COVID-19: Malaysia Rekodkan 69 Kes Positif, Terendah Selepas PKP

Noah Lee
2020.04.17
Kuala Lumpur, Malaysia
200417-MY-COVID-69-1000.jpg Seorang lelaki berjalan di satu kawasan di mana persekitaran yang dahulunya sibuk tetapi kini lengan selepas pentadbiran Putrajaya mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakaan, di Kuala Lumpur, 15 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat merekodkan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 69 kes, angka terendah yang berjaya dicapai sejak negara memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir sebulan lalu, dalam usaha mengekang penularan virus tersebut, demikian menurut pihak berkuasa kesihatannya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, rekod dua angka terendah dengan 69 kes harian itu merupakan yang kedua bagi jumlah kes baru dalam minggu yang sama, dimana pada Rabu jumlah kes baru direkodkan sebanyak 85 kes.

“Kita sedang melihat penurunan sekarang dan saya rasa hari ini adalah hari yang terbaik buat Malaysia dengan 69 kes positif baru,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian di Putrajaya.

Beliau berkata, angka itu jauh lebih rendah dari jumlah kes yang pulih iaitu 201 kes, yang merupakan tiga kali ganda dari kes positif harian yang dilaporkan sehingga jam 12 tengahari Jumaat.

Tren penurunan kes terus dilihat stabil dari hari ke hari tetapi Noor Hisham berkata apa yang penting adalah menurunkan jumlah kes keberjangkitan iaitu berjumlah 2,198 kes. Kes keberjangkitan adalah kes yang masih aktif dan dirawat dihospital dan mempunyai kebolehan menyebarkan jangkitan.

“Sekarang masih ada 2,000 lebih kes positif. Kalau kita dapat jalankan aktiviti pemulihan sebagaimana kita laksanakan pada PKP 1 dan 2, kita boleh kurangkan (jumlah itu).

“Kadar jangkitan telah menurun, walaupun hari ini ada 69 kes positif, kita perlu mengurangkan kes yang masih dirawat di hospital… mungkin kurang dari 2,000 atau 1,500. Bila jumlah berkurangan maka proses pengawalan dan pemantauan akan dapat ditingkatkan… Ini juga bagus kerana KKM boleh memberi tumpuan kepada kawasan atau kumpulan yang berisiko tinggi,” tambah beliau.

Jumlah 69 kes positif terbaru pada Jumaat itu menjadikan jumlah keseluruhan kes bagi Malaysia adalah sebanyak 5,251 kes dengan dua kematian telah direkodkan yang membawa kepada 86 kematian di negara itu.

Noor Hisham berkata jika dapat memperketatkan lagi tindakan dan usaha Fasa Ketiga PKP yang memberikan tumpuan kepada kawasan serta golongan yang menyumbangkan kepada kes positif, maka jangkitan virus dalam komuniti dapat dihapuskan.

Malaysia mula merekodkan peningkatan jumlah kes yang mendadak sejak awal Mac lalu, di mana KKM mengesan penularan gelombang kedua berpunca daripada kluster terbesar melibatkan perhimpunan keagamaan di Kuala Lumpur.

Pihak berkuasa Malaysia menganggarkan aktiviti keagamaan di sebuah masjid di Sri Petaling pada hujung Februari itu dihadiri lebih 16,000 peserta termasuk 1,500 warga asing.

Sehingga kini, sebanyak 1,946 kes positif dikesan berkait dengan kluster perhimpunan itu yang melibatkan purata lebih 37 peratus dari bilangan keseluruhan kes positif dalam negara.

Sebelum ini, Noor Hisham pernah memaklumkan bahawa kejayaan menurunkan kes baru berbanding pesakit yang pulih adalah antara tanda-tanda keberkesanan langkah PKP, yang kini telah memasuki Fasa Ketiga yang dijangka tamat pada 28 April ini.

"Setelah hampir sebulan PKP Fasa 1 dan 2 dilaksanakan, kita dapat melihat jumlah trend sedikit terkawal tanpa kenaikan mendadak, manakala jumlah pesakit yang sembuh dan dibenarkan keluar daripada wad meningkat saban hari," kata beliau pada Rabu, sambil menambah bahawa tujuan PKP diteruskan untuk Fasa Ketiga adalah supaya mereka boleh menggiatkan lagi tindakan mengesan kes menggunakan kaedah ujian bersasar.

Walaubagaimanapun, dalam sidang media pada Jumaat, pegawai tertinggi KKM itu menegaskan bahawa mereka memerlukan beberapa indikasi penting bahawa penularan COVID-19 berjaya dikekang dalam masyarakat sebelum mereka boleh menasihatkan kerajaan untuk menamatkan PKP.

Antaranya ialah mengurangkan lagi kadar kebolehjangkitan virus itu, yang boleh dicapai dengan menurunkan lagi jumlah kes aktif yang sedang dirawat.

"Apa yang penting, sebelum melihat kepada penamatan PKP, kita mesti ada 'exit strategy'. Antara indikasi-indikasi kita ialah pengurangan kes masih dirawat, atau kebolehjangkitan kes. Sekarang ada 2,198 kes, tapi bila ia berkurangan, bermakna kurang kebolehjangkitan komuniti," katanya.

Satu lagi indikasi disebut beliau adalah pemantauan kes-kes 'influenza-like illnesses' (ILI) dan jangkitan pernafasan akut yang teruk (severe acute respiratory infection-SARI) yang menurut Noor Hisham, penurunan kes SARI dan ILI adalah salah satu indikasi untuk KKM menasihatkan Majlis Keselamatan Negara bahawa PKP sudah boleh ditamatkan.

Kerjasama KKM dengan UNHCR

Kementerian itu pada Jumaat juga mengumumkan mengenai kerjasama mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan juga kedutaan-kedutaan asing di Malaysia bagi memastikan warga asing diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19 yang dilaksanakan kementerian berkenaan.

Noor Hisham berkata KKM berkerjasama dengan UNHCR bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan virus itu seperti yang dilaksanakan kementerian berkenaan.

Katanya, selain itu, kerajsama dengan pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur serta badan bukan kerajaan (NGO) turut dijalankan supaya maklumat dari KKM dapat disampaikan kepada warga asing yang berada di Malaysia, menerusi kedutaan.

"KKM bekerjasama rapat dengan kedutaan negara-negara asing di Malaysia dan juga NGO yang berkaitan, agar dapat membantu KKM dalam usaha penyebaran dan penyampaian maklumat kepada warga asing di Malaysia dalam bahasa ibunda masing-masing. National IHR Focal Points (NFPs) daripada negara-negara berkaitan juga akan dimaklumkan mengenai kes-kes positif COVID-19 di kalangan warga asing di Malaysia," kata beliau.

Menurut statistik terkini KKM, seramai 601 warga asing telah didapati positif virus COVID-19 dengan 242 kes telah pulih manakala tiga kematian dilaporkan.

Jumlah teramai adalah warga Indonesia sebanyak 108 orang, Filipina (104), Bangladesh (63), India (60) dan Pakistan (51).


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.