1MDB: Bekas Pengurus Bank Falcon Singapura Dipenjara

Hata Wahari
2017.01.11
Kuala Lumpur
170111-my-falcon-sg-620.jpg Warga Switzerland, Jens Fred Sturzenegger tiba di sebuah mahkamah negeri di Singapura atas pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitan dengan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), 11 Januari, 2017.
AFP

Seorang bekas pengurus cawangan Bank Persendirian Falcon yang beroperasi di Singapura dipenjarakan 28 minggu dan didenda RM398,000 (S$128,000)  oleh mahkamah negara itu atas enam tuduhan termasuk gagal  mematuhi peraturan anti-pengubahan wang haram dan bersekongkol dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), demikian menurut laporan media negara berkenaan.

Jens Sturzenegger, warga Switzerland berusia 42 tahun,  didakwa pada 5 Jan lepas dengan 16 pertuduhan, termasuk gagal melaporkan urus niaga mencurigakan berkaitan aliran masuk wang kira-kira RM5.65 bilion (S$1.265 bilion) ke dalam dua akaun antara 21 dan 25 Mac 2013.

Beliau mengaku bersalah dalam enam pertuduhan manakala baki 10 tuduhan dianggap sebagai telah dibaca, menurut laporan itu.

Warga Switzerland itu merupakan orang asing pertama dan kelima didakwa berhubung skandal dana negara Malaysia, turut dituduh berbohong kepada pihak polis dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenai hubungannya dengan seorang ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Pada tahun lepas, dua bank di Singapura, Bank Falcon dan Bank BSI telah kehilangan lesen operasi di Singapura kerana didapati terlibat dalam skandal 1MDB.

Bekas eksekutif bank BSI Singapura Yeo Jiawei dijatuhi hukuman penjara 30 bulan, seorang bekas pengarah BSI Singapura,Yvonne Seah Ye Foong dipenjarakan selama dua minggu dan didenda sebanyak RM31,000 (S$10,000) dan penyelia bank itu Yak Yew Chee dipenjarakan 18 minggu dan didenda RM75,000 (S $24,000).

Yak juga perlu menyerahkan RM23 juta (S$7.5 juta) kepada kerajaan Singapura sebagai langkah untuk "menunjukkan kekesalan sebenarnya".

Individu keempat Kelvin Ang Wee Keng, seorang remiser, dibebaskan dengan ikat jamin  S$100,000 selepas didakwa April lepas memberikan rasuah S$3,000 kepada seorang penganalisa untuk mempercepatkan penyediaan laporan penyeliaan.

Tiada dakwaan di Malaysia

Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menjawab ringkas “penyiasatan masih berjalan.” apabila dihubungi BeritaBenar baru-baru ini, bagi mendapatkan maklumat mengenai pendakwaan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam skandal 1MDB di Malaysia.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) juga telah mengenakan denda dan penalti yang mencecah jutaan dolar Singapura ke atas beberapa bank lain, kerana terlibat dengan pengubahan wang haram berkaitan dengan 1MDB.

Pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang sivil bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.

Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata ini adalah satu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi di negara tersebut. Beberapa siri rampasan sivil telah menamakan Jho Low dan anak tiri Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Riza Aziz dalam kertas pertuduhan.

Najib telah dikaitkan dengan skandal itu, selepas akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa hampir AS $700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013.
Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku.

1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang salah laku.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.