Malaysia Tahan Lebih 1,300 Orang Semasa Operasi Anti-Dadah di Seluruh Negara

Ali Nufael
2019.07.29
Kuala Lumpur, Malaysia
190729-MY-AbdulHamid1000.jpg Ketua Polis Negara, Abdu lHamid Bador semasa merasmikan Roadshow Autism: Royal Malaysia Police Guidelines di Maktab Polis DiRaja Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur, 29 Julai 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia menahan lebih 1,000 orang yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah termasuk penyeludupan semasa operasi di seluruh negara sejak awal pagi Isnin, dalam usaha keras pihak penguatkuasaan mengekang masalah yang dilihat berada pada tahap yang membimbangkan, kata Ketua Polis Negara itu.

Kenyataan Abdul Hamid Bador pada Isnin itu dibuat beberapa jam selepas pihak berkuasa Malaysia menahan kira-kira 1,352 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam satu operasi membenterasnya yang dilancarkan di seluruh negara untuk tempoh kurang daripada 24 jam.

Selain itu, Ketua Polis berkenaan juga memberitahu yang 30 anggota polis dari pelbagai pangkat terlibat dalam aktiviti pengambilan dadah dan disahkan positif methamphetamine ataupun syabu ketika bertugas.

"Suatu ketika dahulu, dadah adalah musuh nombor satu negara. Apa jadi sekarang. Bukan sahaja orang awam tetapi anak buah saya sendiri khayal dengan meth (syabu) ketika bertugas. Setiap minggu ada sahaja kes tangkapan dadah melibatkan anggota polis,” katanya sambil menambah kesemua 30 anggota polis itu ditahan adalah sejak Januari lalu.

"Saya akan mengeluarkan mereka dari pasukan. Jika PDRM sendiri sudah diresapi masalah ini, bagaimana kita hendak akui yang masalah ini masih terkawal," kata beliau pada satu sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Negara itu juga berkata pelancaran operasi besar-besaran yang sedang dibuat oleh pasukan itu adalah kerana kes pengedaran dadah dan salah guna dadah di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan.

“Jika kita tidak mencegahnya dari sekarang, kita boleh berada ditahap yang separas dengan Colombia, di Amerika Selatan. Begitulah buruknya keadaan ketika ini," kata Abdul Hamid

Di Colombia, sindiket atau kartel dadah menguasai bandar dan masalah dadah begitu berleluasa. Negara itu juga menjadi pusat penghasilan dan pengedaran dadah jenis kokain nombor satu di dunia diikuti Peru.

Jelas Abdul Hamid, pihak berkuasa itu juga mengambil langkah untuk memulihkan imej Pulau Langkawi yang dikatakan sebagai hub pengedaran dadah, dari negara seberang sebelum diedarkan di negeri-negeri lain di Malaysia.

"Kita telah melaksanakan 'law and order' di Langkawi. Tetapi untuk berapa lama. Oleh itu saya minta kerajaan memberikan 'senjata yang lebih ampuh’ (penguatkuasaan undang-undang) kepada pasukan kami untuk menghapuskan sindiket dadah," kata Abdul Hamid sambil menambah satu operasi besar-besaran telah dilancarkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam membendung gejala dadah di Malaysia itu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Mohd Khalil Kader dalam satu sidang akhbar selepas itu memberitahu pemberita bahawa satu operasi yang diberi nama Operasi Ice Breaker telah dijalankan serentak pada malam Ahad lalu diseluruh negara.

Semasa operasi Ice Breaker itu, kira-kira 1,252 tangkapan telah dibuat yang melibatkan 133 orang ditahan kerana mengedar dadah, 359 memiliki serta 860 positif urin dengan jumlah tertinggi tangkapan adalah di Lembah Kelang.

Katanya, daripada kesemua tangkapan itu, 32 ditahan dibawah Langkah-langkah Pencegahan Khas, serta 27 ditangkap dibawah senarai orang dikehendaki.

Kesemua kes disiasat dibawah Seksyen 39B akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam beberapa siri operasi yang berbeza sejak Jumaat, Pengarah JSJN itu berkata pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam negara dan antarabangsa apabila tertangkapnya ketua sindiket yang digelak sebagai Raja Dadah.

Operasi itu dilakukan di beberapa lokasi berbeza secara serentak di Lembah Klang, Melaka dan Johor.

"Di Lembah Klang dan Johor pada Sabtu, polis menahan seorang ketua sindiket dadah yang berusia 36 tahun. Sindiket itu aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Turut ditahan empat suspek lain yang juga ahli sindiket terbabit berusia antara 32 hingga 48 tahun dengan seorang daripada mereka didapati positif methamphetamin,” kata Mohd Khalil.

Dalam beberapa siri serbuan yang tidak dinyatakan lokasi, polis merampas 64.5 kilogram syabu, 2.7 kilogram ketamin, 77,500 pil ekstasi serta 57 paket minuman disyaki mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM5.8 juta(AS$1.4 juta).

Menurut polis, dadah tersebut dipercayai masuk dari Eropah serta ‘Golden Triangle’ (Thailand, Laos dan Myanmar) dan untuk dibekalkan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Lima kenderaan mewah pelbagai jenama dan wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan serta barang kemas dianggarkan RM444,000(AS$107,725), telah dirampas dan disita polis” tambahnya lagi.

Dalam serbuan berasingan di Melaka dan Kuala Lumpur pada Jumaat, pihak polis membongkar tentang wujudnya sebuah makmal memproses ketamin di Melaka.

Dalam siri serbuan itu 13 ahli sindiket termasuk wanita tempatan terbabit daripada kumpulan yang sama ditahan pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan susulan daripada itu sebuah makmal memproses ketamin telah ditemui di Melaka.

Turut dirampas dalam semua operasi itu kata Pengarah JSJN itu ialah 13.4 kilogram ketamin, 592 gram syabu, 57 pil ekstasi, tujuh pil erimin 5 serta bahan kimia untuk memproses dadah dianggarkan bernilai RM836,000(AS$202,834).

Selain perkakas membuat dadah, polis turut menyita tujuh kenderaan, tiga jam tangan berjenama, wang tunai RM3,200(AS$776.40) serta pelbagai barang kemas dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan RM320,000(AS$77,640).

Polis Bukit Aman turut mendedahkan sejak Januari 1 hingga Julai 25 tahun ini, seramai 106,457 individu ditahan bagi pelbagai kesalahan berkaitan pemyalahgunaan dadah.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM264.78 juta(AS$62.24 juta). Nilai sitaan harga pula dianggar pada RM46.33 juta(AS$11.24 juta).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.