Malaysia Tempatkan Pesawat Udara Tanpa Pemandu Kawal Perairannya

Noah Lee & Zam Yusa
2020.01.17
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu, Malaysia
200117-MY-Drone-1000.jpg Setiausaha Ketenteraan Amerika Syarikat [AS] Eric Fanning, berbaju putih sedang melihat Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) atau lebih dikenali sebagai dron semasa sesi latihan tentera tahunan bersama Malaysia dan AS di Johor Bahru, Malaysia, 30 Julai 2016.
[AP]

Malaysia bercadang menempatkan 12 buah Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) di beberapa pangkalan tenteranya di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan perairan di Sabah, Melaka dan Laut China Selatan mulai Februari depan.

Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia, Laksamana Mohd Reza Mohd Sany pada Jumaat berkata buat permulaan kesemua 12 UAV atau dikenali sebagai dron bernilai AS$19 juta (RM77 juta) yang akan diperolehi daripada kerajaan Amerika Syarikat [AS], bakal ditempatkan di pangkalan TLDM Kota Kinabalu, di Sabah terlebih dahulu.

"Sebagai permulaan, kita akan letakkan 12 buah dron di Kota Kinabalu dan terbangkannya di darat dahulu... Dron ini juga akan digunakan dalam operasi di perairan Sabah. Kita memerlukan jangkaan masa selama setahun untuk membiasakan penggunaan pesawat menggunakan sistem arial tanpa pemandu, sebelum boleh digunakan sepenuhnya dalam pelbagai operasi.

"Sebaik saja mahir dengan penggunaan dron, maka barulah kita akan menempatkannya ke atas kapal-kapal, tidak kira di mana, sama ada di timur Sabah, Kuantan [Laut China Selatan] atau Lumut [Selat Melaka], bergantung kepada keperluan semasa," kata Mohd Reza pada satu sidang media di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Panglima itu berkata demikian sebagai merujuk kepada dua lagi bandar yang menempatkan pangkalan-pangkalan besar TLDM di Malaysia iaitu Kuantan, di Pahang, dan Lumut di Perak.

Mohd Reza ditemui media sejurus selepas menghadiri majlis ketibaan pelayaran pulang kapal Misi Pesisir (Littoral Combat Ship-LMS) pertama buatan China, KD Keris, ke pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

KD Keris mula dibina pada 31 Julai 2018 di Wuhan, China, memulakan pelayaran pulang pada 8 Januari lepas adalah sebuah daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15 Kelima TLDM.

Kapal Misi Pesisir pertama buatan China milik Malaysia yang dinamakan KD Keris tiba di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah, 17 Januari 2020. [Zam Yusa/BeritaBenar]

Dron ScanEagle

Malaysia pada Jun tahun lepas berkata negara itu bakal menerima pakej 12 unit dron ScanEagle bernilai AS$19.3 juta menerusi program bantuan yang dikenali sebagai Inisiatif Keselamatan Maritim kerajaan AS (MSI) dalam usaha meningkatkan keupayaan pengumpulan maklumat keselamatan dan maritimnya.

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan pada masa itu berkata program berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh AS dan tidak membabitkan sebarang kos oleh Putrajaya dan ianya penting bagi Malaysia untuk memiliki keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) dalam mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan an Laut Sulu.

Dron itu, yang dibina oleh Insitu, anak syarikat Boeing Co, adalah sebahagian daripada pakej 34 unit ScanEagle yang dibekalkan AS kepada Malaysia, Filipina, Indonesia dan Vietnam, menurut maklumat hubungan yang dikeluarkan Pentagon tahun lepas.

Dron ScanEagle itu juga mempunyai keupayaan untuk terbang setinggi 19,500 kaki dan boleh beroperasi sehingga 24 jam secara berterusan, dengan bergantung kepada konfigurasi sistem juga boleh dilancarkan tanpa perlu adanya landasan terbang.

Kor Marin AS dan Tentera Laut AS telahpun menggunakan dron berkenaan sejak 2005 lagi.

Penggunaan dron sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan negara Malaysia adalah antara perkara yang telah disentuh di dalam Kertas Putih Pertahanan (Defense White Paper atau DWP) yang telah dibentang di Parlimen hujung tahun lepas.

Skuadron dron

Sementara itu, seorang penganalisis pertahanan ketika diminta mengulas mengenai pemerolehan dron ScanEagle dari AS itu menyambut baik langkah kerajaan Malaysia dalam memantapkan keselamatan maritim tanahair.

Lam Choong Wah, seorang penganalisis pertahanan bebas memberitahu BeritaBenar walaupun dron yang akan diserahkan kepada TLDM itu mempunyai kebolehupayaan pemantauan yang terhad, tetapi adalah lebih baik bagi negara untuk memilikinya daripada tidak mempunyai apa-apa keupayaan aset seumpama itu langsung.

"(Bagaimanapun) untuk jangka masa panjang, kita akan memerlukan dron yang besar saiznya iaitu yang boleh memuatkan perkakasan seperti radar pengintipan dan sistem pengesan.

"Mengikut apa yang saya tahu, Kementerian Pertahanan telah pun membuat Request For Information (permohonan maklumat) pada awal 2019 untuk membuka jalan bagi mendapatkan dron besar dalam tempoh terdekat. Jadi kita boleh menjangkakan bahawa Malaysia akan ada satu skuadron dron sendiri pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi.

Lam berkata keperluan untuk menambah bajet bagi mendapatkan dron adalah bergantung kepada tahap ancaman yang dihadapi negara, serta pelan pertahanan dan juga beban fiskal Malaysia.

Perairan Sabah adalah antara lokasi panas yang membabitkan ancaman pada keselamatan negara dari segi pencerobohan militan dan juga ancaman dari kumpulan penjenayah rentas sempadan serta penyeludupan.

Penggunaan dron di kawasan perairan Sabah pernah turut dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, pada Disember lalu.

"Di perairan Sabah (misalnya), sempadan dengan negara jiran (Filipina dan Indonesia) terlalu panjang, lebih 1,000km. Kita boleh gunakan dron di kawasan sempadan ini, yang kita sedang fikirkan," Menteri itu dipetik sebagai berkata seperti dilaporkan Bernama.

Pada Februari dan Mac 2013, pasukan keselamatan Malaysia berjaya melawan pemberontakan oleh kira-kira 200 pejuang bersenjata dari Sulu, yang tiba dengan bot dari kepulauan Sulu, yang berdekatan, dan menceroboh pantai Sabah, yang terletak di kepulauan Borneo Malaysia.

Pencerobohan itu merupakan krisis keselamatan paling serius di Malaysia pada zaman ini sehingga menyebabkan seramai 72 orang terbunuh, termasuk 56 lelaki bersenjata pengikut Kesultanan Sulu dan sepuluh anggota pasukan keselamatan Malaysia serta enam orang awam.

Pertempuran semasa pencerobohan itu berlaku selama beberapa minggu dan berakhir dengan saki baki anggotanya melarikan diri kembali ke Filipina.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.