Polis Malaysia Tahan Lapan Orang, Rampas Dadah Bernilai RM29.3 juta
2019.01.14
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis DiRaja Malaysia [PDRM] menahan lapan orang dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu bernilai 2.93 juta ringgit [AS$7.14 juta] selepas menumpaskan dua sindiket dadah dalam operasi berasingan di Johor dan Perak pada hujung minggu, demikian menurut Ketua Polis Negara pada Isnin.
Pihak berkuasa negara itu juga percaya terdapatnya sindiket yang menggunakan warden penjara untuk membawa masuk dan mengedarkan dadah kepada banduan.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, tiga anggota sindiket bersama satu kontena sarat dengan muatan dadah jenis syabu seberat 569.5 kilogram bernilai 28.47 juta ringgit [A.S$6.93 juta] telah ditahan dalam operasi di tiga lokasi di Perak pada 12 Januari.
“Suspek pertama, seorang pemandu lori kontena, yang dipercayai dalam perjalanan ke Pelabuhan Pulau Pinang ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Taiping dengan polis menemui dadah dipercayai seberat 569.5 kg, dianggarkan bernilai 28.47 juta ringgit untuk diimport ke negara luar,” kata Fuzi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin.
Ketua Polis Negara itu menambah, “Kami masih menyiasat negara yang disasarkan sebagai destinasi untuk menyeludup dadah berkenaan. Dadah yang ditemui dibungkus menggunakan paket makanan dengan tulisan dalam Bahasa Mandarin dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa,”
Sehubungan itu, beliau berkata dua lagi suspek ditahan masing-masing di sebuah premis di Ipoh dan seorang lagi di Plaza tol Bidor.
Ketiga-tiga mereka yang ditahan berusia antara 39 dan 49 tahun.
Sindiket jual dadah dalam penjara
Sementara itu, Fuzi berkata dalam operasi kedua di kawasan selatan, pihak berkuasa Malaysia telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai 814,000 ringgit(AS $198,416) dengan tertangkapnya lima individu yang dipercayai ahli kumpulan sindiket yang menjadikan Penjara Simpang Renggam, di Johor sebagai pusat jualan dadah.
Katanya, dadah itu diseludup masuk menggunakan ‘orang dalam.
“Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 9.88 kg heroin serta 940 biji pil ekstasi dianggarkan bernilai RM814,000 [AS $198,416].
"Sindiket ini dikenal pasti aktif membekalkan dadah kepada banduan penjara Simpang Renggam sejak tahun 2017," katanya sambil menambah empat lagi individu ditahan di sebuah rumah di bandar Johor Bharu.
Kesemua lima yang ditahan berumur antara 26 hingga 30 tahun.
"Polis turut menyita kereta jenis Honda Jazz dan Proton Pesona bersama tiga buah motosikal dan merampas pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai berjumlah 22,000 ringgit [AS$5,361],” tambah beliau.
Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohmad Salleh berkata, “Tahun lepas kita telah berjaya menahan empat individu yang juga anggota sindiket berkenaan. Mereka menggunakan banduan bagi menyeludup dadah berkenaan."
"Kami percaya ada ‘tangan ghaib’ dibelakang sindiket itu yang menggunakan warden penjara bagi membolehkan dadah itu lolos masuk ke dalam penjara,” kata Mohmad.
Beliau berkata Jabatan Narkotik Bukit Aman sedang berkerjasama dengan pihak penjara bagi mengenal pasti individu atau pegawai penjara yang terlibat.
"Buat masa sekarang kita tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat lanjut kerana khuatir akan menjejaskan siasatan,” tambah Mohmad lagi.
Kesemua tangkapan dalam kedua-dua operasi itu telah ditahan reman sehingga 19 Jan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya. Jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Kriminologis, Geshina Ayu Mat Saad ketika dihubungi BeritaBenar berkata, bayaran lumayan oleh sindiket menjadi tarikan kepada pengedar dadah.
"Bisnes ini sangat lumayan. Mereka dibayar dengan jumlah wang yang besar. Jadi sesiapa pun akan tertarik, "kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Dalam pada itu, Geshina turut berkata bahawa persekitaran seseorang turut mengubah cara berfikir dan tingkah laku seseorang.
Ada yang sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu, ditambah dengan persekitaran yang tidak membantu menjadikan sesetengah orang memilih untuk melakukan jenayah, tambah beliau.
Beliau turut berkata hukuman gantung sampai mati perlu dikekalkan bagi menakutkan mereka yang ingin mengedar dadah.
“Tanpa hukuman mati, tiada jaminan bahawa jenayah, terutama jenayah berat, termasuk jenayah mengedar dadah akan berjaya dikurangkan," tambah Geshina.
Kerajaan Malaysia pada tahun lepas mengumumkan moratorium untuk menghentikan hukuman mati berkuatkuasa dengan serta merta.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman dalam kenyataan beliau seperti dipetik akhbar The New Straits Times pada Oktober 2018, melaporkan bahawa moratorium itu diperkenalkan selepas kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan pindaan undang-undang di parlimen.
Beliau turut berkata keputusan adalah selaras dengan polisi kerajaan untuk menggunakan cara yang lebih berperikemanusiaan dalam menangani kes seperti ini. Kes pengedaran dadah merupakan salah satu kesalahan berat yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati.
Pada tahun 2018, seramai 164,914 telah ditangkap oleh PDRM dalam usaha kerajaan untuk membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah dalam negara. Dari jumlah tersebut, 25,522 individu ditangkap kerana membekal dadah.
Majoriti yang ditangkap adalah warga tempatan manakala 9,598 adalah warga asing.
Menurut statistik polis, jumlah rampasan dadah tahun lepas bernilai 394.23 juta ringgit dan adalah satu rampasan terbesar dalam sejarah PDRM manakala nilai hartabenda yang disita adalah 90.1 juta ringgit.
Dalam pecahan dadah yang dirampas, dadah jenis syabu merupakan yang terbanyak dengan jumlah 4,587.19 kilogram diikuti dengan ganja 1,180.82 kilogram dan pil Eramin 5 seberat 909.20kg. Dadah-dadah ini antara tujuh jenis dadah yang dirampas tahun lepas.