EAIC Sangkal Dakwaan Penderaan Dan Kematian Di Depot Juru
2016.08.26

Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia (EAIC) menafikan dakwaan berlakunya penderaan yang menyebabkan kematian beberapa warga asing oleh pegawai di Depot Tahanan Imigresen Juru, Pulau Pinang seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Cambodian Daily baru-baru ini.
Penafian itu sampaikan oleh Pengerusi EAIC, Yaacob Md. Sam, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat selepas membuat lawatan mengejut di depot itu pada 22 Ogos lepas.
“Hasil siasatan oleh pegawai EAIC bersama pegawai daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang telah membuat lawatan mengejut di depot berkenaan mendapati dakwaan berlakunya kekerasan oleh pegawai sehingga menyebabkan kematian tujuh warga asing; lima warga Kemboja dan dua warga Vietnam, seperti yang dilaporkan media adalah tidak benar dan tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di Putrajaya pada Jumaat.
EAIC adalah sebuah suruhanjaya badan berkanun yang ditubuhkan pada 2011, yang bertindak mengendalikan aduan berkaitan salah laku 19 agensi penguatkuasaan di Malaysia termasuk polis, imigresen dan kastam.
Minggu lepas, kerajaan Kemboja telah mengarahkan kedutaannya di Kuala Lumpur untuk menyiasat keadaan rakyat negaranya yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen berkenaan, susulan dakwaan tahanan di pusat itu telah diseksa dan dipukul oleh warden, sehingga ada yang mati, demikian lapor akhbar Cambodia Daily.
Akhbar itu dalam laporannya berkata, dua wanita Kemboja yang dihantar pulang pada Jun lepas atas usaha sebuah pertubuhan hak asasi negara itu telah menceritakan bagaimana dia ditendang dan dipukul oleh warden di depot tahanan berkenaan kerana tidak memahami apa yang diperkatakan oleh pegawai di depot itu.
“Mereka diseksa kerana tidak boleh bertutur Bahasa Melayu, dan tahanan lain juga dari Vietnam, Thailand, Indonesia dan Laos, diseksa teruk,” kata Cambodia Daily dalam laporannya memetik seorang daripada dua wanita yang dibawa pulang itu sebagai berkata.
Yaacob berkata, pegawai penyiasat EAIC telah mengadakan temubual dengan sepuluh tahanan wanita termasuk seorang wanita dari Kemboja yang masih berada di depot berkenaan semasa lawatan mengejut mereka itu.
“Warga Kemboja yang dikenali sebagai Kheng, berusia 18 tahun yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, sejak 1 Julai lepas, telah mengesahkan mendapat layanan baik daripada pegawai Imigresen sambil memaklumkan bahawa tiada tahanan yang didera sepanjang beliau berada di depot itu,” tambah beliau.
Beliau menambah, sebelum Kheng ditempatkan di depot tersebut, terdapat seramai 17 wanita Kemboja yang ditahan untuk tempoh enam bulan di depot berkenaan sejak Disember 2015, di mana kesemua mereka telah dihantar pulang ke negara asal pada 13 Julai lepas.
Yaacob berkata siasatan yang dijalankan kedua-dua suruhanjaya mendapati terdapatnya satu kematian yang melibatkan seorang tahanan wanita warga Kemboja, berusia 26 yang direkodkan berlaku.
Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kekurangan garam dalam badan (cardial arrhythmia secondary to severe hypokalaemia) semasa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam dan makluman mengenai kematian tersebut telah dihantar kepada Kedutaan Kemboja pada 6 Julai lepas untuk mendapat kelulusan bagi proses pengkebumian yang dilakukan pada 15 Ogos,” tambah beliau.
Siasatan oleh EAIC juga mendapati lima kes kematian tahanan direkodkan berlaku yang kesemuanya meninggal dunia kerana penyakit sepanjang tahun lepas.
Tiga wanita meninggal semasa dalam tahanan di depot berkenaan manakala seorang di Hospital Bukit Mertajam dan seorang lagi di Hospital Seberang Jaya.
Mereka yang meninggal dunia ialah dua wanita warga Indonesia, seorang wanita Kemboja dan Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh.
Yaacob berkata, setiap kes kematian tahanan samada di depot atau hospital, akan diuruskan mengikut butiran Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan laporan polis mengenainya akan dibuat di balai polis berhampiran selain perlu mendapatkan perakuan pegawai perubatan yang menjalankan post-mortem.
Terlebih kapasiti
Selain itu Yaacob berkata, pemerhatian suruhanjaya berkenaan mendapati depot tahanan yang diwartakan untuk menampung kapasiti seramai 500 orang iaitu 350 lelaki dan 150 wanita kini mempunyai lebihan 95 tahanan daripada kapasiti yang dibenarkan.
Siasatan juga mendapati 19 buah kamera litar tertutup tidak berfungsi semenjak dua tahun lepas dan tiada sebarang tindakan diambil kerana suruhanjaya itu dimaklumkan mengenai kekurangan peruntukan untuk membaikpulih kemudahan kesemua kamera berkenaan.
“EAIC juga akan menulis kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia supaya perhatian serius dan tindakan segera diambil terhadap usaha memperbaiki kemudahan itu selain membaikpulih bangunan usang di depot itu dengan meminta supaya kerja-kerja baik-pulih dibuat segera,” tambah pengerusi suruhanjaya berkenaan.