Malaysia Arah Dutanya Pulang Dari Korea Utara di Tengah Ketegangan Berhubung Mayat Kim

S.C Lei & Anis Natasha
2017.02.20
Kuala Lumpur
170220-MY-NK-ambassador-1000.jpg Kang Chol, Duta Korea Utara ke Malaysia bercakap kepada pemberita di luar kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur, 20 Feb, 2017.
AFP

Malaysia memanggil pulang dutanya di Korea Utara pada Isnin dan membalas kata-kata berang dengan Pyongyang, di tengah-tengah ketegangan dua hala yang semakin meningkat berhubung keengganan Kuala Lumpur untuk melepaskan mayat abang tiri Kim Jong-Un berikutan pembunuhannya di Malaysia seminggu yang lalu.

Kementerian Luar Negeri Malaysia juga memanggil duta Korea Utara di negara itu supaya memberi penjelasan mengenai kritikan beliau terhadap kerajaan Malaysia baru-baru ini, tetapi Duta Kong Chol sebaliknya membuat serangan terbaru dengan menuntut supaya siasatan bersama dilakukan ke atas kematian lelaki itu yang beliau dakwa sebagai dipolitikkan.

"Setakat ini, kami menghormati polis Malaysia dan menunggu dengan sabar hasil siasatan yang adil dan tepat. Sebaliknya mereka menunjukkan syak wasangka terhadap kami dan menyasarkan siasatan terhadap kami," kata satu kenyataan lima halaman yang dibacakan oleh Kang Chol di luar kedutaan Korea Utara, tidak lama selepas beliau dipanggil oleh Kementerian Luar Negeri.

Setakat ini, semuanya yang berlaku jelas menunjukkan bahawa kejadian ini dipolitikkan oleh Malaysia yang bersekongkol dengan Korea Selatan, kami secara rasminya memaklumkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa kami cadangkan supaya siasatan bersama mengenai kejadian dilakukan bagi mendapatkan penjelasan yang jelas."

Dengan persengketaan diplomatik itu semakin meningkat, Menteri Luar Negeri Malaysia, Anifah Aman mengeluarkan kenyataan pada lewat Isnin, dengan berkata tuduhan Korea Utara itu adalah "bersandarkan khayalan, pembohonan dan perkara yang hanya separuh benar," dan polis sedang menjalankan siasatan yang tidak memihak kepada sesiapa.

"Apa juga tohmahan yang dibuat yang menyangkal hakikat ini, atau pun apa juga tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing adalah penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia," kata Anifah.

Perdana Menteri Najib Razak yang mengulas isu itu buat kali pertama, mempertahankan profesionalisme polis negaranya. "Kami tiada ada sebab untuk melakukan sesuatu yang boleh membuatkan imej Korea Utara terjejas," kata Najib.

"Tetapi, kami akan menjadi lebih objektif dan berharap mereka memahami bahawa kami melaksanakannya mengikut kedaulatan undang-undang di Malaysia," kata Najib seperti yang dipetik oleh New Straits Times, saluran berita tempatan Malaysia.

"Kerajaan Malaysia mengambil serius sebarang usaha tidak berasas untuk memburukkan reputasinya," kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan awal pada Isnin.

"Duta Besar Malaysia di Pyongyang telah dipanggil pulang ke Kuala Lumpur untuk perbincangan."

'Kenyataan palsu'

Seorang lelaki, yang dikenali pasti sebagai Kim Jong-Nam oleh pegawai-pegawai Malaysia, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital pada 13 Feb lalu selepas dilaporkan memberitahu kakitangan perubatan bahawa seorang wanita telah menyerangnya dengan semburan bahan kimia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Para pegawai Malaysia telah berulang kali menyatakan bahawa mereka akan mengenal pasti punca kematian dan menyerahkan mayat lelaki itu kepada anggota keluarganya "mengikut undang-undang dan prosedur Malaysia yang sedia ada."

Malaysia adalah antara senarai kecil negara yang mempunyai hubungan rapat dengan rejum komunis di Pyongyang, yang berada di bawah sekatan global berikutan pelancaran senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang menyalahi undang-undang, dengan yang terbaru dilakukan pada 12 Feb lalu.

Korea Selatan telah menyalahkan Korea Utara bagi kematian Kim, dengan memetik tentang "perintah tetap" pemimpin Kim Jong-Un supaya membunuh abangnya dan cubaan pembunuhan yang gagal pada 2012 selepas abang tirinya itu mengkritik rejimnya.

Malaysia kini menahan empat suspek tetapi mengumumkan pada Ahad bahawa empat lelaki Korea Utara, yang dikehendaki berhubung dengan pembunuhan itu, telah meninggalkan Malaysia pada hari kejadian.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan kepada pemberita pada Isnin, Kang Chol berkata, "kami tidak boleh mempercayai siasatan yang dijalankan polis Malaysia."

Beliau juga menuduh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi membuat "kenyataan palsu" apabila beliau mengenal pasti lelaki yang mati itu sebagai abang tiri Kim Jong-Un. Kenyataan duta itu, bagaimanapun, tidak menamakan Kim Jong-Nam.

"Pada pagi 18 Feb, kami mengemukakan dokumen rasmi bahawa kami tidak tahu apa-apa nama lain kecuali Kim Chol seperti yang ditulis dalam pasport itu kepada polis Malaysia di Kedutaan. Oleh itu, bagaimana timbalan perdana menteri boleh memalsukan kenyataan sehari sebelum kami mengemukakannya?" kata kenyataan itu.

Pada 17 Feb, Ahmad Zahid mengesahkan seorang lelaki yang didakwa dibunuh di lapangan terbang itu adalah Kim Jong-Nam.

"Identiti beliau telah disahkan daripada pasport yang kami bandingkan dengan dokumen yang dikeluarkan oleh Kedutaan Korea Utara dan dengan identiti yang dikeluarkan oleh kedutaan itu," agensi berita Malaysia, Bernama, memetik beliau sebagai berkata.

Para pegawai Malaysia masih belum mengeluarkan laporan bedah siasat mengenai punca kematian lelaki itu. Keputusan ujian patologi dan toksikologi masih belum selesai, kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim dalam sidang berita pada Ahad.

"Pada masa ini, saya tidak boleh memberitahu punca kematian," katanya. Tetapi, beliau mengesahkan bahawa polis mengendalikan kejadian itu sebagai kes bunuh.

Beliau berkata polis Malaysia telah meminta anggota keluarga  Kim supaya tampil untuk mengenal pasti mayatnya dan  mereka diberi masa dua minggu untuk berbuat demikian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.