Empat Anak Kapal Malaysia Diculik Dekat Selatan Filipina
2016.04.02
Kuala Lumpur

Sekumpulan lelaki yang dipercayai warga Filipina dan bersenjata telah menculik empat rakyat Malaysia dari sebuah kapal pantai di timur Sabah, dekat selatan Filipina, kata pihak berkuasa Malaysia pada Sabtu tetapi mereka tidak dapat mengesahkan sama ada militan Kumpulan Abu Sayyaf bertanggungjawab.
Rampasan sebuah kapal tunda yang berdaftar di Malaysia, M.V. MASFIVE 6, berlaku selepas penculikan 10 anak kapal Indonesia oleh Kumpulan Abu Sayyaf minggu lepas di kawasan paling selatan Filipina, di mana kumpulan kaitan al-Qaeda itu beroperasi dan bersempadan dengan negeri Sabah di Malaysia.
Menurut laporan, empat anak kapal Malaysia itu diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, dekat Semporna di pantai timur Sabah.
Kumpulan itu, yang menyerbu kapal tunda itu yang dalam perjalanan dari Manila selepas menghantar kargo, kemudian melarikan diri dengan empat tebusan itu dengan sebuah bot laju ke arah perairan Filipina, kata laporan.
Terdapat lima anak kapal lain dalam kapal tunda itu-tiga dari Myanmar dan dua dari Indonesia-tetapi lelaki bersenjata meninggalkan mereka.
Kementerian Luar Malaysia mengeluarkan kenyataan pada Sabtu yang mengutuk penculikan itu sebagai "tidak masuk akal dan tidak bertamadun," dan Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar pula memberitahu agensi berita nasional, Bernama, bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada Abu Sayyaf menculik empat anak kapal itu.
Kumpulan militan Islam Filipina itu menjadikan warga asing sebagai tebusannya pada masa lalu, dan membunuh beberapa tawanan mereka. Tahun lalu, seorang warganegara Malaysia berusia 39 tahun, Bernard Then, telah dipenggal Abu Sayyaf selepas diculik dari sebuah restoran tepi laut di Sabah pada Mei.
Khalid berkata, penculik kes terbaru itu belum menghubungi pihak berkuasa untuk membuat tuntutan.
Tiada pengesahan Filipina
Di selatan Filipina, seorang jurucakap tentera memberitahu Agence France-Presse bahawa pihak tentera sedang mengesahkan laporan penculikan pada Jumaat itu selepas dimaklumkan mengenainya oleh pegawai Malaysia.
"Sama ada mereka diculik oleh Abu Sayyaf atau dibawa ke Filipina, kita masih belum dapat mengesahkannya," kata jurucakap tentera wilayah Felimon Tan.
Sementara itu, laporan dalam Philippine Inquirer memetik sumber tentera yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa kumpulan lelaki bersenjata yang menculik empat rakyat Malaysia, adalah bersama-sama dengan Abu Sayyaf.
Lelaki bersenjata itu, yang kurang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan Filipina, mengisytiharkan diri mereka sebagai ahli ASG semasa mereka menyerbu masuk kapal tunda itu, kata sumber berkenaan.
Kerjasama Malaysia-Filipina
Kenyataan dari Kementerian Luar Malaysia berkata bahawa pegawai-pegawai, termasuk di Kedutaan Malaysia di Manila dan konsulat Malaysia di Davao City, di selatan Filipina, akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara itu dalam siasatan dan usaha mereka untuk membebaskan empat anak kapal itu.
Empat rakyat Malaysia itu berumur antara 21 hingga 34 tahun dan berasal dari bandar Sibu di negeri Sarawak, kata kementerian itu. Mereka dikenal pasti sebagai Wong Teck Kang, Wong Hung Sing, Wong Teck Chi dan Johnny Lau Jung Hien.
Di Sabah, Pesuruuhjaya Polis Negeri Abdul Rashid Harun berkata, pihak berkuasa cuba untuk menentukan sama ada kes penculikan itu berlaku di perairan Malaysia atau antarabangsa, lapor AFP.
Polis Sabah juga sedang mengenal pasti motif dan mengapa empat rakyat Malaysia itu - dan bukannya kesemua sembilan anak kapal - diculik lelaki bersenjata itu, lapor media tempatan yang memetik Pesuruhjaya Polis itu sebagai berkata.
Dalam insiden penculikan kapal tunda Malaysia pada Jumaat dan penculikan 10 anak kapal Indonesia dari sebuah kapal tunda yang dari Kalimantan, Indonesia ke Batangas, di selatan Filipina sebelum itu, para penyerang berkenaan menyasarkan kapal yang bergerak dan mudah diserbu di Laut Sulu, lapor Associated Press yang memetik pegawai Malaysia sebagai berkata.
Pada Selasa, Kementerian Luar Indonesia mengumumkan bahawa 10 anak kapal warganya telah diculik oleh Abu Sayyaf.
Penculikan di laut itu dipercayai berlaku pada Mac 26. Menurut tentera Filipina, maklumat awal menunjukkan 10 warga Indonesia itu dibawa oleh kumpulan Abu Sayyaf ke Sulu, sebuah pulau di selatan Filipina di mana kumpulan militant itu beroperasi, lapor AFP