Filipina Buru 21 Individu Termasuk Enam Yang Dikehendaki Malaysia
2016.11.22
Kuala Lumpur

Enam suspek utama yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia yang dipercayai terlibat dalam jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah, kini sedang diburu oleh pihak berkuasa Filipina, menurut Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur.
Keenam-enam suspek itu merupakan 21 individu yang sedang diburu pihak berkuasa Filipina, terutamanya di sekitar wilayah Sulu dan Basilan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat kedutaan itu, pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap enam suspek bernama Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Hatib Hayan @ Sawadjaan, Alden Bagde @ Sayning, Muamar Askali @ Abu Rami, Idang Susukan dan Alhabsy Misaya dan kesemua mereka dikhendaki oleh pihak berkuasa Malaysia kerana terlibat dalam beberapa kes penculikan di perairan Sabah.
Kesemua mereka dipercayai terdiri daripada kumpulan militan Abu Sayyaf, yang mahukan negeri berasingan di selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam, dipercayai telah terlibat di dalam kes penculikan di perairan sempadan antara Filipina, Malaysia dan Indonesia, di sekitar pantai timur Sabah.
Menurut kedutaan Filipina, 16 individu lain yang sedang diburu oleh pihak berkuasa negara berkenaan ialah Salvador @ Badong Muktadil, Salip Sosong @ Mohamad APSA Abdulla, Halipa, Ibrahim, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Las Pangit, Marajan Asiri, Raden Abuh, Bocoi, Sangbas, Berong Sairol @ Boy Master , Bensaudi Sairol @ Boy Pangit, Boy Intel, Atai Susukan, Durog Hussein dan Saidul Idul.
Baru-baru in, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Malaysia (ESSCOM) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengeluarkan senarai nama 23 individu, yang kesemuanya berkerakyatan Filipina, kerana dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia.
Kenyataan kedutaan Filipina turut menyebut yang pihak berkuasa negara berkenaan telah berjaya membunuh kumpulan adik beradik Muktadil, iaitu Mindas Muktadil, pada Mei 2015, dan Nikson dan Brown Muktadil pada September lepas.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa, lelaki yang dikenali sebagai Khadafy, yang turut dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia telah ditangkap dan kini berada dalam tahanan di Penjara Wilayah Zamboanga Del Norte, sejak November tahun lepas.
"Pihak berkuasa Filipina mengalu-alukan sebarang maklumat dari rakan sejawatnya dari Malaysia yang akan membolehkan kesemua mereka yang dikehendaki di tangkap,’’ menurut kenyataan tersebut.
Kedutaan Filipina memberitahu, tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu ada selaras dengan pertemuan Presiden Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada 10 November lepas, dalam usaha meningkatkan kerjasama untuk membasmi masalah penculikan di Laut Sulu-Sulewasi.
Malaysia dan Filipina telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani masalah penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dengan Filipina memberi kebenaran kepada kapal penguatkuasaan Malaysia untuk memasuki perairan negara itu ketika bertindak untuk menghalang penculikan.
‘Kes penculikan’
Sementara itu, Perjanjian Kerjasama Serantau Mengenai Pembasmian Lanun dan Perompak Bersenjata Terhadap Kapal-Kapal di Asia ( ReCAAP), melaporkan sejak Mac lepas sebanyak 11 kes menyerang kapal kargo dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf di perairan Laut Sulu.
“Seramai 44 anak kapal telah diculik dan 11 lagi masih dalam tawanan mereka,” kata kenyataan itu
Kejadian terbaru berlaku pada Ahad lepas, di mana lanun dari kumpulan Abu Sayyaf telah menyerang sebuah kapal kargo Jepun di Laut Sulu berdekatan dengan Tawi-Tawi di selatan Filipina.
Kapal Kargo Kumiai Shagang bagaimanapun berjaya menghalang lanun tersebut menaiki kapal tersebut dengan menggunakan kaedah anti lanun ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Hedland di Australia ke Qingdao, China.
"Kapal kargo itu telah diserang pada Ahad, 20 November di Laut Sulu utara Pulau Tawi-Tawi, ia berjaya menghalang lanun terbabit menaiki kapal dan meneruskan perjalanan," kata kenyataan itu yang dikeluarkan pada Selasa.
Kapal itu dimiliki oleh Southern Pacific Holding tetapi diuruskan oleh Kumial Senpaku, menurut laporan.
Penculikan terbaru adalah pada Sabtu di mana dua warga Indonesia telah diculik oleh lima lelaki bersenjata berhampiran Kunak, 129 km (80 batu) di selatan Sandakan, Sabah.
Susulan penculikan itu pada Sabtu, Tan berkata militan kini menahan 24 orang tebusan - lima rakyat Malaysia, seorang warganegara Belanda, seorang rakyat Jerman, seorang rakyat Korea Selatan, empat warga Indonesia, enam rakyat Vietnam dan enam rakyat Filipina.
ASG, yang berikrar setia kepada kumpulan ekstremis Negara Islam (IS), telah mengumpul berjuta-juta dolar melalui penculikan pada tahun-tahun lepas, menurut laporan dalam talian. Tahun ini sahaja, ASG telah mengumpul sekurang-kurangnya 354.1 juta peso Filipina (AS $7.3 juta) daripada wang tebusan yang dibayar untuk orang tawanan, lapor berita melalui laman web yang berpangkalan di Filipina, Rappler.com.