Presiden FAM Tidak Setuju Pasukan Bola Sepak Malaysia Ke Korea Utara

Fadzil Aziz
2017.05.11
Kuala Lumpur
170511-my-fam-620.jpg Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang baru dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tersenyum semasa tiba untuk mesyuarat kongres tahunan FAM di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 25 Mac 2017.
AFP

Persatuan Bola Sepak Malaysia [FAM] mengekalkan keputusan untuk tidak beraksi menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun depan kerana gusar dengan jaminan keselamatan terhadap pemain bola sepak negara, titah Presiden FAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tunku Ismail bertitah selain jaminan keselamatan yang kurang meyakinkan, isu kemudahan serta mutu pengadilan turut menjadi persoalan.

“Saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami [pasukan bola sepak] ke Korea Utara tetapi keputusan itu terletak kepada kerajaan Malaysia dan Menteri Sukan,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi FAM pada Khamis.

Tunku Ismail dalam kenyataan itu sekali lagi menegaskan pendirian FAM bahawa perlawanan tersebut perlu berlangsung di gelanggang berkecuali demi keselamatan skuad Harimau Malaya.

“Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia. Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik,” titah putera raja dari Johor itu.

Konfederasi Bola Sepak Asia [AFC] dalam satu kenyataan pada Isnin memutuskan perlawanan Kumpulan B yang melibatkan Malaysia menentang Korea Utara, yang sepatutnya berlangsung di Stadium Kim-Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lepas, akan tetap diteruskan seperti dirancang di ibu negara Korea Utara dengan tarikh baharu iaitu 8 Jun depan.

Perlawanan antara kedua-dua negara telah ditunda atas permintaan FAM pada Mac lepas, yang mahukan gelanggang berkecuali atas faktor keselamatan selepas berlakunya ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin diktator Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Feb lepas.

Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari beliau diserang dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa.

Tunku Ismail bertitah, “Saya dimaklumkan oleh beberapa jurulatih yang pernah ke negara tersebut (Korea Utara) bahawa situasinya agak teruk. Malah saya juga khuatir dengan masalah jaminan keselamatan serta layanan kemudahan penginapan dari segi tempat tinggal dan makanan di sana.

“Ini disebabkan antara maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri kerana isu sabotaj,” menurut kenyataan akhbar itu.

Mengulas mutu pengadilan, Tunku Mahkota Johor itu bertitah sekiranya terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara, pastinya keselamatan pengadil akan terjejas sekali gus menyebabkan pengadil tersebut berasa tertekan.

Sekatan perjalanan

“Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sekatan perjalanan, yang ada cuma nasihat perjalanan (Travel Advisory) dan itu tidak mencukupi untuk Konfederasi Bola Sepak Asia [AFC] untuk menukar gelanggang perlawanan asal ke gelanggang berkecuali,” tambah baginda.

Mengulas kenyataan Presiden FAM berkaitan nasihat perjalanan, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Wisma Putra tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan, “jadi saya sudah minta Wisma Putra untuk mengkaji semula keadaan di Korea Utrara.”

Tunku Ismail juga menambah “Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya untuk bermain, ini bermakna Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0. Tambahan lagi, kita juga akan didenda sehingga AS$50,000 [RM$215,000] serta bakal disingkirkan daripada pertandingan. Lebih membimbangkan adalah besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan AFC pada masa akan datang.”

Pada Selasa lepas, Khairy mengesahkan tiada lagi larangan buat skuad bola sepak Malaysia ke Korea Utara dan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira hubungan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang yang telah stabil.

FAM sebelum ini telah menerima arahan daripada kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan skuad tersebut terbang ke Pyongyang atas faktor keselamatan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.