Filipina saran mekanisme dua hala untuk warganya yang tidak berdokumen di Sabah

Ratusan ribu rakyat Filipina tanpa dokumen tinggal di Sabah, sebuah wilayah di Kepulauan Borneo yang turut dituntut oleh negara itu.
Jeoffrey Maitem dan Mark Navales
2024.10.09
Davao, Filipina
Filipina saran mekanisme dua hala untuk warganya yang tidak berdokumen di Sabah Beberapa kanak-kanak mendayung sampan berhampiran ladang rumpai laut di Tuaran, Sabah, Malaysia, 8 Julai 2018.
[Edgar Su/Reuters]

Filipina minggu ini menyarankan agar satu mekanisme dua hala dengan Malaysia diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan sosial kepada ratusan ribu rakyatnya yang tidak berdokumen di Sabah, sebuah negeri di Malaysia dan wilayah di Kepulauan Borneo yang dituntut oleh kedua-dua negara.

Hampir 800,000 rakyat Filipina menetap di Sabah namun separuh daripada mereka adalah tidak berdokumen, demikian menurut pejabat Kementerian Luar di Manila.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan kami untuk mendaftarkan kesemua rakyat Filipina yang tidak berdokumen ini bagi membolehkan mereka mengakses perkhidmatan sosial yang disediakan oleh kerajaan Filipina.”

Menerusi rundingannya dengan Raja Nushirwan Zainal Abidin, Año menyarankan agar satu platform dua hala bagi isu ini diwujudkan namun tidak memberikan butiran lanjut atau garis masa yang ditetapkan.

Pada Ogos, Setiausaha Luar Filipina Enrique Manalo berkata Manila sentiasa menghantar misi konsular ke Sabah untuk memenuhi keperluan rakyat negara itu yang menetap di sana.

Pada Selasa, para pegawai Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu ketika dihubungi oleh BenarNews.

Terletak di barat daya perairan Filipina dan utara Kepulauan Borneo, Sabah sudah sekian lama menjadi duri dalam daging antara kedua-dua negara jiran itu yang juga anggota pengasas Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN.

Manila menuntut Sabah berdasarkan rekod sejarah yang menunjukkan bahawa ia milik kesultanan di Kepulauan Sulu yang memajak wilayah itu pada tahun 1878. Kuala Lumpur pula mendakwa telah membuat bayaran kepada kesultanan itu bagi pembelian tanah di wilayah berkenaan.

Pertemuan ketua keselamatan kedua-dua negara disifatkan sebagai satu “langkah yang signifikan dalam memperkukuh hubungan politik, keselamatan dan ekonomi Malaysia-Filipina.”

Año menyambut baik cadangan Malaysia untuk mewujudkan mekanisme dialog di seluruh rantau itu kepada penasihat keselamatan untuk turut membabitkan rakan sejawat mereka dari negara anggota ASEAN yang lain.

“Inisiatif ini bertujuan memupuk perbincangan serantau yang komprehensif mengenai keselamatan sekali gus membuka jalan untuk tindakan lebih bersepadu dalam kalangan negara anggota,” kata Año.

Pertikaian mengenai Sabah

Ramai rakyat Filipina berhijrah ke Sabah sekitar tahun 1970-an untuk melarikan diri daripada konflik bersenjata antara pasukan keselamatan kerajaan dengan puak pemisah gerila di selatan Filipina.

Diasaskan pada 1405, Kesultanan Sulu telah memerintah pulau-pulau di sekitar Kepulauan Sulu, sebahagian daripada Mindanao di selatan Fi;ipina dan sebahagian daripada wilayah di Kepulauan Borneo termasuk Sabah hinggalah pada awal 1800-an.

Sabah telah dimasukkan ke dalam Malaysia pada 1963 namun negara itu masih membuat bayaran secara tahunan kepada Kesultanan Sulu.

Pada 1968, Presiden Filipina ketika itu Ferdinand Marcos Sr telah meluluskan satu undang-undang yang menamakan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Pada 2013, kira-kira 200 lelaki bersenjata telah dihantar oleh Jamalul Kiram III, seorang daripada waris Sultan Sulu, untuk memasuki daerah Lahad Datu di Sabah bagi menuntut wilayah itu.

Bagaimanapun, percubaan itu telah dipatahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia menyebabkan lebih 50 orang daripada mereka terbunuh.

Kerajaan Filipina dan Malaysia kemudian membawa pertikaian itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu manakala Manila menolak permohonan Kuala Lumpur pada 2019 untuk memperluas pelantar benuanya melangkaui titik paling utara negara itu yang terletak di Kepulauan Borneo.

Manila berkata ia tidak pernah melepaskan kedaulatannya di wilayah itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.