Skandal 1MDB: Perbicaraan Kes Roger Ng di AS Bermula
2022.02.07
Washington

KEMASKINI pada 9.30 malam waktu tempatan ETS - 2022-02-07
Selepas hampir tiga tahun, Mahkamah Persekutuan di New York pada Isnin menyaksikan bermulanya perbicaraan kes melibatkan seorang rakyat Malaysia yang juga bekas pegawai bank Goldman Sachs berhubung penyelewengan berbilion dolar dana pelaburan negara Malaysia 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perbicaraan berlangsung di mahkamah di Brooklyn membuka tirai dengan pemilihan juri bagi mendengar kes terhadap pegawai bank terbabit, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng, yang berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan urusan mendapatkan perniagaan bagi Goldman Sachs, yang mempunyai pengaruh besar di Wall Street.
“Ketika ini kami sedang membuat pemilihan juri,” kata pelapor mahkamah yang ditugaskan di Mahkamah Daerah AS bagi Timur New York kepada BenarNews melalui e-mel.
Roger Ng bersama bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan yang juga pembiaya kewangan rakyat Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) serta beberapa lagi didakwa bersubahat menyeleweng lebih AS$2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad, oleh pihak berkuasa negara itu.
Ng turut didakwa bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) dengan memberi suapan kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi serta berkonspirasi untuk memintasi kawalan perakaunan dalaman Goldman Sachs, demikian menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam satu kenyataan pada 2019.
Pihak pendakwaan di Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB, yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Najib Razak pada 2009 bagi membiaya program pembangunan di Malaysia. Jabatan Kehakiman AS menyifatkan isu 1MDB sebagai “skandal kleptokrasi terburuk pada era ini.”
Pada Julai 2020, sebuah Mahkamah Tinggi di Malaysia memutuskan bahawa Najib bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan lain-lain serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap beliau. Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu yang kemudian dibawa ke hadapan mahkamah tertinggi di Malaysia.
Ng, yang berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun, telah ditahan di Malaysia pada November 2018 dan diekstradisi ke AS enam bulan kemudian.
Sejurus tiba di AS, Ng mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin pada Mei 2019 namun perlu menyediakan bon sebanyak AS$20 juta dan AS$1 juta daripadanya disediakan dalam bentuk deposit tunai.
Syarat jaminan terhadap beliau termasuk “tahanan di rumah dengan pemantauan secara elektronik” manakala perjalanannya dihadkan kepada daerah-daerah di timur dan selatan New York.
Kenyataan pembukaan perbicaraan kes itu telah ditetapkan bermula pada 14 Feb ini, menurut agensi berita Reuters.
Leissner pula telah mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan diperintah dilucut hak sebanyak AS$43.7 juta dan beliau dijadual dijatuhkan hukuman pada bulan depan, kata Reuters.
Pada Oktober 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia bersetuju membayar lebih AS$2.9 bilion kepada kerajaan Malaysia selepas mengaku bersalah bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.
Jabatan Kehakiman AS berkata Goldman Sachs telah memberi suapan lebih AS$1 bilion kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi dan sebagai balasan, memiliki peranan sebagai penaja jaminan kira-kira AS$6.5 bilion dalam urus niaga tiga bon bagi 1Malaysia Development Berhad.