Ekonomi Malaysia Menguncup, Prestasi Terburuk Sejak Krisis Kewangan 1998
2021.02.11
Kuala Lumpur

Ekonomi Malaysia sepanjang tahun lepas menunjukkan prestasi negatif dan yang terburuk pernah direkodkan negara sejak krisis kewangan Asia sejak 1998, kata pegawai tinggi kerajaan pada Khamis, sambil menyatakan bahawa situasi itu adalah disebabkan pandemik COVID-19 dan perintah berkurung yang dilaksanakan dalam membendung penularannya.
Putrajaya pada hari yang sama juga mengumumkan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara percuma yang dianjurkan oleh kerajaan akan turut meliputi semua warga asing di dalam negara, termasuk mereka yang tiada mempunyai sebarang dokumen.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Khamis berkata bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 secara keseluruhan merekodkan penyusutan kepada -5.6 peratus, berbanding tahun sebelumnya (2019) yang menyaksikan KDNK berada di tahap 4.3 peratus.
"Kali terakhir ekonomi Malaysia menyaksikan penyusutan adalah pada tahun 2009 apabila KDNK direkodkan -1.5 peratus, dan tahun ini adalah yang terendah selepas 1998 (-7.4 peratus).
"Pada tahun 2020, pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan di dalam negara sejak 18 Mac 2020 sehingga kini, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Oleh itu, prestasi aktiviti ekonomi yang mengikut faktor-faktor bekalan dan permintaan, serta pengaruh sektor luar, telah membawa kepada penguncupan ekonomi negara bagi tiga suku berturut-turut dalam tahun 2020.
"Malaysia pernah mempunyai pengalaman merekodkan penguncupan ekonomi untuk lima suku tahun secara berturut-turut semasa krisis ekonomi Asia pada 1998, sebelum merekodkan perkembangan positif semula," kata Uzir dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya pada Khamis.
Beliau merujuk kepada PKP dan dua lagi versi perintah berkurung itu yang mula dikuatkuasakan pada tahun lalu ekoran penularan virus Korona.
Versi PKP secara yang dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 melihat sektor ekonomi terhenti selama lebih dua bulan, sebelum dibenarkan dibuka secara beransur-ansur dengan peraturan ketat pada Mei di bawah PKP Bersyarat.
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan memberitahu media bahawa pelaksanaan PKP itu telah menyebabkan negara kerugian RM2.4 bilion(AS$594 juta) setiap hari. Satu versi yang lebih longgar dinamakan PKP Pemulihan kemudiannya diperkenalkan mulai 10 Jun 2020 selepas kes positif COVID-19 semakin menunjukkan penurunan.
Bagaimanapun, gelombang ketiga COVID-19 yang mula melanda Malaysia pada September susulan Pilihanraya Negeri Sabah menyebabkan situasi pandemik menjadi buruk di seluruh negara, dan akhirnya memaksa kerajaan untuk kembali memperkenalkan PKP bermula 13 Januari lalu.
Putrajaya juga telah membuat proklamasi darurat selepas mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong pada 11 Januari lepas.
Menurut Uzir, kadar negatif KDNK tahun 2020 adalah dipengaruhi oleh kejatuhan prestasi semua sektor ekonomi pada tahun tersebut, dengan sektor servis merekodkan prestasi -5.5 peratus berbanding 6.1 peratus pada 2019.
Katanya, sektor pembuatan pula menguncup sebanyak 2.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2019, manakala sektor pertanian menyusut 2.2 peratus berbanding 2.0 peratus pada tahun sebelumnya dengan sektor perlombongan dan kuari pula merekodkan -10 peratus, diikuti sektor pembinaan menurun sebanyak 19.4 peratus berbanding 0.1 peratus pada 2019.
"Implikasi pandemik COVID-19 telah membawa kesan kepada aktiviti ekonomi, yang seterusnya menyumbang kepada kenaikan kadar pengangguran dalam negara pada suku keempat tahun 2020. Seterusnya, bilangan individu yang bekerja di bawah kelayakan mereka juga meningkat berbanding 2019," kata Uzir, dengan menambah bahawa pelaksanaan PKP juga telah membawa kepada pengurangan perbelanjaan domestik.
Prestasi lebih baik berbanding unjuran
Bagaimanapun, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, penguncupan KDNK pada tahun 2020 itu adalah lebih baik berbanding unjuran yang dibuat oleh beberapa organisasi kewangan antarabangsa, manakala tanda-tanda pemulihan ekonomi juga telah dapat dilihat.
"Secara keseluruhan, KDNK bagi 2020 telah mengalami penguncupan sebanyak 5.6 peratus dan penguncupan ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Dana Kewangan Antarabangsa (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus)," kata beliau di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Kewangan juga pada Khamis.
Tengku Zafrul berkata kadar KDNK pada bulan Disember adalah salah satu tanda pemulihan ekonomi, apabila ia hanya mencatatkan penurunan 1.7 peratus berbanding 4 peratus pada November dengan beliau menyandarkan prestasi itu sebagai bukti keberkesanan beberapa inisiatif yang telah diambil Putrajaya pada tahun lepas bagi merangsang ekonomi negara melalui beberapa pakej dan geran subsidi.
Kadar pengangguran juga adalah lebih rendah pada bulan November dan Disember 2020 iaitu sebanyak 4.8 peratus, berbanding 5.3 peratus pada Mei, tambah beliau.
Satu lagi tanda pemulihan ekonomi, kata Zafrul adalah jumlah perdagangan eksport negara yang berkembang kepada RM483 bilion (AS$119.5 bilion) pada suku keempat 2020, berbanding suku ketiga RM460.9 bilion (AS$114 bilion).
Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) juga telah merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM6.1 bilion(AS$1.5 bilion) untuk tempoh yang sama berbanding RM0.8 bilion (AS$198 juta) dalam suku ketiga 2020.
Ekonomi dijangka pulih 2021
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan memberitahu media pada Khamis bahawa ekonomi Malaysia secara menyeluruh dijangka akan pulih pada tahun ini, namun suku pertama 2021 dijangka menyaksikan pertumbuhan ekonomi terus terjejas disebabkan oleh PKP kali kedua yang dilaksana bermula 13 Jan lalu, atau digelar PKP 2.0.
"Ekonomi 2021 secara menyeluruh akan pulih, didorong oleh peningkatan permintaan global dan aktiviti ekonomi domestik yang beransur-ansur kembali kepada biasa. Pertumbuhan itu akan turut disokong oleh pemulihan perbelanjaan awam dan swasta,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama.
Namun unjuran baru KDNK untuk 2021 hanya akan diumumkan menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan dikeluarkan pada bulan depan selepas bank itu mengemaskini unjurannya.
Menurut Bernama, KDNK bagi 2021 sebelum ini telah diunjurkan berkembang pada 6.5 hingga 7.5 peratus.
Vaksinasi percuma kepada warga asing
Sementara itu satu jawatankuasa khas mengenai vaksin COVID-19 yang diketuai dua menteri kabinet mengumumkan keputusan kerajaan yang bersedia memberi vaksinasi secara percuma kepada semua warga asing yang berada di negara itu.
"Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam telah bersetuju agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini akan turut melibatkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia secara percuma. Ini akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yangmenetap di Malaysia," kata kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin pada Khamis.
Jawatankuasa yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Adham Baba itu bertanggungjawab mengkoordinasi usaha Putrajaya bagi mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi bagi kegunaan dalam negara.
Setakat ini, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal dalam dan luar negara bagi mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 56.2 juta dos yang dapat menampung lebih 80 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara itu.
Khairy dalam ciapan di laman Twitternya berkata keputusan itu akan melibatkan semua warga asing termasuk para diplomat, golongan ekspatriat, pelajar, pasangan dan anak warga Malaysia, pekerja asing dan juga pemegang kad Persuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Tambah beliau, kabinet juga telah bersetuju secara prinsip untuk turut memberikan vaksin percuma kepada semua warga asing tanpa dokumen.
"Jawatankuasa khas ini akan membincangkan lebih lanjut bagaimana ini boleh dilaksanakan. Kami akan berhubung dengan kerajaan negeri, kedutaan luar, serta badan bukan kerajaan untuk membantu," kata Khairy.
Antara sebab di sebalik keputusan berkenaan termasuk faktor kemanusiaan, dan faktor persekitaran selamat dan bebas COVID-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk diberikan vaksin.
Selain itu, rekod menunjukkan bahawa jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster adalah pekerja asing terutama mereka yang dari sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan.
Namun keutamaan vaksinasi adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu manakala maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak.
Malaysia jadi contoh
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi pejabatnya di Malaysia meminta negara lain di rantau Asia supaya mengikut jejak langkah Malaysia dalam berbuat demikian.
"Langkah yang diambil kerajaan ini menunjukkan contoh semangat di mana tiada sesiapa pun yang ditinggalkan, sepertimana Agenda dan Sasaran Pembangunan Lestari 2030. Meliputi golongan yang terdedah di dalam program vaksinasi akan mempunyai kesan panjang dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan semua penduduk di dalam negara.
"Tiada sesiapa antara kita yang selamat sehingga semuanya selamat. Malaysia menunjukkan contoh yang baik dalam langkah ini, dan kami mengharapkan supaya negara lain di rantau ini dan di mana jua akan mengikutinya," kata PBB.
Malaysian Relief Agency (MRA), sebuah badan bukan kerajaan yang aktif membantu golongan warga asing dan pelarian di Malaysia berkata rancangan kerajaan itu akan menjadikan ‘herd immunity’ lebih efektif dan berkesan.
"Kehidupan migran yang tinggal dalam keadaan sempit, dan tidak sanitasi menyebabkan mereka menjadi poin merebaknya COVID-19. Dalam keadaan mereka juga sibuk mencari rezeki dengan jadual kerja yang ketat, terdapat beberapa hambatan lain seperti bekerja dalam suasana yang tidak kondusif (tiada penjarakan fizikal), masalah akses kepada rawatan perubatan dan juga isu isu lain seperti halangan bahasa dan masalah pentadbiran.
"Kegagalan untuk mengawal pandemik merebak dalam kalangan migran akan mengagalkan sasaran KKM untuk melandaikan graf jangkitan sedia ada. Justeru MRA menyambut baik saranan kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin kepada semua golongan populasi di Malaysia termasuk golongan migran,” kata Setiausaha agung MRA Shahrizal Azwan Samsudin kepada BeritaBenar.
Manakala organisasi bukan kerajaan Tenaganita pula menyatakan kerisauan berkenaan implementasi vaksinasi terhadap golongan pendatang asing tanpa dokumen.
“Kenyataan Menteri Khairy Jamaluddin adalah satu langkah kehadapan terhadap prinsip kesamaan dan tanpa diskriminasi dari segi langkah kesihatan.
“Sekarang ini, ialah berkaitan implementasi yang mesti telus dan efektif tanpa tangkapan dan penahanan. Ramai yang menyatakan kerisauan atas perkara yang sebelum ini berlaku ketika proses penyaringan dan ujian COVID-19 dikalangan pendatang asing tanpa dokumen, pemohon suaka dan pelarian,” kata Pengarah Eksekutif Glorene Das.