Fahmi Reza Didakwa Di Mahkamah Kes Muatnaik Karya Bersifat Menghina
2022.02.10
Kuala Lumpur

Seorang aktivis dan pereka grafik satira Malaysia yang terkenal dengan karya bersifat satira dan kritikal terhadap kerajaan telah didakwa di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur pada Khamis kerana telah memuatnaik sekeping lukisan yang bersifat menghina di laman media sosialnya pada tahun lepas, dengan pendakwaan terhadap beliau itu disifatkan oleh kumpulan hak asasi antarabangsa sebagai satu lagi cubaan kerajaan menutup mulut para pengkritik.
Fahmi Reza Mohd Zarin, artis berusia 44 tahun itu sebelum ini pernah menjadi subjek siasatan pihak berkuasa negara itu dan sudah berbilang kali dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kerana hasil karya satira yang sangat kritital.
Tindakan terkini diambik pentadbiran Putrajaya itu adalah berkaitan dengan satu muatnaik karikatur yang memaparkan imej menyerupai Menteri Kesihatan Malaysia pada waktu itu, yang menjadi sasaran kritikan kerana membenarkan rakan-rakan sejawatannya dalam kabinet untuk menjalani tempoh kuarantin yang lebih pendek berbanding syarat dikenakan terhadap orang awam yang balik dari luar negara semasa pandemik COVID-19.
Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Fahmi mengesahkan bahawa dakwaan itu telah dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Sabariah Othman.
"Ini adalah dakwaan pertama terhadap Fahmi Reza bagi tahun ini, tetapi ia bukan siasatan yang pertama. Kes lain masih sedang berjalan," peguam itu memberitahu BenarNews.
Pendakwaan di mahkamah terhadap Fahmi itu dibuat genap setahun selepas beliau memuatnaik imej satira menyerupai Menteri Kesihatan Adham Baba di akaun media sosialnya.
Fahmi telah memuatnaik karya tersebut selepas Adham mengumumkan bahawa menteri kabinet yang keluar negara hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari, berbanding tempoh biasa selama sepuluh hari yang dikenakan kepada orang biasa pada waktu itu.
Imej berkenaan kelihatan seperti satu kupon diskaun restoran dengan ilustrasi muka Adham sedang meminum air suam, dan diiringi perkataan "Dapatkan diskaun 70% daripada tempoh kuarantin wajib bagi pengembara luar negara." Ia juga mempunyai "kod kupon" yang ditulis “akumenteribabi".
Fahmi didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dan berdepan dengan hukuman denda maksima RM50,000 (AS $11,950) atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon supaya mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 (AS$2,390) terhadap Fahmi, tetapi ia dibantah peguambelanya yang menyatakan bahawa Fahmi bukan seorang yang berisiko melarikan diri serta sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Hakim Sabariah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 (AS$1,195) dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 30 Mac depan.
Pereka grafik itu kemudiannya membayar wang jaminan tersebut dan dibebaskan.
Tidak asing dengan kontroversi
Fahmi Reza bukanlah seorang yang asing dengan kontroversi di Malaysia.
Pada 10 Jun 2016, artis itu telah didakwa di mahkamah di bawah akta sama, yang menghukum sesiapa yang didapati berkongsi "apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain."
Beliau telah didakwa dan kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama satu bulan berserta denda RM30,000 (AS$7,171) kerana memuatnaik satu ilustrasi lukisan menyerupai wajah Perdana Menteri pada masa itu, Najib Razak seperti badut.
Fahmi kemudiannya telah membuat rayuan terhadap keputusan itu, sebelum Mahkamah Sesyen Ipoh mengenepikan hukuman penjara dan mengurangkan jumlah denda terhadapnya kepada RM10,000 (AS$2,390) pada November 2018.
Dalam satu ciapan di laman media sosial Twitternya pada Rabu, pereka grafik itu memaklumkan yang beliau telahpun disiasat oleh Polis Malaysia sebanyak 10 kali sejak 2021.
Rajsurian Pillai mengesahkan bahawa terhadap beberapa kes yang masih tertangguh terhadap anak guamnya itu, namun tidak dapat memberikan jumlah yang tepat kerana masih dalam siasatan polis.
