Malaysia Dakwa Ebit Lew Dengan 11 Pertuduhan Gangguan Seksual
2022.02.18
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat telah mendakwa seorang pendakwah Islam yang terkenal di sebuah mahkamah di Sabah atas 11 pertuduhan gangguan seksual.
Penceramah selebriti tersebut dikatakan telah membuat kesalahan dengan menghantar gambar dan perkataan lucah kepada seorang wanita pada tahun lepas.
Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali dengan nama Ebit Lew, yang turut aktif dalam kerja-kerja kebajikan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua 11 pertuduhan terhadapnya di bawah Kanun Keseksaan.
Beliau berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah atas setiap pertuduhan berkenaan.
"Polis Diraja Malaysia mengesahkan pada hari ini, 18 Feb 2022, pendakwah bebas Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew, 38 tahun, telah dituduh di Mahkamah Majistret Tenom di Sabah.
"Sebanyak 11 pertuduhan telah dibuat ke atas tertuduh di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, iaitu membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp," kata Abdul Jalil Hassan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan beberapa jam selepas Ebit Lew didakwa di mahkamah.
Berdasarkan laporan media tempatan, pendakwaan terhadap penceramah itu dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Muhammad Ilmami Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli di hadapan Hakim Mahkamah Majistret, Nur Asyraf Zolhani.
Ebit Lew telah dibebaskan selepas membayar wang jaminan yang ditetapkan sebanyak RM1,000 (AS$238.81) bagi setiap pertuduhan.
Menurut Abdul Jalil, kesemua 11 kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan oleh Ebit Lew di daerah Tenom di antara Mac 2021 dan Jun 2021, membabitkan seorang wanita. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai mangsa serta kandungan mesej yang dikatakan telah dihantar oleh tertuduh.
Dalam satu sidang media di Tenom, Abdul Jalil dilaporkan memberitahu pemberita bahawa pendakwaan terhadap Ebit Lew dibuat selepas polis melakukan siasatan menyeluruh, termasuk sama ada terdapat unsur fitnah dalam tuduhan yang dilemparkan terhadap lelaki tersebut.
"Kita membuat siasatan daripada pelbagai sudut selain daripada di bawah seksyen tersebut, kita juga melihat sama ada terdapat unsur fitnah atau tidak. Tetapi di akhir siasatan dan setelah dikumpulkan bukti yang nyata, inilah hasilnya tindakan-tindakan yang dibuat pada hari ini," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Ebit Lew merupakan seorang mualaf yang dikenali banyak melakukan kerja-kerja amal termasuk membantu golongan miskin dan tidak berkemampuan di dalam serta di luar Malaysia.
Pendakwah itu yang mempunyai ramai peminat dan pengikut di media sosial dikatakan berada di Sabah untuk melakukan kerja kebajikan ketika dimaklumkan bahawa dirinya akan dituduh di mahkamah.
'Cubaan jatuhkan kredibiliti'
Menurut peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin yang mewakili Ebit Lew, mereka hanya mendapat maklumat bahawa anak guamnya itu akan dituduh pada minggu lalu.
"Kita sedia mendengar dan kekal dengan pengakuan tidak bersalah. Tarikh diberikan pada bulan April ini untuk penyerahan dokumen, untuk kita sediakan pembelaan.
"Perbicaraan dijangka akan diadakan bermula Jun depan," kata Zairi kepada pemberita ketika ditemui di luar Pejabat Daerah Tenom yang dijadikan sebagai mahkamah sementara.
Sementara itu, Ebit Lew pula ketika ditemui media meluahkan kekecewaan beliau terhadap pendakwaan ke atasnya, dan menyifatkan semua tuduhan sebagai tidak berasas dan bertujuan menjatuhkan kredibilitinya.
"Setiap apa yang berlaku ini ada tujuan selain kita ingat Allah. Berdasarkan tuduhan tadi, saya melihatnya sebagai tidak berasas dan melampau dengan tujuan utama adalah untuk menjatuhkan kredibiliti saya.
"Supaya nampak saya hina dan merendahkan untuk saya menghentikan kerja saya," kata beliau.
Ebit Liew turut mendakwa bahawa terdapat "kumpulan" yang merancang untuk mengenakan dirinya.
"Saya tidak rasa apa-apa [kerana] saya tahu saya tidak bersalah. Ini perancangan ramai orang dari dulu lagi. Saya redha dengan ketentuan Allah," tambah pendakwah itu.
Media tempatan Malaysia melaporkan yang kes terhadap Ebit Lew mula disiasat polis pada Julai tahun lepas, selepas menerima laporan daripada beberapa individu yang mendakwa bahawa pendakwah itu telah melakukan perbuatan gangguan seksual.