PM Malaysia Boleh Bubarkan Parlimen pada Akhir Mac, Awal April
2018.03.16
Kuala Lumpur

Malaysia akan membubarkan Parlimennya dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-14, yang bakal menyaksikan bekas perdana menteri berusia 92 tahun menentang penyandang jawatan itu yang diselubungi dakwaan rasuah, kata sumber dan laporan media.
Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, kerajaan pemerintah perlu menunggu begitu lama untuk mengadakan pilihan raya umum.
Perdana Menteri Najib Razak, 64, dijangka membubarkan badan perundangan itu pada akhir Mac atau awal April sebelum mengumumkan tarikh pengundian, menurut laporan dan sumber BeritaBenar. Tempoh kerajaannya tamat pada 15 Jun, dan perlembagaan menghendaki pilihan raya umum diadakan sebelum Ogos.
Minggu ini, The Straits Times of Singapore memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa Parlimen Malaysia akan dibubarkan sebelum akhir bulan Mac. Pada Khamis, akhbar harian Malaysia, The Star, juga menemuramah sumber yang tidak dinamakan yang memberitahu bahawa pembubaran itu akan berlaku "pada 28, 29 atau 30 Mac."
"Pembubaran seawal 29 Mac atau 30 Mac. Pengundian pada akhir bulan April atau awal Mei," kata satu sumber kepada The Straits Times.
Sumber di Jabatan Perdana Menteri pula memberitahu BeritaBenar bahawa Parlimen akan dibubarkan pada 4 April, sehari sebelum sesi persidangan sekarang berakhir.
Ia tidak jelas bila pengundian akan diadakan. The Straits Times melaporkan bahawa tarikh berpotensi untuk mengadakannya adalah pada hujung minggu iaitu 28 April, 5 dan 12 Mei.
Najib, yang mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, menerajui UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), parti yang telah memegang kuasa sejak kemerdekaan negara pada 1957 dan mengetuai gabungan Barisan Nasional yang memerintah.
Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat dan bekas mentor politik Najib, mengetuai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, dan telah menawarkan dirinya sebagai ‘penyelamat’.
Sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya itu dan menamakan beliau sebagai perdana menteri, Mahathir berjanji untuk melepaskan jawatan itu dan segera menyerahkannya kepada bekas protégé beliau, Anwar Ibrahim. Dua tahun lalu, Mahathir keluar daripada UMNO dan menuduh kepimpinan parti melindungi Najib daripada tuduhan rasuah yang berkaitan dengan dana pelaburan negara, 1MDB.
Sebab bagi pengumuman lewat
BeritaBenar mendapatkan pendapat para penganalisis politik dan ahli sejarah mengenai mengapa Najib mengambil masa yang lama untuk membuat pengumuman tentang pilihan raya umum itu.
Khoo Kay Khim, seorang ahli sejarah Malaysia yang terkemuka berkata, parti pemerintah mungkin mahu mengukur sentimen pengundi sebelum memanaskan jentera politiknya.
Memahami keadaan di lapangan adalah amat penting bagi UMNO dan Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya ini, kata Khoo, seorang profesor emeritus Universiti Malaya.
"Pengundi hari ini mempunyai ilmu pengetahuan," kata Khoo kepada BeritaBenar. "Oleh itu, mereka yang bertanding dalam pilihan raya ini mesti memahami sentimen pengundi. Itulah sebabnya ia mengambil sedikit masa bagi kerajaan untuk mengadakan pilihan raya ini. "
Kelewatan itu hanyalah kerana parti pemerintah memerlukan lebih banyak masa untuk bersedia, kata penganalisis lain.
"Mereka mahu memastikan mereka boleh menang dengan mudah," kata Mohd Azizuddin Mohd Sani. "Mereka perlu menang besar."
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa berucap kepada para penyokong parti pemerintah di Kuala Lumpur, 3 Jan, 2018. [AP]
Ujian untuk PM
Pilihan raya tahun ini boleh menjadi ujian asid bagi Najib, yang mengasaskan 1MDB pada 2009 dan menjadi pengerusi lembaga penasihatnya, kata penganalisis.
Najib mengakui menerima hampir AS$681 juta dalam akaun bank peribadinya, tetapi berkata bahawa wang itu adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi. Para pegawai perdana menteri dan 1MDB telah menafikan dakwaan menyelewengkan wang.
Kontroversi mengenai skandal 1MDB telah mencetuskan tinjauan pendapat negatif terhadap Najib sejak 2015, dengan pembangkang terus berusaha untuk menjejaskan sokongan luar bandar kepada Najib, menurut penganalisis lain.
Awal bulan ini, kerajaan Najib mula mengagihkan kira-kira AS$1.6 bilion kepada berjuta-juta rakyat berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi para pengkritik membantah langkah tersebut dengan menganggapnya sebagai membeli undi menjelang pilihan raya umum.
Sementara itu, ketika negara semakin hampir dengan pilihan raya umum ke-14, Najib dijangka membentangkan kawasan pilihan raya yang baru di Parlimen pada minggu depan, lapor The Straits Times. Kali terakhir Malaysia melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada 2003.
Tetapi, tidak ada jaminan bahawa peta pilihan raya baru itu akan memihak kepada parti pemerintah, kata penganalisis Mohd Azizuddin.
Beliau menyangkal laporan bahawa perubahan itu akan memberi kelebihan kepada UMNO kerana, katanya, penyokong etnik Melayu itu tertumpu di kawasan tertentu.
"Pertama sekali, siapa yang boleh menjamin bahawa orang Melayu akan memberi undi kepada Barisan Nasional?" kata Mohd Azizuddin kepada BeritaBenar.
Beliau berkata, pilihan raya umum akan datang akan mempunyai banyak "unsur unik" yang menarik, termasuk Mahathir membentuk pakatan dengan Anwar bagi menggulingkan Najib.
Mahathir telah menyebabkan Anwar yang berusia 70 tahun itu dipenjarakan buat pertama kalinya hampir dua dekad lalu. Anwar dipenjarakan kerana kesalahan meliwat pada 2014 dan menafikan pertuduhan itu dengan mendakwa ia bermotifkan politik.
"Mahathir kini bekerjasama dengan Anwar Ibrahim," kata Mohd Azizuddin. "Siapa sangka, kan?"