Ahli Politik Malaysia Eksploitasikan Isu Perkauman, Kata NGO

Ray Sherman & Hata Wahari
2018.03.23
Kuala Lumpur
180323-MY-politics-620.jpg Pelanggan sedang menikmati hidangan di sebuah restoran Cina di Sungai Rengit, sebuah bandar di negeri selatan, Johor, 21 Mac, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Ahli-ahli politik di Malaysia mengeksploitasikan isu-isu perkauman dalam usaha mereka mendapatkan kerusi pada pilihan raya umum akan datang, menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia tempatan dalam laporan yang jarang dikeluarkan mengenai diskriminasi kaum di negara pelbagai etnik ini.

Pusat Komas menyalahkan kerajaan Perdana Menteri Najib Razak berhubung masalah itu, dengan menyatakan ia telah "memungkiri" janji-janjinya untuk menggalakkan perpaduan rakyat dan kepaduan sosial di negara ini.

"Malah, isu perkauman telah menjadi lebih ketara dan semakin berleluasa digunakan sebagai alat untuk pecah dan perintah," kata NGO itu dalam laporan yang dikeluarkan sempena Hari Antarabangsa Bagi Menghapuskan Diskriminasi Kaum pada 21 Mac.

Pusat Komas, yang bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan perpaduan melalui penggunaan media popular, berkata, insiden diskriminasi kaum di Malaysia telah mencatatkan peningkatan tahun lepas berdasarkan laporan-laporan berita.

"Dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin hampir, ramai ahli politik dari semua parti memilih untuk  menggunakan politik perkauman bagi mendapatkan sokongan politik daripada rakyat," katanya.

Parti pemerintah, pembangkang nafi mainkan isu kaum

Orang Melayu dan kaum asli lain adalah hampir 70 peratus daripada 31 juta penduduk Malaysia dengan etnik Cina mencatatkan 23 peratus dan bakinya adalah etnik India dan lain-lain.

Kebanyakan parti politik Malaysia adalah berasaskan kaum termasuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pimpinan Najib, yang menerajui gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

UMNO menafikan ia mengeksploitasikan isu-isu perkauman.

"UMNO tidak bertahan dengan menggunakan isu-isu perkauman walaupun parti ini amat bergantung kepada sokongan orang Melayu," kata Annuar Musa, ketua penerangan  UMNO, kepada BeritaBenar pada Jumaat.

"Inti perjuangan parti adalah untuk kepentingan orang Melayu tetapi parti ini masih melihat kepada keperluan bukan Melayu yang merupakan sebahagian daripada pelbagai kumpulan etnik di negara ini," katanya.

Tetapi, etnik minoriti telah merungut tentang kurangnya peluang pendidikan dan perniagaan dengan menyatakan bahawa dasar tindakan afirmatif kerajaan yang memihak kepada etnik Melayu telah meminggirkan mereka.

Antara parti komponen lain BN ialah Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), yang kedua-duanya adalah parti untuk etnik Cina dan India.

Parti pembangkang utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, adalah berasaskan Melayu dan beliau telah menjelaskan bahawa politik perkauman akan terus kekal di negara ini.

"Orang bandar yang sofistikated dan berpendidikan tinggi mungkin percaya bahawa politik perkauman tidak sesuai dengan peredaran masa,” kata Mahathir, bekas presiden UMNO dalam catatan blog sejurus selepas menubuhkan parti itu pada 2016.

"Tetapi, di lapangan keadaannya berbeza. Bagi orang luar bandar yang kebanyakannya miskin, kaum bukan sahaja penting tetapi mereka percaya (ia) penting untuk kesejahteraan mereka. Populariti UMNO adalah kerana ia sebuah parti kaum. "

Antara parti pembangkang lain ialah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dikuasai kaum Cina dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang berasas Melayu Islam.

Liew Chin Tong, ketua DAP di negeri selatan, Johor, menolak sebarang tanggapan bahawa partinya memainkan isu perkauman.

"DAP sentiasa memperjuangkan prinsip menerima semua rakyat Malaysia, termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak," katanya merujuk kepada rakyat di Malaysia Timur iaitu negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang terletak di Borneo, yang menyertai Malaysia pada 1963.

"Politik perkauman tidak pernah menjadi sebahagian daripada DAP, kita berjuang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan warna," kata Liew kepada BeritaBenar.

Ekstremisme agama semakin berleluasa

Laporan Pusat Komas menyatakan tentang "peningkatan ekstremisme agama" di Malaysia dan memberitahu ia telah "membawa kepada tindakan diskriminasi yang mengekang hak rakyat Malaysia dari pelbagai kumpulan etnik."

"Walaupun tindakan diskriminasi mungkin berpunca daripada perspektif keagamaan, persimpangan antara diskriminasi agama dan kaum adalah ketara dalam kes-kes sebegini," kata laporan itu.

"Trend baru ini bukan sahaja membimbangkan tetapi ia menonjolkan bahaya yang wujud disebabkan kemampuan melampaui batas institusi-institusi Islam kerajaan."

Islam adalah agama rasmi Malaysia, yang turut mempunyai rakyat beragama Buddha, Kristian dan Hindu yang ramai.

Laporan Pusat Komas juga mebangkitkan beberapa "contoh positif" di mana inisiatif telah diambil untuk menggalakkan perpaduan nasional dan kepaduan sosial termasuk oleh ahli politik, sultan, badan komersil, kumpulan belia, ahli sukan, tentera, pihak berkuasa agama dan juga sebuah syarikat kecantikan.

"Ini jelas menunjukkan kuasa rakyat biasa untuk menghentikan perkauman dan kenyataan oleh mereka yang bersifat perkauman dalam masa yang singkat serta mencegah penyebaran kebencian sebelum merosakkan fabrik sosial dengan teruk," kata Rita Izsak-Ndiaye, ahli panel yang memantau pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Malaysia adalah antara beberapa negara yang tidak menandatangani dan memperakui ICERD, kata Ndiayel, bekas Pelapor Khas PBB mengenai isu-isu minoriti, dalam laman Kata Pengantar Laporan Pusat Komas itu.

"Menyertai 179 negara yang telah melakukannya bukan sahaja penting kerana ia menandakan ikrar penting untuk menghapuskan diskriminasi kaum malah membawa manfaat yang sangat kukuh," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.