Aktivis Malaysia Bersama 12 Lagi Dibebaskan Israel

A. Ariffin
2016.10.07
Kuala Lumpur
161007-my-gaza-doctor620.jpg Orang ramai berkumpul di Plaça de Sant Jaume di Barcelona, Sepanyol, sambil memegang sepanduk dengan melaungkan slogan bantahan terhadap kerajaan Israel selepas Tentera Laut negara itu memintas kapal Flotilla Wanita yang membawa bantuan kemanusian bagi rakyat Palestine, di Gaza, 5 Oktober 2016.
AFP

Tiga belas aktivis termasuk wakil dari Malaysia Dr. Fauziah Mohd. Hasan yang menjadi tawanan Israel sejak Rabu telah dibebaskan dari penjara di negara itu dengan wakil tunggal Asia itu tiba di Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Kesemua aktivis kapal misi Zaytouna-Oliva “Women’s Boat to Gaza (WBG)”  yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, cuba memecah kepungan keatas Gaza oleh pihak Israel itu, dilaporkan selamat setelah dibebaskan kira-kira pukul 4 pagi pada Jumaat waktu Malaysia.

Sebuah badan bukan kerajaan yang menjalankan kerja-kerja kemanusiaan dari Malaysia MyCare  mengesahkan mengenai pembebasan Dr Fauziah yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah badan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata, Dr Fauziah menaiki penerbangan dari Israel ke Bangkok sebaik saja beliau dibebaskan pihak berkuasa negara berkenaan untuk pulang ke tanah air.

“Kami amat gembira menerima berita ini dan bersyukur tiada kejadian yang tidak diingini berlaku ke atasnya,” katanya kepada BeritaBenar.

Dr Fauziah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 8.30 malam Jumaat.

Beliau semasa ditemui memberitahu media, "Ketika ditahan beberapa rakan kami telah dibogelkan untuk pemeriksaan, dan mujur saya tidak melalui pemeriksaan itu mungkin kerana status saya sebagai seorang doktor,"

Walaupun kurang sehari mereka ditahan rejim Zionis dan dilayan dengan "agak baik", namun baginya itu hanya tindakan propaganda Israel untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bukanlah kejam.

Kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva yang membawa 13 aktivis wanita termasuk wakil tunggal Asia dari Malaysia itu dalam misi “Women’s Boat to Gaza (WBG)” telah ditawan tentera laut Israel kerana cuba memecah kepungan ke atas Gaza.

Pakar obstetrik & ginekologi di Hospital Pakar Ampang Puteri bersama 12 lagi aktivis terdiri daripada Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia, ditahan kira-kira 42 batu nautika dari pantai Gaza sekitar pukul 10 malam Rabu waktu Malaysia.

Bilik gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC), badan yang menganjurkan pelayaran itu, mengeluarkan kenyataan berhubung penahanan kapal dan aktivis berkenaan pada Khamis yang memaklumkan bahawa kapal berkenaan telah ditawan  dan ditunda oleh pihak berkuasa Israel ke pelabuhan Ashdad  di selatan Tel Aviv dengan kesemua aktivis wanita di atas kapal berkenaan ditempatkan di penjara Givon, di Ramla.

Sementara itu Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, “Kementerian itu tidak mungkin dapat membantu membawa pulang Dr Fauziah tanpa keprihatinan dan sokongan semua pihak”.

WBG pula dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, penahanan 13 aktivis wanita itu sudah berakhir tetapi lebih 1.9 juta rakyat Palestin di Gaza masih kekal.

“Rakyat Palestin di Gaza berada di bawah sekatan haram Israel. WBG dan Freedom Flotilla Coalition akan terus meningkatkan kesedaran mengenai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan seterusnya akan meneruskan pelayaran membantu sahabat kami di Gaza, sehingga dan selepas mereka merdeka,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman semasa mengulas mengenai pembebasan wanita M alaysia yang juga ahli lembaga pengarah badan bukan kerajaan itu sebagai satu bukti di mata dunia bahawa Malaysia mempunyai pasukan yang bagus dan efisien dalam misi melepaskan Gaza dari kepungan Israel.

"Penahanan aktivis-aktivis ini dan pembebasan mereka dari rejim Israel akan membuka ruang lebih besar untuk kami meneruskan misi kami. Kami lihat insiden ini sebagai titik perubahan untuk kami mendapatkan sokongan yang lebih besar bagi misi kami,” katanya.

Zaytouna-Oliva telah bertolak dari Barcelona bersama sebuah lagi kapal iaitu Amal Hope pada 14 September lepas untuk memecah kepungan Israel ke atas Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Walaubagaimanapun, Kapal Amal Hope mengalami masalah teknikal menyebabkan hanya kapal Zaytouna-Oliva meneruskan misi tersebut bersama 10 ahli misi dan tiga orang anak kapal.

Selepas sembilan hari pelayaran dari Messina, Sicily, dan Itali, kapal berkenaan telah dipintas dan dirampas oleh tentera laut Israel.

Badan kemanusiaan seluruh dunia mengutuk tindakan tentera Israel menghalang kapal Zaytouna daripada memasuki Gaza walaupun konvoi tersebut datang secara aman tanpa sebarang provokasi.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.