Mahathir: Peranan Malaysia Sebagai Broker Dalam Pembincangan Damai Thailand Diteruskan
2018.06.25
Kuala Lumpur, Malaysia

Kerajaan baru Malaysia akan meneruskan peranan negara itu sebagai orang tengah dalam perundingan damai antara kerajaan Thailand dan pejuang pemisah pendalaman selatan, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata pada Isnin.
Sejak tahun 2015, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, Malaysia telah menganjurkan di Kuala Lunpur beberapa siri rundingan damai antara kerajaan tentera Thailand dan MARA Patani, sebuah panel yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak bersenjata dari kawasan selatan Thailand.
Tetapi selepas kerajaan baru mengambil alih pentadbiran Malaysia bulan lepas, timbul persoalan mengenai sama ada Kuala Lumpur akan terus bertindak sebagai broker rundingan damai itu.
Semasa sidang media di Kuala Lumpur pada lewat petang, wartawan BeritaBenar mengajukan soalan kepada Mahathir sama ada pentadbirannya akan meneruskan usaha Malaysia dalam rundingan damai di selatan Thailand, dan Perdana Menteri menjawab, “Ya ... ya, kami akan teruskan.”
Selepas sidang media berkenaan, wartawan sekali lagi meminta Mahathir menjelaskan sama ada beliau telah menamakan seorang fasilitator baru untuk mewakili Malaysia sebagai pemudah cara rundingan.
"Kami akan mengumumkan kemudian," kata Mahathir kepada BeritaBenar.
Sementara itu, pegawai Thailand serta pihak berkepentingan dalam inisiatif damai itu sedang menunggu maklumbalas daripada pentadbiran Mahathir mengenai peranan Malaysia sebagai moderator rundingan, dan sama ada perubahan akan dilaksanakan, menurut Don Pathan, seorang penganalisis keselamatan dan pakar mengenai konflik di pendalaman selatan Thailand.
"Ramai yang percaya bahawa Ahmad Zamzamin Hashim, yang menjadi pemudahcara proses perdamaian semasa, akan digantikan berikutan perubahan kerajaan bulan lalu di Malaysia. Zamzamin dianggap terlalu dekat dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak, " tulis Don Pathan dalam komentari beliau yang disiarkan oleh BeritaBenar pada 4 Jun lalu.
Tiga tahun lalu, pihak junta Thai dan MARA Patani telah mula berbincang, dengan kerajaan Malaysia memainkan peranan sebagai pemudahcara. Bagaimanapun, rundingan gagal untuk menghasilkan Zon Keselamatan, atau gencatan senjata yang terhad, dilihat sebagai faktor utama dalam menemui keamanan di kawasan pendalaman selatan Thailand.
Hampir 7,000 orang telah terbunuh sejak pemberontak pemisah mencetuskan keganasan 14 tahun yang lalu di wilayah selatan negara itu, yang kebanyakan pendudukanya beragama Islam.
Sebelum perbincangan antara MARA dan kerajaan tentera Thailand ini, Malaysia telah berusaha untuk menyelesaikan konflik tersebut. Malah, Kuala Lumpur menganjurkan perbincangan antara kerajaan Thailand, ketika itu dipimpin oleh Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah terbesar dan paling berkuasa di kawasan selatan. Bagaimanapun, rundingan itu terhenti pada Disember 2013.
Semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003, beliau dan tentera Thailand menyokong pertemuan tidak rasmi dengan pemberontak seperti yang diminta oleh pihak diraja Thailand, tetapi Perdana Menteri Thaksin Shinawatra "tidak dimaklumkan,” demikian menurut penganalisis keselamatan Zachary Abuza dalam bukunya bertajuk “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation,” (2016) (Memupuk Keamanan di Asia Tenggara: Pemberontakan, Proses Damai, dan Rekonsiliasi).
Pada Mei lepas, perbincangan terbaharu terhenti seketika kerana pihak pemberontak merasa terhina dengan tindakan Perdana Menteri Thai Prayuth Chan-o-cha yang "terburu-buru" membuat pengumuman mengenai projek perintis Zon Keselamatan di Cho I-rong, sebuah daerah di wilayah Narathiwat, demikian menurut Don Pathan.
Beliau berkata MARA Patani berasa terhina kerana mereka menjangka pelancaran yang lebih formal akan dilaksanakan bagi apa yang mereka anggap sebagai satu kejayaan.