Selepas Kesukaran Tahun 2015, Kemelesetan Kewangan Landa Malaysia
2016.02.04

Malaysia, yang pernah menjadi kuasa ekonomi di Asia Tenggara, kini dilanda beberapa masalah kewangan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak yang bukan sahaja dikaitkan dengan dana pelaburan negara yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad(1MDB), dakwa ahli ekonomi.
Malaysia sedang bergelut dengan krisis keyakinan akibat daripada isu-isu politik global dan domestik yang menyumbang kepada kelembapan ekonomi, kata Noor Ihsan Mohamad, Profesor Madya Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BeritaBenar.
"Satu contoh jelas ialah data dalam Indeks Sentimen Pengguna Malaysia (CSI) bagi suku akhir 2015 yang diterbitkan baru-baru ini," katanya dalam satu temu bual.
CSI merosot ke paras terendah iaitu 63.8, yang jauh lebih rendah daripada paras sebelumnya iaitu 70.2 dari suku ketiga 2015. CSI mengukur sikap tentang iklim perniagaan, kewangan dan perbelanjaan peribadi di negara itu.
Ihsan mengingatkan ahli-ahli politik untuk "berkhidmat kepada rakyat dan mengurangkan drama politik" kerana rakyat biasa Malaysia sedang mengalami keperitannya.
Kumpulan perbankan global HSBC meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang dengan hanya 3.6 peratus pada 2016 susulan tahap hutang awam dan swasta, menurut AsiaOne.
Unjuran HSBC menunjukkan pertumbuhan paling lemah dalam ekonomi negara itu dalam tempoh tujuh tahun. Ramalan itu lebih lemah daripada unjuran pertumbuhan rasmi antara 4 hingga 5 peratus, dan jauh lebih rendah daripada anggaran pertumbuhan 2015 iaitu antara 4.5 hingga 5 peratus.
Isu 1MDB berterusan
Malaysia berharap perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik, yang kerajaannya dan 11 negara Lingkaran Pasifik lain meterai di New Zealand pada Khamis, akan membantu menarik negaranya keluar daripada kesuraman. Perjanjian perdagangan itu bertujuan mengelak halangan kepada aliran bebas barangan, perkhidmatan dan modal pelaburan dalam kalangan negara-negara Lingkaran Pasifik.
Namun begitu, Malaysia masih dihimpit belenggu kerana ia perlu menangani kesan daripada pendedahan mengenai RM2.08 bilion (US$681 juta) yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri, melalui agensi-agensi yang berkaitan dengan 1MDB, semasa menjelangnya pilihan raya umum Malaysia 2013 .
Minggu lalu, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa beliau tidak akan meneruskan dakwaan berkaitan rasuah yang dikaitkan dengan deposit itu. Apandi berkata tiada kesalahan jenayah dilakukan dan bahawa wang itu adalah sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Kebanyakan daripada wang itu – sebanyak RM2.03 bilion (US$620 juta) - akhirnya dipulangkan kepada penderma berkenaan, kata Apandi, tetapi beliau tidak menyatakan tujuan sumbangan itu atau apa yang berlaku kepada bakinya yang sebanyak US$61 juta.
Langkah itu tidak mengakhiri siasatan terhadap 1MDB. Pihak berkuasa antarabangsa di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura sedang menyiasat 1MDB, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Najib.
Ringgit kehilangan nilai
Seorang pakar ekonomi yang bekerjasama rapat dengan kerajaan berkata, walaupun skandal itu bersifat politik, ia memberi kesan ekonomi khususnya melalui kejatuhan nilai ringgit.
"Kritikan politik bermula pada Ogos dan, begitu juga, ringgit terjejas teruk sejak itu," kata ahli ekonomi itu yang enggan namanya disiarkan.
Penyusutan nilai ringgit memaksa para pelajar yang merancang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat atau Britain untuk meneroka pilihan lain yang jauh lebih murah, lapor The Malay Mail.
