Pendaki berdepan risiko maut di puncak tertinggi Amerika Utara
2024.06.14
Kuala Lumpur

Bagi Ayob Yahaya, pendaki gunung berpengalaman dari Malaysia yang bercuaca tropika, gunung yang dilitupi salji menyajikan cabaran unik.
Kejayaan menakluk puncak tertinggi Amerika Utara iaitu Gunung Denali (6,914 meter atau 20,310 kaki) di Alaska pada 2019 kekal sebagai pencapaian istimewa bagi dirinya.
“Berbanding beberapa gunung lain yang pernah saya daki, Denali menawarkan keunikan tersendiri dari segi pendakian kerana ia dilitupi salji sepenuhnya,” kata Ayob, 61, kepada BenarNews.
Bagaimanapun, pemergian tragis rakannya Zulkifli Yusof, 37, baru-baru ini disyaki akibat edema serebrum dan hipotermia di altitud tinggi semasa angin kencang yang tidak dijangka di gunung itu pada lewat Mei memberikan bayangan suram kepada aktiviti pendakian pada musim ini.
Zulkifli, yang jenazahnya dijadual tiba di Malaysia pada Sabtu, sebelum itu mendaki bersama-sama Zainuddin Lot dan Illaham Ishak, kedua-duanya berumur 47 tahun, yang terselamat.
Illaham telah pulang ke tanah air pada 8 Jun dan kini dirawat di Kuala Lumpur manakala Zainuddin dimasukkan ke hospital di Alaska.
Illaham telah mengambil risiko turun bersendirian dari gua salji dikenali sebagai Football Field, satu kawasan glasier rata pada ketinggian 19,600 kaki di Denali untuk mendapatkan bantuan helikopter peribadi bagi menyelamatkan Zulkifli dan Zainuddin apabila mereka tidak dapat turun selepas berjaya menjejaki puncak gunung itu.
“Saya sebenarnya turun mencari helikopter peribadi untuk terus mengambil [Zulkifli] di Football Field tetapi pada masa itu, tiada perkhidmatan hanya ada renjer dan mereka tidak dapat naik kerana cuaca buruk," kata Illaham kepada pemberita selepas tiba di Malaysia minggu lalu.
Jelas Illaham, perjalanan turun dari gunung itu mengambil masa selama 15 jam.
"Tidak ada orang berjalan berseorangan di sana, semuanya diikat dengan tali bersama-sama tetapi saya tidak mempunyai tali. Saya terpaksa turun dalam keadaan apa cara sekali pun," katanya.
"Apabila berjaya turun, saya jumpa pasukan penyelamat dan memaklumkan mereka tentang keadaan Zainuddin dan Zulkifli di atas gunung itu."
Beliau berkata anggota penyelamat melahirkan kebimbangan dengan keadaan dirinya.
“Renjer melihat kedua-dua belah tangan dan kaki saya serta memaklumkan bahawa saya menghidap Edema Pulmonari Altitud Tinggi dan meminta saya segera turun serta jangan tunggu lama,” katanya.
Zulkifli, yang meninggal dunia pada 29 Mei, adalah pendaki ketiga maut di Gunung Denali musim ini, demikian menurut media Alaska.
Menurut Alpine Club Malaysia, jenazah Allahyarham dijadual dikebumikan pada Sabtu di Tanah Perkuburan Islam di Taiping, Perak.
Pendaki Malaysia Ayob Yahaya bersama pasukannya mendirikan khemah ketika dalam pendakian di puncak Gunung Denali, Alaska, Jun 2019. [Ihsan Ayob Yahaya]
1,000 pendaki setiap tahun
American Alpine Institute, sebuah badan pemandu ekspedisi, memaklumkan cabaran terbesar bagi kebanyakan pendaki di Denali ialah terpaksa menempuh keadaan sejuk dan bersalji setiap hari.
Satu kajian mengenai kematian ketika pendakian gunung mendedahkan bahawa kira-kira 1,000 pendaki dari seluruh dunia mencuba menakluki Denali setiap tahun.
Antara 1903 dan 2006, seramai 96 pendaki dilaporkan terkorban di gunung itu manakala penyelidik dari Universiti Utah, Amerika Syarikat berkata "pendaki Asia mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk mati."
Ayob, yang berpengalaman selama dua dekad, berkata kajian itu adalah tidak adil kepada beliau dan pendaki lain dari Asia.
“Gunung itu tidak dapat membezakan orang Asia dengan yang lain, bukan? Pada tahap tertentu, mungkin ada kebenarannya tetapi banyak keadaan boleh berlaku seperti cuaca dan suhu yang melampau.
"Kita mempunyai ramai pendaki bertaraf dunia dari Asia," katanya sambil menambah bahawa pendaki Asia biasanya mengambil risiko lebih tinggi berbanding mereka dari rantau lain.
