Mahathir: Indonesia Pulangkan Kapal Layar Mewah Punya Kaitan Siasatan 1MDB

Equanimity yang dirampas itu telah menyeberangi sempadan maritim antara kedua-dua negara, menurut laman web Vessel Finder.
Ali Nufael & Hadi Azmi
2018.08.06
Kuala Lumpur, Malaysia
180806-ID-MY-Equanimity1000.jpg Kapal layar mewah ‘Equanimity’ berlabuh di Pulau Batam beberapa jam sebelum menyeberangi sempadan maritim dan tiba di Malaysia pada 6 Ogos 2018.
[AP]

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo pada Isnin kerana menyerahkan kapal layar mewah yang terlibat dengan siasatan rasuah berbilion dolar yang berkaitan dengan dana pelaburan negara itu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kapal layar mewah berharga AS$250 juta itu, yang didakwa dibeli oleh ahli kewangan Malaysia Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) dengan menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB, berada di perairan Malaysia setelah menyeberangi sempadan maritim dan berlepas dari Pulau Batam di Indonesia yang berdekatan dengan Singapura, menurut laman web Vessel Finder, yang mengesan pergerakan bot-bot di seluruh dunia menerusi GPS.

"Saya gembira kerana kerajaan Indonesia telah bersetuju menyerahkan kapal layar itu kepada Malaysia dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Joko Widodo atas kerjasama yang kukuh ini," kata Mahathir dalam satu video di laman Facebook.

Beliau menggesa sesiapa sahaja yang mahu menuntut kapal layar itu supaya mengemukakan bukti pembelian.

"Kapal layar itu dibeli dengan menggunakan wang daripada 1MDB dan wang itu milik rakyat Malaysia," kata pemimpin berusia 93 tahun itu.

"Oleh itu, mereka yang ingin menuntut kapal layar itu mestilah memberikan resit atau bukti bahawa mereka memiliki kapal layar itu dan mereka membelinya menggunakan wang mereka sendiri."

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat menyenaraikan kapal layar itu di dalam dokumen mahkamah sebagai satu daripada aset yang dibeli semasa sekutu bekas pemimpin Malaysia Najib Razak didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana negara itu.

Penyiasat DOJ menganggap Jho Low sebagai orang paling penting dalam siasatan itu, tetapi keberadaannya masih tidak diketahui.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu pemberita pada Isnin bahawa kerajaan akan menjual kapal layar yang memasang bendera Kepulauan Cayman itu, yang dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada Selasa.

"Dan, wang itu akan dikembalikan kepada rakyat," katanya.

Pada Ogos 2017, DOJ mengumumkan bahawa ia sedang melaksanakan tindakan jenayah terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan dana daripada 1MDB. Pendakwa raya Persekutuan Amerika Syarikat belum mendakwa sesiapa pun berhubung jenayah berkaitan dengan dakwaan penyelewengan wang itu itu.

Pegawai-pegawai Malaysia memfailkan empat pertuduhan jenayah terhadap Najib, dengan menuduhnya melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan skandal 1MDB.

Ditubuhkan oleh Najib pada 2009 kononnya untuk mendapatkan projek-projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada warganegara Malaysia, 1MDB menjadi tumpuan penyiasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Switzerland dan Singapura.

Pada 27 Feb, polis Indonesia dan agen FBI menaiki Equanimity ketika ia berlabuh di Teluk Benoa, selatan Bali, dan merampas dokumen serta menyiasat 34 anggota krunya susulan permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syaikat.

Peguam Jho Low: Tindakan kerajaan tidak sah


Sementara itu, sumber polis Malaysia memberitahu BeritaBenar pada Isnin bahawa para pegawai masih belum menerima maklumat mengenai masa ketibaan kapal layar itu.

"Pada masa ini, kami masih menunggu arahan daripada pegawai-pegawai peringkat tinggi. Kapal itu dikatakan akan tiba pada tengah hari, tetapi pada masa ini saya tidak dapat mengesahkannya, "kata sumber itu.

Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga berkata mereka tidak terlibat dalam rampasan kapal layar itu.

"SPRM tidak terlibat. Sila periksa dengan polis," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull kepada BeritaBenar.

Sebelum kapal layar itu diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia, seorang peguam yang mewakili Jho Low berkata rampasan itu adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah di Indonesia dan Amerika Syarikat.

"Tindakan kerajaan Mahathir yang secara tidak sah mengambil aset ini menunjukkan betapa pantasnya pemerintahan berdasarkan undang-undang menghilang daripada rejim Mahathir," kata peguam James Haggerty dalam satu kenyataan pada Ahad.

"Ini melanggar undang-undang Indonesia dan keputusan mahkamah kerajaan Malaysia adalah bermotifkan politik untuk memajukan agenda politik sendiri  tanpa menghiraukan keputusan mahkamah yang ada atau hak undang-undang asas," katanya.

Haggerty mendakwa pemindahan kapal layar itu adalah bertentangan dengan perintah mahkamah Amerika Syarikat baru-baru ini.

"DOJ AS berhujah bahawa adalah penting bagi mereka untuk memiliki aset itu bagi mempertahankan nilainya sehinggalah ia dibicarakan di mahkamah yang adil bagi menentukan pemilikan muktamad dan hak semua pihak yang terlibat," katanya.

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu memberitahu Parlimen pada Isnin bahawa sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa mestilah selaras dengan undang-undang.

"Saya sangat berbangga kerana harta 1MDB akan kembali semula ke Malaysia," katanya "tetapi saya berharap polis dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang Malaysia dan antarabangsa."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.