Menurut ahli ekonomi, suasana politik semasa telah menghakis keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan Najib. Beliau berkata, kerajaan perlu menjadi lebih telus dalam proses yang berkaitan dengan kerajaan bagi membantu membina keyakinan dalam sektor awam.
"Walaupun dengan perubahan struktur yang besar, kami percaya ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk membolehkan kesan itu benar-benar menjadi kenyataan. Bagaimanapun, ini adalah perkara yang lebih sukar untuk dicapai daripada menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, " kata ahli ekonomi itu kepada BeritaBenar.
Kurangnya keyakinan itu dicerminkan dalam kedudukan Malaysia yang jatuh empat tahap kepada 54 daripada 168 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan Transparency International. Pada 2014, Malaysia berada pada kedudukan ke-50 daripada 175 negara.
Menurut Barjoyai Bardai, seorang profesor di Sekolah Graduan Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak, budaya rasuah sudah lama tertanam dalam sektor awam dan swasta Malaysia dan telah menjadi satu-satunya cara untuk melakukan perniagaan sebenar.
"Untuk membetulkan perkara ini, kita memerlukan revolusi dalam amalan sektor awam dan swasta. Ia tidak mustahil, namun tidak mudah juga. Hong Kong dan Singapura telah melakukannya dengan cemerlang dan kita juga boleh melakukannya. Tetapi, kita perlukan pemimpin dan kerajaan sebenar yang bersih dan ada tekad untuk memulakan revolusi ini, "katanya kepada BeritaBenar menerusi e-mel.
Kejatuhan harga minyak bantu Malaysia
Walaupun adanya dakwaan bahawa kejatuhan mendadak harga minyak pada tahun lepas turut melanda ekonomi Malaysia, Standard Chartered, firma perbankan dan perkhidmatan kewangan Britain, mendakwa negara itu sebenarnya mengimport lebih banyak petroleum berbanding mengeksportnya dan kos yang lebih rendah itu sebenarnya akan memberi manfaat kepadanya, menurut Tinjauan Perniagaan Singapura .
Sebaliknya, Standard Chartered mendakwa bahawa kejatuhan harga minyak sawit telah menjejaskan ekonomi Malaysia kerana eksport komoditi itu merosot lebih daripada 4 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama 2015 berbanding tempoh sama pada 2014.
"Defisit fiskal 2015 Malaysia menokok hanya sedikit kepada 3.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar berbanding 3.0 peratus yang disasarkan pada mulanya, walaupun harga minyak merosot dengan ketara. Ini sebahagiannya daripada penjimatan subsidi (subsidi bahan api telah dihapuskan), dan sebahagiannya kerana dividen syarikat minyak negara ditentukan oleh kerajaan dan ditetapkan berdasarkan kepada harga minyak pada tahun sebelumnya," lapor Standard Chartered.
Perlu pemimpin integriti
Hafiz Rahman, yang bekerja dalam industri minyak dan gas, berkata, Malaysia amat memerlukan kestabilan politik dan ia hanya boleh wujud melalui pemimpin yang berintegriti, kerana "pelabur tidak akan melabur di negara yang korup."
"Pemimpin dengan tahap integriti yang tinggi akan dapat memimpin rakyat mereka dan mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif yang akhirnya akan membawa kestabilan politik dengan kadar jenayah yang minimum," katanya kepada BeritaBenar.
Dalam usaha melaksanakannya, kerajaan perlu menghapuskan dasar-dasar kerajaan yang korup dan melantik menteri yang terkenal dengan integriti mereka.
"Kerajaan perlu menyediakan kepimpinan yang kuat dan telus, dengan penuh tanggungjawab, untuk memacu mesej toleransi sifar terhadap rasuah; pembiayaan politik, sementara itu, perlu dikawal selia dengan mekanisme yang lebih praktikal berbanding keadaan semasa," kata Hafiz.
Malaysia ditadbir oleh gabungan yang sama, Barisan Nasional, sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957.
Fahirul N. Ramli turut menyumbang kepada laporan ini.