hisham Abdullah, walaupun persekutuan pengilang yang mempunyai pengaruh telah memberi amaran bahawa langkah melakukan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya akan membawa kepada keruntuhan ekonomi.

“Pada 7 Januari 2021, Malaysia mencatatkan jumlah kes COVID-19 baru tertinggi iaitu 3,027 kes baru. Ini menjadikan jumlah keseluruhan COVID-19 positif di Malaysia meningkat kepada 128,465 kes,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Ini merupakan kali pertama Malaysia mencatat jumlah yang melangkaui 3,000 kes selepas rekod harian jangkitan baru hampir 2,600 kes dicatatkan pada Rabu.

Noor Hisham memberi amaran bahawa sistem kesihatan negara sudah mencapai "tahap genting" dan adalah amat penting untuk mengambil langkah bagi membendung kes jangkitan baru.

"Kami memerlukan ‘pemutus litar’ untuk menurunkan jumlah kes baru setiap hari kepada 200 daripada 2,000 bagi membolehkan keadaan dapat diuruskan dengan lebih baik," katanya.

Kes koronavirus turut melonjak semula di negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Indonesia mencatatkan 9,321 jangkitan COVID-19 baru pada Khamis menjadikan jumlahnya 797,723 kes. Selain itu, sebanyak 224 kematian akibat coronavirus juga dlaporkan yang menjadikan jumlah kematian bertambah kepada 23,520.

Di Thailand, negara yang paling kurang dilanda pandemik global itu sehingga pertengahan Disember, sebanyak 305 kes baru dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,636.

Filipina pula melaporkan 1,353 kes coronavirus baru menjadikan jumlah kes itu kini 480,000 iaitu jumlah kedua yang tertinggi di Asia Tenggara.

'Perintah kawalan pergerakan bersasar'

Di Malaysia, Noor Hisham memberi amaran bahawa jumlah kes akan melonjak dengan mendadak sekiranya negara itu tidak mengekang kadar jangkitan COVID-19.

Berdasarkan dua carta yang dipaparkan dalam Twitter beliau, Noor Hisham berkongsi unjuran Kementerian Kesihatan mengenai jumlah kes baru harian sehingga Mei 2021 berdasarkan nilai kebolehjangkitan semasa negara atau R-nought, yang ketika ini pada kadar 1.1.

R0 atau R-naught merupakan terma matematik yang digunakan oleh ahli epidemiologi untuk mengukur jangkitan sesuatu penyakit. Terma ini menunjukkan jumlah orang yang boleh dijangkiti oleh virus itu.

"Sila beri perhatian kepada jumlah kes COVID-19 harian dan unjuran jumlah kes dari 4 Januari hingga 31 Mei 2021 dengan kadar jangkitan adalah pada 1.1 dan 1.2 di Malaysia," kata Noor Hisham dalam kapsyen grafik yang dipaparkannya.

Carta itu menunjukkan jika kadar jangkitan kekal pada 1.1, Malaysia dijangka mencatat 5,000 kes harian baru pada minggu kedua April dan 8,000 kes jangkitan harian baru pada minggu keempat Mei.

Menurut carta itu, sekiranya kadar jangkitan meningkat sehingga 1.2, kes harian baru boleh mencecah 5,000 dengan lebih cepat iaitu pada minggu ketiga Februari, dan 8,000 jangkitan harian baru pada minggu ketiga Mac.

Pada Rabu, Noor Hisham berkata RO Malaysia, yang kini berada pada kadar 1.1, sedang meningkat kepada 1.2.

"Walaupun kita dapat mengelak lonjakan dalam jumlah kes, kita tidak dapat menurunkan jumlah kes harian baru. Nilai R kita masih pada tahap 1.1 dan sedang meningkat kepada 1.2. Kita gagal menurunkannya kepada 0,5,” kata beliau.

Kementerian Kesihatan juga mengunjurkan peningkatan kes jangkitan baru dalam tempoh dua minggu bermula dari 1 Januari kerana ramai yang pulang bercuti sempena Krismas dan ambang Tahun Baru.

Keputusan Malaysia untuk menarik balik larangan merentas negeri pada 7 Disember 2020 menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan baru dan langkah mengadakan perintah kawalan pergerakan bersasar boleh membantu membendung kenaikan kes itu, kata Noor Hisham.

Kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung perintah kawalan pergerakan bersasar itu secepat mungkin, katanya.

"Daripada melibatkan seluruh negara, seperti apa yang kita lakukan pada 18 Mac tahun lalu, ini adalah pendekatan yang bersasar. Kita akan lebih melihat kepada keadaan setempat dan disasarkan daripada segi pelaksanaan. Perbincangan sedang berlangsung dan kita mungkin membuat beberapa keputusan secepat mungkin,” kata Noor Hisham.

‘Masih terkesan akibat pandemik, perintah kawalan pergerakan’

Industri-industri di Malaysia amat bimbang dengan lonjakan kes jangkitan COVID-19 tetapi kerajaan tidak harus mengambil langkah melakukan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya, kata presiden Persekutuan Pengilang Malaysia Soh Thian Lai dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Sekarang ini, sektor perniagaan dan ekonomi masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan pertama dengan kebanyakannya masih belum dapat membina semula perniagaan mereka ke tahap sebelum COVID-19," kata Soh.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19.

Negara kehilangan kira-kira RM 2.4 bilion (AS $ 594 juta) sehari kerana pelaksanaan perintah kawaan pergerakan itu, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada Mei 2020.

Persekutuan itu menyokong pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang bersasar dengan SOP yang lebih ketat, kata Soh.

"Kami menyokong Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bersasar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat serta penguatkuasaan sekatan perjalanan tetapi bukannya perintah kawalan pergerakan yang pernah dilaksanakan pada Mac dan April 2020," katanya.

"Sekiranya perintah kawalan pergerakan sepenuhnya dilaksanakan, kami amat bimbang berlakunya keruntuhan sektor perniagaan dan ekonomi memandangkan beberapa negeri utama merupakan hab dan pusat aktiviti ekonomi negara."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.