Undang-Undang Baru Malaysia Hukum ‘Berita Palsu’ Mengenai Darurat, COVID-19

Pengkritik bimbang ia boleh digunakan untuk menutup mulut mereka yang mengkritik kerajaan tidak dipilih itu.
Hadi Azmi
2021.03.11
Kuala Lumpur
Undang-Undang Baru Malaysia Hukum ‘Berita Palsu’ Mengenai Darurat, COVID-19 Sebuah mural di Kuala Lumpur menggambarkan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin, 27 Oktober 2020.
[Reuters]

Malaysia pada Khamis memperkenalkan undang-undang yang menghukum "berita palsu" mengenai darurat dan pandemik koronavirus di negara itu, dengan seorang pengkritik menganggapnya sebagai "perintah bagi menutup mulut rakyat Malaysia."

Ordinan Darurat, yang diterbitkan dalam warta kerajaan pada Khamis, boleh digunakan untuk menutup mulut dan menghukum pengkritik kerajaan tidak dipilih pimpinan Muhyiddin Yassin, kata peguam, wartawan dan anggota pembangkang. Pentadbiran beliau dilihat semakin menindas sejak mula berkuasa pada Mac lalu, kata mereka.

“Berita palsu adalah sebarang berita, maklumat, data dan laporan, yang keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu, berhubung dengan COVID-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea,' menurut naskhah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang diperoleh oleh BeritaBenar.

Menurut ordinan itu, yang berkuat kuasa pada Jumaat, rakyat Malaysia yang didapati bersalah menyebarkan ‘berita palsu’ mengenai pandemik COVID-19 dan darurat boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM100,000 (AS$24,345) atau kedua-duanya.

Ia diwartakan sebagai ordinan darurat dengan bermaksud Ahli Parlimen tidak merangka atau membincangkan peruntukan yang terkandung didalamnya. Peruntukan itu mengatasi Akta Keterangan dengan mengetepikan peraturan lama mengenai bagaimana bukti dikumpulkan dan digunakan dalam kes.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak juga mengguna pakai undang-undang serupa bagi berita palsu tetapi undang-undang itu, yang diluluskan Parlimen dengan sedikit perbahasan pada 2018, telah dimansuhkan pada tahun berikutnya oleh kerajaan Pakatan Harapan.

"Lawan berita palsu dengan fakta, bukan Akta," kata Gerakan Media Merdaka iaitu gabungan profesional media bekerja, yang memetik semula slogan semasa Najib masih berkuasa.

Pada Khamis, BeritaBenar menghubungi pejabat Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, tetapi beliau dan pegawainya tidak segera memberi maklum balas.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), yang merupakan pemantau media, menyatakan bahawa peraturan baru itu menyusuli langkah-langkah penindasan oleh kerajaan Muhyiddin.

"Seramai 178 individu telah disiasat selepas menggunakan kebebasan mereka untuk bersuara, 92 insiden melanggar kebebasan bersuara melalui siasatan, disoal polis dan didakwa di mahkamah," menurut catatan CIJ di Twitter.

"Hentilah menggunakan proklamasi darurat untuk menyekat sebarang kritikan terhadap pentadbiran semasa… Tanpa periksa dan imbang sewajarnya Parlimen… [ordinan] menelah usaha berterusan kerajaan ini untuk menggunakan segala cara yang mungkin untuk melemahkan hak dan kebebasan asasi kita,” kata CIJ dalam satu kenyataan.

Ordinan itu juga menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membiarkan sebarang kritikan, kata Azira Aziz, aktivis kumpulan hak asasi manusia Liga Rakyat Demokratik.

"Ordinan Darurat yang baru ini pada dasarnya adalah perintah tutup mulut terhadap semua rakyat Malaysia [kerana] kritikan yang jelas konstruktif bukanlah sesuatu yang dipercayai oleh [kerajaan] PN sekarang," kata Azira di Twitter.

Muhyiddin menggantung persidangan Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan darurat pada 12 Januari atas nasihat perdana menteri. Kedua-dua keputusan itu kekal menjadi kontroversi.

Parti pembangkang Pejuang, yang diterajui bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang membatalkan undang-undang "berita palsu" Najib, berkata ordinan baru itu "pasti mudah untuk disalahgunakan."

Tidak ramai yang tahu bahawa undang-undang itu sudah pun dirangka ketika Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menyatakan pada minggu ini bahawa beliau berharap kementeriannya dapat melakukan lebih banyak lagi usaha untuk menangani "berita palsu" terutamanya mengenai COVID-19 ketika era media sosial dan aplikasi percuma seperti WhatsApp, menurut laporan agensi berita, Bernama, yang dikendalikan oleh kerajaan.

Saifuddin akan mengadakan sidang media pada Jumaat mengenai ordinan "berita palsu" yang baru itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.