Malaysia Bunuh Militan ‘Utama’ Abu Sayyaf Dalam Kejadian Tembakan: Tentera Filipina

Staf BeritaBenar
2016.12.10
Washington DC
161210-PH-Indonesian-1000.jpg Anggota-anggota polis Filipina mengiringi warga Indonesia Muhamad Sofyan (kemeja-T hitam) dari sebuah hospital di Jolo, wilayah Sulu, selepas dia melarikan diri daripada penculik Abu Sayyaf, 17 Ogos, 2016.
AFP

Seorang pemimpin militan Abu Sayyaf, yang terlibat dalam kejadian penculikan warga Barat pada 2015, terbunuh dalam kejadian tembakan dengan polis Malaysia semasa cubaan menculik rentas sempadan di perairan dekat Borneo, kata pegawai-pegawai tentera Filipina pada Sabtu.

Abraham Hamid dan dua suspek militan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang lain telah ditembak mati oleh anggota unit polis elit Malaysia, Tiger Platoon,  semasa pertembungan di luar negeri timur Malaysia, Sabah, pada malam Khamis, menurut satu kenyataan daripada Angkatan Tentera Filipina (AFP).

AFP menggambarkan Abraham sebagai "pemimpin utama" Abu Sayyaf, dan berkata dia telah mengetuai penculikan pada September 2015 membabitkan empat orang - dua rakyat Kanada, seorang rakyat Norway dan seorang warganegara Filipina - dari sebuah resort tepi laut di pulau Samal di selatan Filipina. Tahun ini, Abu Sayyaf memancung rakyat Kanada itu John Ridsdel, 68, dan Robert Hall, 50, selepas tuntutan wang tebusan mereka tidak dipenuhi tetapi membebaskan rakyat Norway, Kjartan Sekkingstad.

Tan juga terlibat dalam penculikan empat anak kapal Indonesia dari kapal tunda yang berlayar berhampiran kepulauan Tawi Tawi, pulau gugusan  Filipina yang terletak berhampiran dengan Sabah, pada April 2016, kata  jurucakap wilayah AFP di selatan Filipina, dalam kenyataan itu.

"Kematian Hamid adalah satu tamparan besar kepada (Abu Sayyaf) kerana ia meneutralkan satu daripada penyamun terkenal dan akan menyusutkan keupayaan mereka untuk mengesan dan menculik mangsa pada masa akan datang," kata jurucakap itu Mejar Filemon Tan. Nama kedua-dua suspek yang terbunuh tidak dinyatakan dalam kenyataan itu.

Dua suspek ditangkap

Ketiga-tiga suspek adalah antara tujuh lelaki bersenjata dalam sebuah bot laju yang merampas tiga bot menangkap ikan di perairan antara bandar-bandar pantai Lahad Datu dan  Semporna serta menculik dua juragannya pada petang itu, menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun.

Tetapi pegawai-pegawai Malaysia masih belum mengesahkan identiti lelaki bersenjata yang dibunuh dan  sama ada mereka bergabung dengan Abu Sayyaf, kumpulan bersenjata yang berpangkalan dekat dengan selatan Filipina yang telah berjanji setia kepada kumpulan pelampau Negara Islam.

ASG telah menculik sekurang-kurangnya 31 anak kapal Malaysia dan Indonesia tahun ini sahaja, selain menculik rakyat Barat dan rakyat negara-negara Asia lain di sepanjang sempadan maritim yang memisahkan Borneo dari Filipina.

"Proses mengenal pasti mereka yang terbunuh masih diteruskan," kata seorang pegawai Malaysia kepada BeritaBenar pada Sabtu.

Pihak berkuasa itu, yang menahan dua lelaki bersenjata dan menyelamatkan seorang daripada dua tebusan berikut kejadian tembakan pada Khamis, masih mencari dua lagi suspek dan tebusan kedua.

Kejadian tembak menembak di perairan itu merupakan yang pertama seumpamanya di antara anggota keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata Filipina yang disyaki terlibat dalam kejadian penculikan rentas sempadan, kata pegawai-pegawai di Sabah.

Menurut laporan dalam Straits Times Singapore, Pesuruhjaya Polis Abdul Rashid memberitahu sidang berita pada Sabtu bahawa lelaki bersenjata itu telah menyusup masuk ke Sabah dari perairan antarabangsa.

Pertempuran itu tercetus selepas lelaki bersenjata tersalah anggap bot peronda Tiger Platoon sebagai bot keempat yang dirancang untuk dirampas, katanya.

"Kami masih cuba mendapatkan maklumat lanjut," akhbar itu memetik beliau sebagai berkata. "Kami  masih menyoal siasat suspek."

Abraham mengetuai sebuah unit yang "merayau menyusuri sempadan" di antara Sabah dan wilayah jiran di Filipina, Sulu,  "untuk mencari mangsa mereka sebelum menyerahkannya kepada kumpulan-kumpulan lebih besar" di kubu kuat hutan Abu Sayyaf yang terletak jauh di selatan Filipina, lapor The Star Online yang memetik Filemon Tan.

Daripada sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia dan 21 rakyat Indonesia yang telah diculik dalam kejadian yang dipercayai  dilakukan oleh Abu Sayyaf pada 2016, tiada seorang pun yang dipancung dan 21 orang lagi dibebaskan atau melarikan diri daripada penculik mereka. Lima rakyat Malaysia, enam rakyat  Indonesia, enam warga Vietnam, tujuh rakyat Filipina, seorang rakyat Jerman dan seorang rakyat Belanda masih ditahan sebagai tebusan di selatan Filipina.


Desmond Davidson di Kuching, Malaysia menyumbang untuk lapuran ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.