Malaysia Bekerjasama Dengan Indonesia, Filipina Hentikan IS: TPM
2017.01.26
Kuala Lumpur

Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju untuk bekerjasama dalam menangani ancaman serantau yang ditimbulkan oleh militan Negara Islam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata pada Khamis, selepas laporan menyatakan bahawa pantai timur Sabah menjadi hab kepada aktiviti IS.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi membincangkan usaha tiga hala selepas mesyuarat di Putrajaya dengan Duta Besar Indonesia Herman Prayitno yang akan mengakhiri tugas beliau di Kuala Lumpur.
"Kami akan bekerjasama untuk memburu pengganas dan menghentikan ideologi IS di rantau ini," kata Zahid, menurut laporan akhbar The New Straits Times. "Dari segi operasi penguatkuasaan, kita tidak lagi akan bekerja secara individu, tetapi akan bekerjasama untuk tujuan itu."
Beliau berkata pemimpin bagi ketiga-tiga negara - Perdana Menteri Najib Razak, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte - semua telah bersetuju untuk membina kerjasama tiga hala menentang IS.
Bercakap kepada pemberita semasa pertemuannya dengan duta, Zahid memuji negara jiran itu kerana menjalinkan kerjasama dalam memerangi IS.
"Kami telah berbincang dengan mereka secara rasmi dan tidak rasmi, terutamanya Indonesia. Indonesia amat mengambil berat tentang penglibatan beberapa rakyatnya dalam aktiviti Daesh. Indonesia juga telah memperkenalkan undang-undang yang ketat sama seperti apa yang kita ada di sini, " katanya dalam komen di televisyen, yang merujuk IS dengan nama yang berbeza.
Beliau turut memuji Indonesia dan ahli-ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam mengukuhkan operasi menentang keganasan
Sabah menjadi perbahasan
Ketiga-tiga negara berkongsi kebimbangan mengenai IS di selatan Filipina, di mana kumpulan militan yang menpunyai kaitan dengan IS, berjuang menentang tentera kerajaan. Siri penculikan maritim pelaut Indonesia dan Malaysia yang dilakukan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di kawasan itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman daripada IS yang kini merebak ke negeri Sabah yang bersempadan dengan Filipina.
Minggu ini, Ketua Polis Malaysia, Khalid Abu Bakar, berkata Sabah boleh dianggap sebagai hab untuk aktiviti IS, termasuk penyeludupan manusia, di dalam kawasan segi tiga yang meliputi negeri Sabah, Indonesia dan selatan Filipina.
"Kami sentiasa meletakkan antena kami di sana untuk memantau aktiviti mereka," kata beliau seperti disiarkan oleh Star TV.
Pada Isnin, Polis Malaysia telah mengumumkan bahawa pihak berkuasa telah membongkar satu sel baru IS apabila menahan empat anggotanya - seorang warga Malaysia, Filipina dan dua warga Bangladesh - yang didakwa merancang untuk menggunakan Sabah sebagai transit dalam menghantar pejuang IS memasuki selatan Filipina. Mereka telah menerima arahan dari dua militan IS berkaitan yang berpangkalan di negara jiran, Khalid mendakwa.
Ramli Din, Pesuruhjaya Polis Sabah berkata, pegawainya sedang memantau beberapa lokasi di seluruh negeri itu berhubung aktiviti IS.
"Kami telah mengenal pasti beberapa lokasi di Sabah yang digunakan oleh kumpulan militan sebagai transit sebelum mendapat akses ke selatan Filipina," katanya seperti dilaporkan oleh akhbar The New Straits Times, tetapi menambah bahawa beliau tidak dapat mendedahkan lokasi atas sebab keselamatan.
Tetapi Menteri Pertahanan Malaysia, Hishammuddin Hussein, mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh pegawai-pegawai polis bahawa Sabah berfungsi sebagai kawasan transit bagi aktiviti militan Negara Islam.
‘Adalah Tidak benar Tawau menjadi transit militan Daesh," kata Menteri itu seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian, sambil merujuk kepada sebuah bandar di pantai timur Sabah.
"Inilah dunia tanpa sempadan dan apabila tidak ada sempadan, kita tidak memerlukan mana-mana tempat transit," tambah Hishammuddin.
Mesyuarat diteruskan
Wakil-wakil dari Malaysia, Indonesia dan Filipina bertemu beberapa kali pada tahun lepas dalam usaha mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama keselamatan maritim termasuk rondaan bersama di perairan yang dikongsi bersama berikutan penculikan yang melibatkan Abu Sayyaf, yang juga bersekutu dengan IS.
Walaupun mesyuarat dan rondaan bersama masih belum bermula.
"Saya benar-benar berharap kita boleh melakukannya dalam masa terdekat," jurucakap Tentera Nasional Indonesia Brig. Kej Wuryanto memberitahu BeritaBenar pada November lepas. "Kami berasa agak malu sekarang [kerana] penculikan terus berlaku."
Presiden baru Filipina Duterte, yang mengambil alih jawatan pada Jun lepas telah mengumumkan bahawa pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia boleh memasuki perairan Filipina dalam usaha untuk mengejar penculik bagi menyelamatkan tebusan.
Pada 16 Jan lalu, Duterte memberitahu ahli perniagaan di Davao City yang beliau telah mengarahkan Tentera Laut dan Pengawal Pantai untuk mengebom penculik yang cuba untuk melarikan diri, sambil merujuk kepada tebusan mereka sebagai "mangsa sampingan," lapor Philippine Daily Inquirer.