Pakar Perubatan Dan Tokoh Agama Malaysia Selar Ibubapa Anti-Vaksin

Haireez Azeem Azizi
2016.06.24
Kuala Lumpur
160624-my-vaccination620 Seorang sukarelawan perubatan India sedang memberi dos vaksin kepada kanak-kanak di Hyderabad, 20 Jun 2016.
AFP

Pakar perubatan dan tokoh agama Malaysia menyelar tindakan segelintir ibubapa yang tidak membenarkan anak mereka diberikan suntikan vaksin selepas mempertikaikan mengenai bahan yang terdapat di dalam vaksin tersebut.

Dua kes kematian telah dilaporkan berlaku melibatkan kanak-kanak selepas berlaku komplikasi jangkitan penyakit apabila ibubapa mereka tidak membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksin yang disediakan kerajaan.

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia N. Thiyagar memberitahu BeritaBenar pemberian vaksin bertujuan untuk mengurangkan risiko kanak-kanak daripada sebarang penyakit yang merbahaya seperti difteria, demam campak, polio dan tetanus.

Katanya, vaksin tidak hanya melindungi kanak-kanak atau individu tetapi membantu membentuk imuniti mereka selain melindungi seluruh masyarakat daripada merebaknya wabak penyakit.

“Malangnya terdapat penyebaran maklumat yang mengelirukan daripada sumber yang tidak sah mengenai kandungan bahan di dalam vaksin sehingga ianya menjadi punca ibu bapa tidak mahu anak-anak merka diberikan suntikan vaksin,” kata beliau semasa dihubungi BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau berkata, kemunculan pergerakan antivaksin juga didapati mempengaruhi ibu bapa daripada membenarkan anak mereka menerima vaksin atas pelbagai sebab tidak sah termasuk sentimen agama dan peribadi.

Katanya, masih ramai lagi ibubapa yang tidak memahami bahawa setiap vaksin yang disediakan oleh kerajaan kepada kanak-kanak telah dikaji dengan teliti terlebih dahulu sebelum sebarang lesen membenarkan penggunaannya dikeluarkan.

Dua kematian yang dicatatkan itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Melaka pada 18 Jun lepas, manakala seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun di Kedah pada Rabu lalu akibat jangkitan bakteria difteria.

Kedua-dua kematian tersebut disebabkan kanak-kanak berkenaan tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan, menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.

Beberapa kes jangkitan bakteria difteria, iaitu yang mempunyai simpton sakit tekak, batuk, sukar menelan, kurang selera makan serta leher bengkak dilaporkan berlaku sehingga menyebabkan kebimbangan dikalangan ibubapa di negara itu.

Difteria juga didapati mudah berjangkit melalui batuk, bersin dan sentuhan.

Sementara itu Timbalan Menteri Kesihatan Hilmi Yahya memberitahu kerajaan membelanjakan lebih RM100 juta setiap tahun untuk menyediakan 12 jenis suntikan vaksin kepada semua kanak-kanak sejak lahir sehingga berusia 13 tahun.

“Kira-kira 1,500 ibubapa di Malaysia telah menolak penggunaan vaksin terhadap anak mereka sepanjang tahun lalu dengan sebanyak 500 lagi sepanjang tiga bulan pertama tahun ini telah direkodkan oleh kementerian,” kata Hilmi seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia.

'Berdosa jika tolak'

Sementara itu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi BeritaBenar memberitahu adalah berdosa bagi mereka yang menolak penggunaan vaksin dalam mencegah penyakit berjangkit yang membahayakan serta membawa kepada ancaman nyawa.

"Islam sememangnya melarang umatnya meletakkan diri sendiri dalam bahaya. Dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud 'jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. Ayat ini jelas menyuruh kita melindungi diri dari sebarang bahaya. Tindakan yang mengakibatkan kemudaratan tidak wajar dipatuhi," katanya kepada BeritaBenar.

Keadaan di Malaysia itu juga telah menarik perhatian Perdana Menteri Najib Razak yang menulis dalam blog beliau dengan berkata, Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan Kementerian Kesihatan telah diperkenalkan lebih 50 tahun dahulu yang bersandarkan kepada syariat Islam melalui konsep Maqasid Syariah iaitu Hifz Al-Nafs (pemeliharaan jiwa).

“Usaha kerajaan ini akan menjadi sia-sia, jika ada  yang menyebarkan khabar angin sehingga menimbulkan keraguan terhadap pemberian vaksin atau imunisasi, dan lebih malang ia disebar menggunakan alasan agama Islam oleh orang Islam sendiri,” kata Najib.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Abd Rahim Mohamad dalam satu kenyataan berkata pendirian menolak vaksin terjadi apabila ibubapa mendengar hujah daripada golongan agama yang tidak diketahui kredibilitinya.

Abd Rahim berkata, masyarakat seharusnya sedar bahawa vaksin adalah satu kaedah pencegahan yang telah diiktiraf dan diamalkan ribuan doktor Muslim yang amanah dan thiqah (dipercayai) di seluruh dunia.

"Adalah mustahil dan cetek fikiran jika ada yang menganggap kelompok profesional ini terpengaruh dengan konspirasi musuh Islam ataupun tidak memaklumkan mengenai status halal haram vaksin semasa memberikannya kepada pesakit mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Seorang guru dan juga ibu, Miza Hazzia Hassan, 32, berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan ibu bapa yang menolakkan suntikan vaksin hanya kerana terpengaruh dengan maklumat yang tidak diketahui kebenarannya.

“Sebagai ibubapa dan manusia perlu berikhtiar mencari jalan penyelesaian terbaik, bukannya menolak. Kesihatan anak perlu diutamakan,” katanya kepada BeritaBenar.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.