Mengulas mengenai kajian Universiti Utah itu, Andrew Luks, seorang profesor di Universiti Washington berkata membuat keputusan dalam keadaan yang berubah-ubah merupakan isu utama berkaitan Denali dan bukannya kekurangan pendedahan awal kepada cuaca bersalji serta sejuk disebabkan bangsa tertentu.
"Ia boleh jadi begitu (pendaki Asia mati) tetapi kadar kematian mungkin berubah dalam selang masa," kata profesor di Bahagian Pulmonari, Penjagaan Kritikal dan Perubatan Tidur itu kepada BenarNews.
"Ia bukanlah berbeza disebabkan etnik kerana individu dari mana-mana latar belakang sekalipun boleh terdedah kepada masalah ini."
"Sebagai contoh, apabila cuaca buruk, adakah satu kumpulan itu tahu sama ada perlu bertahan dan tidak berpindah dari kem mereka pada hari berkenaan atau memutuskan untuk cuba naik atau turun dari gunung?"
Luks, yang merupakan sebahagian daripada pasukan penyelamat pendaki Jepun yang tertimbus dalam runtuhan salji di Denali pada 2012, berkata kumpulan yang bergerak perlahan berdepan peningkatan risiko akibat keletihan dan dehidrasi menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca buruk, kesukaran keadaan laluan atau penyakit ketinggian akut.
"Jika satu kumpulan bergerak ke puncak pada hari kemuncak dan ketika itu angin semakin kuat, suhu menurun atau kumpulan itu bergerak perlahan dan mengambil terlalu banyak masa, adakah mereka membuat keputusan untuk berpatah balik atau terus bergerak ke hadapan?" katanya.
Ayob Yahaya mendaki ke puncak Gunung Denali Alaska, Jun 2019. [Ihsan Ayob Yahaya]
'Perjalanan panjang dan perlahan'
Pendakian Denali boleh memakan masa hingga 20 hari, bergantung kepada cuaca.
"Ia boleh memaksa anda menunggu lebih lama daripada apa yang anda mahukan," kata Ayob.
"Ia adalah satu perjalanan yang panjang serta perlahan dan anda perlu menyesuaikan diri sebelum bergerak ke puncak."
Walaupun malim gunung tidak diperlukan untuk mendaki puncak tertinggi Amerika Utara itu, kosnya boleh mencecah AS$11,000 (RM51,700) untuk ekspedisi sedemikian, kata Ayob. Kos lain termasuk penerbangan dan peralatan.
Ayob, yang juga jurucakap Alpine Club Malaysia, berkata beberapa syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk pendakian altitud tinggi tetapi polisi sedemikian untuk pendakian selama sebulan berharga kira-kira AS$500 (RM2,350).
Ramai rakyat Malaysia mendapati kos itu terlalu tinggi disebabkan kadar pertukaran mata wang iaitu AS$1 bersamaan dengan RM4.71.
'Tujuh Puncak, Tujuh Benua'
Tiga rakyat Malaysia yang terkandas di Denali pada bulan Jun sebenarnya dalam misi mengejar cabaran 'Tujuh Puncak, Tujuh Benua' membabitkan pendakian puncak tertinggi di setiap benua.
Denali terkenal dengan cuaca buruk dan pendakian yang curam, menurut National Geographic.
Gunung Everest di Nepal ialah puncak tertinggi di Asia dan dunia pada 8,848 meter (29,029 kaki) diikuti Aconcagua di Amerika Selatan, 6,962 meter (22,828 kaki); Denali di Amerika Utara, 6,914 meter (20,322 kaki); Kilimanjaro di Afrika, 5,895 meter (19,341 kaki); Elbrus di Eropah, 5,642 meter (18,510) kaki; Vinson Massif di Antartika, 4,892 meter (16,050 kaki) dan Piramid Carstensz New Guinea di Oceania/Australia, 4,892 meter (16,024 kaki).
Mohd Noor Mat Amin dari Jejak Pensolo Resources, sebuah kumpulan yang membantu pendaki di kem pangkalan Gunung Everest di Nepal pula berkata pendaki mesti bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum memulakan sebarang trek.
“Rakyat Asia mampu mendaki mana-mana gunung di dunia ini tetapi aspek penting ialah persediaan yang sewajarnya sebelum memulakan pendakian. Itu yang paling penting.
“Tidak kira pengalaman kami di Malaysia atau yang lain, setiap gunung adalah unik dari segi rupa bumi, iklim dan cuaca.
“Ini semua adalah faktor yang tidak mampu diramal. Oleh itu, persediaan rapi adalah satu kemestian,” kata Mohd Noor yang terkenal dengan jolokan pendaki solo kepada BenarNews.