23 Warga Filipina Dikehendaki Pihak Berkuasa Malaysia

Hata Wahari
2016.11.11
Kuala Lumpur
161111-MY-ESSCOM620.jpg Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengeluarkan antara senarai nama individu yang diburu kerana dipercayai terlibat dalam jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah, 11 Nov 2016.
[Ihsan ESSCOM]

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat telah mengeluarkan senarai 23 individu yang diburu kerana disyaki terbabit dalam jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah, menurut Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid pada Jumaat.

Wan Abdul Bari berkata kesemua individu terbabit adalah warga Filipina yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia bagi membantu menangani jenayah rentas sempadan di sepanjang perairan negara itu.

"Semua individu yang dikenalpasti ini mempunyai kaitan dengan jenayah terutamanya jenayah penculikan di pantai timur Sabah," katanya dalam satu kenyataan.

Senarai ESSCOM itu keluar sehari selepas Malaysia dan Filipina bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani masalah penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dengan Filipina memberi kebenaran kepada kapal penguatkuasaan Malaysia untuk memasuki perairan negara itu ketika bertindak untuk menghalang penculikan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Perdana Menteri Najib Razak, yang menjadi tuan rumah kepada Presiden baru Filipina Rodrigo Duterte pada lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, berkata perkembangan itu adalah untuk menangani ancaman keselamatan di sepanjang sempadan maritim yang dikongsi bersama.

Perairan yang memisahkan selatan Filipina dan Malaysia di sekitar Sabah telah dibelenggu oleh kes penculikan pelaut Malaysia dan Indonesia dari kapal-kapal yang belayar di sekitar kawasan perairan itu, tahun ini.

Sepuluh rakyat Malaysia diculik setakat 2016, dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) masih menahan enam daripada mereka, kerana dilaporkan mahu menuntut wang tebusan bagi pembebasan mangsa culik itu.

Pada hujung minggu lepas, dua pelaut Indonesia telah diculik oleh lelaki bersenjata di perairan Sabah.

Sejak beberapa bulan para pegawai dari Malaysia, Indonesia dan Filipina telah berbincang mengenai rondaan bersama yang bertujuan untuk memelihara Laut Sulu dan Sulawesi dari lanun dan penculikan, tetapi rancangan tersebut masih belum dilaksanakan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Badong masih tersenarai

Antara yang tersenarai ialah Selvador Muktadil atau dikenali sebagai Badong yang dipercayai anggota kumpulan adik beradik Muktadil  yang aktif mendalangi beberapa kes culik di pantai timur Sabah.

Badong, 40-an, berasal dari Tawi Tawi, Filipina, dipercayai menjadi dalang kes culik dua warga Malaysia di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun tentera Filipina memaklumkan Badong telah meninggal dunia akibat ditembak dalam operasi tentera di selatan Filipina pada September lalu.

Wan Bari bagaimanapun memberitahu bahawa ESSCOM menyenaraikan Badong kerana pihaknya belum mendapat sebarang pengesahan dari pihak berkuasa Filipina bahawa Badong telah meninggal dunia.

Senarai ESSCOM termasuk Komander  Abu Sayyaf iaitu  Alhabsy Misaya, Idang Susukan, Apo Mike @ Majan Sahidjuan dan  Hatib Hajan @ Sawadjaan, serta jurucakap kumpulan militan tersebut Muaamar Askali @ Abu Rami, menurut kenyataan itu.

Selain itu, ESSCOM juga menyenaraikan Salip Sosong @ Mohamad Apsa Abdulla, Saidul Idul, Halipa, Ibrahim, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Las Pangit, Hatib Hajan @ Sawadjaan, Alden Bagde @ Sayning, Marajan Asiri, Raden Abuh, Bocoi, Sangbas, Berong Sairol @ Boy Master, Bensaudi Sairol @ Boy Pangit, Boy Intel, Atai Susukan dan  Durog Hussein.

Kenyataan itu menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana individu tersebut supaya menghubungi ESSCOM.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.