Tentera Filipina Bunuh Militan Abu Sayyaf Yang Dikehendaki Malaysia

Colin Forsythe
2017.03.15
Kota Kinabalu, Sabah
170315-MY-sayyaf-620.jpg Anggota Tentera Filipina yang cedera dalam pertempuran dengan kumpulan militan Abu Sayyaf, tiba di sebuah hospital di Jolo, wilayah Sulu, 3 Mac, 2017.
AFP

Pasukan keselamatan di selatan Filipina telah menewas seorang pemimpin kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang sangat dikehendaki oleh Malaysia kerana membunuh seorang warga Taiwan pada 2013, kata sumber tentera Filipina.

Anggota militan ASG Buchoy Hassan (juga dikenali sebagai  Black atau Bocoi) telah ditewas oleh pasukan keselamatan bersama di Tawi-Tawi pada Selasa, kata sumber seperti dilaporkan oleh media Filipina.

Buchoy berada dalam ‘senarai mereka yang dikehendaki” oleh Malaysia atas dakwaan terlibat dalam kes penculikan warga Taiwan, Chang An Wei dan pembunuhan suaminya di Pom Pom Island Resort di negeri Sabah empat tahun lalu.

Satu sumber mengenai keselamatan Malaysia yang bercakap kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan, bagaimanapun, menyifatkan Buchoy sebagai "pembekal" dan bukannya seorang militan yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan di antara Sabah dan kawasa di bahagian selatan Filipina.

Nama Black muncul dalam senarai rakyat Filipina yang didakwa terlibat dalam jenayah rentas sempadan - khususnya aktiviti menculik untuk wang tebusan - yang dikeluarkan pada November oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Pegawai Malaysia belum menerima maklumat rasmi mengenai kematian Black, menurut Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, Ketua Pengarah ESSCOM.

"Secara rasmi belum, tetapi kami menerima maklumat melalui media dan pihak berkuasa," kata Wan Bari kepada BeritaBenar pada Rabu.

Penyeludupan dadah dan pasaran gelap

Buchoy adalah seorang penyeludup yang mendapat untung daripada mengedarkan barangan gelap dan ubat-ubatan serta beroperasi dari rumahnya di Pulau Sitangkai, Filipina, menurut sumber tersebut.

"Sama ada beliau terlibat secara langsung dalam penculikan warga Taiwan Chang An Wei di resort Pom Pom Island di Sabah pada tahun 2013 adalah tekaan ramai, tetapi dia berkemungkinan besar membekalkan bahan api kepada penjenayah untuk melarikan diri," kata sumber kepada BeritaBenar.

Tambahnya, Buchoy membekalkan diesel, salah satu barangan yang diniagakan dalam pasaran gelap, kepada penjenayah rentas sempadan dari Tawi-Tawi yang berkunjung ke pulau-pulau di perairan Malaysia di luar pantai timur Sabah mencari mangsa penculikan untuk wang tebusan.

Buchoy telah dibunuh oleh Pasukan Petugas Bersama Tawi-Tawi dan polis dalam satu serbuan di kediamannya di kampung Barangay, kata Mej. Jen Carlito Galvez G. Jr., komander Angkatan Tentera Filipina di Mindanao Barat, menurut media Filipina .

"Pihak berkuasa menemui barangan miliknya seperti senapang automatik M-16, lima bot laju dengan pelbagai motor sangkut," kata Galvez seperti dilaporkan oleh Buletin Manila.

"Kami akan terus menjalankan operasi sokongan untuk membantu polis dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain dalam mempercepatkan penangkapan anggota yang terkenal dengan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan dan cubaan penculikan di wilayah itu," kata Galvez.

Ketika mengumumkan kematian Buchoy, pegawai Filipina telah menyebut mengenai  peranannya dalam pembunuhan dan penculikan.

Chang sedang bercuti bersama suaminya, Lee Min Hsu, di resort peranginan pulau itu pada 15 Nov, 2013, apabila lelaki bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf menyerbu villa mereka. Militan memakai topeng ski itu, menembak dan membunuh suaminya sebelum menculik wanita itu dengan bot ke pulau pendalaman di Jolo di Filipina.

Media Taiwan melaporkan keluarga Chan membayar wang tebusan sebanyak RM800,000 (AS $ 180,000) untuk pembebasannya. Pasukan Marin Filipina menemuinya di sebuah kampung berhampiran Talipao, sebuah bandar di Jolo yang berfungsi sebagai pengkalan asas bagi ASG.

Lima pelaut Malaysia yang diculik pada Julai Kumpulan militan itu masih dalam tawanan, walaupun tarikh akhir untuk membayar wang tebusan kepada kumpulan pengganas itu yang berjumlah RM2 juta (AS $ 450,000) telah berlalu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.