"Kami tidak tahu apa status kes kecuali sekiranya dipanggil polis untuk memaklumkan sama ada beliau akan didakwa atau kes diklasifikasikan sebagai 'tiada tindakan seterusnya'," kata peguam itu.
Tidak akan tunduk pada ancaman
Fahmi Reza bagaimanapun kelihatan tidak terkesan atau tunduk dengan tindakan terhadapnya oleh pihak berkuasa.
Dalam satu ciapan di Twitter pada Khamis, Fahmi berkongsi imej kertas pendakwaan dalam kesnya dan mengumumkan bahawa dia telah "mengaku tidak bersalah kepada semua dakwaan", dan mengiringi mesej itu dengan tanda pagar #SatireIsNotACrime.
Selepas membayar wang jaminan, Fahmi telah membuat ciapan "Aku sudah keluar! Tidak kira berapa banyak laporan dibuat terhadap aku, kena censored, kena siasat, kena tangkap, kena lokap, kena masuk mahkamah, aku takkan berhenti. I'm not going anywhere. Deal with it."
Fahmi bukan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi sasaran pendakwaan kerana mengkritik kerajaan.
Dalam salah satu kes terbaru, lebih 40 orang aktivis dan wakil rakyat pembangkang telah dipanggil oleh polis kerana terlibat dengan satu protes terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, Azam Baki.
Seorang wartawan penyiasatan dan pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam juga telah dipanggil pihak berkuasa beberapa kali berkaitan artikel tulisannya yang mempersoalkan skandal perniagaan yang dikaitkan dengan Azam Baki.
Pelanggaran hak kebebasan bersuara
Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International telah mengkritik tindakan pihak berkuasa Malaysia, menyatakan bahawa undang-undang tidak sepatutnya digunakan bagi menutup mulut pengkritik.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Jorene Maliamauv berkata dengan tindakan mendakwa Fahmi Reza atas satira politiknya, kerajaan telah melanggar haknya yang dijamin dalam perlembagaan untuk bersuara dengan bebas, serta merupakan satu cubaan untuk melenyapkan suara-suara tidak puas hati dengan menggunakan ketakutan.
"Walaupun hanya Fahmi yang berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana ilustrasi dan karyanya yang banyak mengkritik tokoh awam serta mengenengahkan isu pelanggaran hak asasi, tetapi pendakwaan terhadapnya hari ini membawa kesan menakutkan terhadap semua bentuk ucapan yang dianggap tidak boleh diterima oleh mereka yang berkuasa.
"Seksyen 233 yang menjadikan bahan atas talian "lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya" sebagai jenayah adalah undang-undang yang amat tidak jelas dan senang disalahgunakan. Ia mesti dibatalkan. Kita tidak boleh menerima amalan di mana undang-undang digunakan untuk menjadikan ucapan politik sebagai jenayah dan melihat pengkritik kerajaan menjadi sasaran siasatan polis serta pendakwaan di mahkamah.
"Undang-undang tidak sepatutnya digunakan untuk menekan kritikan serta suara tidak puas hati yang disuarakan dengan aman. Seni dan satira diperlukan dalam kehidupan masyarakat yang terbuka dan adil. Kami menggesa supaya pihak berkuasa menarik semula semua dakwaan terhadap Fahmi Reza," kata beliau dalam satu kenyataan.
Sebuah lagi kumpulan hak asasi manusia, Article19, turut menghentam kerajaan Malaysia atas tindakan yang hampir berterusan untuk menangkap, menyiasat dan mengganggu Fahmi atas karya aktivisnya.
Pegawai Kanan Program Article19 Malaysia Nalini Elumalai menggesa kerajaan supaya menarik balik dakwaan terhadap Fahmi dan menghentikan kempen bersifat dendam terhadap artis itu.
"Tindakan hipokrit kerajaaan Malaysia terhadap satira politik dan bahan suara lain merendahkan janji kerajaan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia ketika hendak diundi semula ke dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Setiap tindakan yang tidak berasas dengan mengenakan sekatan terhadap Fahmi Reza adalah langkah ke belakang dalam hak bersuara di Malaysia dan menjadikan keahlian Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia sebagai satu ejekan," kata beliau dalam satu kenyataan.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.