Suruhanjaya Integriti Malaysia: Penyeksaan Polis Sebabkan Kematian Tahanan
2016.04.28
Kuala Lumpur

Penderaan fizikal yang dilakukan oleh pegawai polis termasuk kedua-dua telinga dikokot telah menyebabkan kematian seorang tahanan, kata sebuah suruhanjaya kerajaan Malaysia dalam laporan siasatan yang dikeluarkannya pada Khamis.
Semasa membentangkan penemuan itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Yaacob Md Sam berkata, kematian N. Dharmendran berpunca daripada kekerasan, dengan pakar patologi turut mendapati suspek mengalami 52 trauma daripada kekerasan yang dilakukan terhadap mangsa.
"Bukti pakar patologi daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa pada 22 Mei 2013 mendedahkan punca kematian disebabkan (tisu lembut berkecai akibat trauma dibelasah) 'diffuse soft tissue due to multiple blunt force trauma'," katanya di satu sidang media bagi mengumumkan hasil siasatan itu.
Beliau berkata, mangsa juga didapati luka akibat telinganya dikokot dengan dawai kokot tertanam di dalam telinga kiri dan kanannya.
"Pakar patologi mengesahkan telinga si mati telah dikokot semasa dia masih hidup," katanya.
Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 kerana cubaan membunuh dua orang di Cheras, Kuala Lumpur. Beliau mati semasa ditahan dalam lokap 10 hari kemudian.
Berikutan itu, empat anggota dan pegawai polis telah ditahan dan didakwa membunuh mangsa. Pada 12 Dis, 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas empat anggota dan pegawai polis itu kerana tidak ada kes prima facie terhadap mereka.
Hakim Kamardin Hashim ketika itu menyatakan bahawa pasukan pendakwaan telah gagal untuk menyediakan motif dalam kes itu dan "hanya memberikan keterangan mengikut keadaan sahaja."
Mahkamah Rayuan telah menolak pembebasan itu dan mengarahkan keempat-empat pegawai polis itu untuk membentangkan pembelaan mereka berikutan rayuan pendakwaan.
‘Kutuk laporan siasatan’
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang mengutuk hasil laporan itu, berkata, EAIC tidak sepatutnya membuat pengumuman itu pada hari Khamis kerana kes itu adalah 'sub judice', bermakna ia adalah di bawah pertimbangan kehakiman dan oleh itu dilarang daripada diperbincangkan oleh orang awam apabila pegawai berkenaan menghadapi perbicaraan kes bunuh.
"Yaacob Md Sam mengetahui bahawa kes terhadap empat anggota dan pegawai polis yang dituduh dalam kes pembunuhan mangsa akan disambung semula dari 25 Mei hingga 27 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila mereka dipanggil untuk membela diri kelak," kata beliau dalam satu kenyataan .
Suruhanjaya itu, yang ditubuhkan pada 2011, merupakan badan berkanun yang mengendalikan aduan berkaitan dengan salah laku 19 agensi penguatkuasaan termasuk polis, imigresen dan kastam.
Bersama dengan perincian mengenai punca kematian Dharmendran, Yaacob juga berkata, terdapat percubaan memalsukan maklumat untuk menghalang penyiasatan yang adil.
Antara usaha untuk menutup kes itu ialah apabila seorang pegawai polis mengarahkan anggota berpangkat rendah supaya menaip laporan yang mengandungi maklumat palsu mengenai keadaan si mati, kata beliau.
Dalam pengumumannya itu, Yaacob turut menggesa Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa pegawai berkenaan serta mereka yang mengubah dokumen tersebut.
Khalid turut mencabar kenyataan Yaacob itu, dengan mendakwa laporan terbaru akan membawa kepada kepercayaan oleh orang ramai bahawa polis gagal mengambil tindakan walaupun siasatan menyeluruh, terperinci dan telus telah dilaksanakan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi BeritaBenar enggan mengulas mengenai pengumuman itu.
"Tidak wajar bagi saya mengulas perkara itu," kata Amar.